Kuil sebagai rumah
ibadat menjadi salah satu aspek penting dalam kehidupan kaum India beragama Hindu di Malaysia.
Orang ramai selalu
tampil memberikan sumbangan secara ikhlas dan murah hati bagi upacara di kuil,
serta derma membina atau membaiki bangunan kuil.
Pengurusan kuil dan
para penganut Hindu ternyata tidak sepenuhnya bergantung kepada sumbangan atau
peruntukan kerajaan negeri dan pusat dalam usaha memastikan bangunan kuil dan
segala aktiviti keagamaan di rumah ibadat berjalan lancar.
Hal ini memang terpuji
dan membanggakan. Selain mengimarahkan aktiviti keagamaan di kuil, para
penganut menunjukkan sikap proaktif yang sesungguhnya dituntut agama dan
budaya.
Malangnya semangat,
sikap dan keikhlasan sama tidak ditunjukkan dalam hal menderma bagi pembangunan
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sama ada dari segi fizikal
(infrastruktur) atau pengisian (pembelajaran).
Selalunya SJKT terpaksa
bergantung kepada dana kerajaan untuk membaiki infrastruktur dan keperluan
pelajaran.
Kerajaan pusat
menyalurkan RM7.84 juta kepada SJKT untuk menaik taraf infrastruktur,
penyelenggaraan dan menambahbaikkan kemudahan.
Seperti dilaporkan MyTimes (24 September 2015), MIC mengiktiraf Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib
Razak senagai “pemangkin utama pembangunan infrastruktur SJKT”.
Timbalan Menteri
Pendidikan, Datuk P Kamalanathan menyampaikan peruntukan khas fasa kedua RM2.56
juta untuk 32 buah SJKT di Negeri Sembilan, seperti dilaporkan Bernama (27 Januari 2016).
SJKT Ladang Coalfields,
Sungai Buloh pula menerima peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan
sekolah berikutan masalah pendawaian, anai-anai dan sistem saliran kurang
sempurna (Sinar Harian Online, 28
Januari 2016).
Rakan-rakan Berkongsi Rasa Kecewa
Untuk rekod, pada masa
kini terdapat 524 buah SJKT di Malaysia dan 371 daripadanya merupakan sekolah
bantuan modal.
Tentulah agak
menghairankan apabila SJKT terpaksa merayu bantuan kerajaan sementara sumbangan
bagi kuil datang mencurah-curah daripada komuniti India-Hindu.
Mengapakah kaum India
beragama Hindu kelihatan mudah menderma kepada kuil tetapi agak liat menyumbang
kepada SJKT?
Saya menimbulkan
persoalan ini di Facebook baru-baru
ini untuk mendapatkan komen dan reaksi orang ramai.
Menurut Prem Kanna dari Rawang, beliau memang
menanti peluang untuk berkongsi pandangan tentang isu ini.
“Saya tidak berniat
mempersoalkan kemajuan kuil, tetapi mengapa SJKT tidak seiring kemajuan itu?
Lebih mengecewakan, kuil gagal memainkan peranan sosial terhadap masyarakat,
sebaliknya menjadi sektor perniagaan,” kata pemuda itu.
Bagi Yogeswaran Pachayappan dari Johor, kita
tidak memerlukan lebih banyak kuil.
“Kalau mahu menderma,
saya lebih suka memberi kepada pelajar kaum India yang miskin dan memerlukan bantuan,”
ulas jurufoto sambilan itu.
Seorang mualaf dan
pekerja sosial dari Bestari Jaya, Kuala Selangor memaklumkan, Kuil Subramaniam
di tempatnya memberikan kasut dan beg sekolah kepada murid SJKT daripada
keluarga miskin.
“Ini kali pertama kuil
itu mengadakan program seumpama ini dan saya yakin amalan ini akan menjadi
lebih popular pada masa depan,” kata Kumaran
Nagapa dengan penuh optimis.
Sivasangari Ramasamy, guru sekolah persendirian di Klang mengimbas peranan
sebenar kuil dalam kehidupan kaum India beragama Hindu.
Kuil Disaran Beri Sumbangan Kepada
Sekolah
“Kuil pada masa dahulu
menjadi pusat komuniti dan juga tempat belajar bagi kanak-kanak. Rumah ibadat itu juga menjadi tempat perlindungan jika ada malapetaka
alam.
