Walaupun kita sudah
lama hidup bersama, masih banyak perkara yang belum sempat kita ambil tahu
mengenai amalan dan budaya kaum dan etnik lain. Tentulah ada pelbagai sebab dan
faktor yang membawa kepada keadaan ini.
Usah kita menuding
jari dan menyalahkan sesiapa. Sebaliknya, mari kita sama-sama cuba mencari
penyelesaian terbaik kepada kekurangan yang sudah dikenal pasti. Sepertimana
kita sedia maklum, perubahan haruslah bermula dengan diri kita.
Pada kali ini, kita
cuba mengenali beberapa perkara asas mengenai kaum India. Topik ini sering saya
kongsi apabila diundang menyampaikan ceramah dan kuliah. Misalnya, di Akademi
Tan Kah Kee Malaysia (28 September dan 5 Oktober 2019) dan Action Group Segambut
(6 Julai 2020).
Majoriti kaum India
di Malaysia berketurunan Tamil. Mengikut data rasmi (1999), daripada
sejumlah 1.6 juta kaum India di negara ini, sekitar 85 peratus ialah orang
Tamil yang lazim bertutur bahasa Tamil. Walau bagaimanapun, pada sijil
kelahiran orang Tamil biasanya tercatat “India” sebagai keturunan.
Kelompok minoriti
pula terdiri daripada keturunan Malayali (sekitar 3.5 peratus) dan Telugu
(sekitar 2.5 peratus). Agak menarik kerana kedua-dua komuniti ini masih mengekalkan
identiti keturunan pada sijil kelahiran.
Orang keturunan Punjabi
pula mewakili sekitar 3.5 peratus kaum India di Malaysia. Komuniti ini sering
kali dilihat secara berasingan daripada “kaum India”. Keadaan ini mungkin
berlaku kerana nenek-moyang orang Punjabi berasal dari bahagian utara negara
India, manakala keturunan Tamil, Telugu, dan Malayali dari bahagian selatan.
Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022).
[Rencana ini adalah versi asal
yang ditulis pada 16 Ogos 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 22 Ogos 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga
— “Kita Makin Renggang” — “Mari Kita Bercinta” — “Uniknya Sastera Kita” — “Elakkan Fobia”]