“Memandangkan pada masa
kini peranan itu sudah tiada, tidak ada keperluan membina kuil besar. Mereka
yang ada wang boleh menyumbang ke arah pembinaan infrastruktur dan peningkatan
kualiti pendidikan di sekolah Tamil,” kata Sivasangari.
Seorang bekas pensyarah
dari Shah Alam menegaskan hakikat kegagalan kuil memainkan peranan lebih besar
bagi memenuhi keperluan sosial, pendidikan dan kebajikan komuniti Hindu.
“Kuil yang banyak
menerima sumbangan orang ramai sepatutnya menyumbang sebahagian hasil itu bagi
pembangunan masyarakat; termasuk kepada institusi pendidikan seperti SJKT.
Malangnya, peneraju kuil sudah lupa segala peranan itu,” kata Jaya Rajan menerusi mesej yang agak
panjang.
Memang menarik untuk
menilai semula peranan sebenar kuil dalam komuniti India.
Setiap kali pembinaan
bangunan mahu dibuat, orang ramai diminta menyumbangkan derma ikhlas. Begitu
juga setiap kali ada upacara keagamaan dan sembanyang khas.
Anehnya, apabila
seorang individu yang pernah menderma kepada pembinaan kuil itu pergi ke kuil
berkenaan, dia masih perlu membayar bagi mendapatkan “perkhidmatan” di sana!
Rata-rata segala urusan
pembinaan, penyelenggaraan, sumbangan makanan dan upacara keagamaan di kuil
dilaksanakan menerusi sumbangan (atau bayaran) parti politik, kerajaan dan
orang ramai.
Maka, tidak salah jika
orang ramai mempersoalkan mengapa kuil tidak menyumbangkan sebahagian hasil
kutipan (daripada orang ramai) demi kebajikan masyarakat; termasuk kepada SJKT.
Pada masa sama, agak
menghairankan juga sikap komuniti India yang tidak keberatan menderma kepada
kuil tetapi tidak begitu berminat menyumbang bagi pembangunan sekolah Tamil.
Lepasan SJKT Boleh Contohi Bekas Murid
SJKC
Mungkin di satu pihak,
orang ramai menderma kepada kuil untuk “membersihkan” dosa atau sebagai
“bekalan” akhirat.
Soalnya, bukankah
mereka masih boleh turut menyumbang kepada pembangunan sekolah? Khususnya jika
individu terbabit adalah lepasan SJKT.
Terdapat lebih 500 buah
SJKT di seluruh negara dan pasti sahaja melahirkan ribuan lepasan sekolah Tamil
setiap tahun.
Lepasan SJKT boleh
belajar daripada lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang tampil memberikan sumbangan berkala
kepada alma mater mereka.
Apabila saya menulis
kritikan tentang kelemahan di SJKT, akhbar Tamil
Nesan (13 Januari 2016) melabel saya “pengkhianat” dan meminta orang ramai
membuat laporan polis terhadap saya.
Akhbar Malaysia Nanban (19 Januari 2016) pula
berpendirian, saya tidak berhak mengkritik SJKT kerana bahasa ibunda saya bukan
Tamil, saya keturunan Malayali, dan saya bukan lepasan SJKT.
Maka, untuk berlaku
adil, tidak perlulah mengharapkan orang bukan Tamil dan bukan lepasan SJKT
seperti saya menyumbang kepada pembangunan sekolah Tamil.
Peneraju kempen “SJKT
Pilihan Kita” seperti Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil dan MIC,
serta stesen radio MinnalFM dan THR Raaga jangan hanya berusaha menambah
jumlah kemasukan murid Tahun 1.
Berkempenlah juga
secara aktif supaya lepasan SJKT turut menghayati kempen “SJKT Pilihan Kita”
dengan menyumbang semula kepada alma
mater mereka.
Sekiranya lepasan SJKT
menyumbang secara berkala kepada pembangunan SJKT, maka sekolah Tamil juga mampu
sehebat SJKC dari segi kemudahan pembelajaran dan infrastruktur tanpa perlu
menanti sumbangan kerajaan dan MIC.
[Makalah ini ditulis pada 31 Januari 2016 dan
disiarkan di The
Malaysian Insider pada 2 Februari 2016. Portal berita The
Malaysian Insider menamatkan
operasi pada 14 Mac 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. LEBIH
BANYAK MAKLUMAT BERKAITAN ISU INI]