Murid-murid yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
tetap mempunyai potensi untuk cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan.
Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang
wajar diberi perhatian dan diambil tindakan segera sebelum nasi menjadi bubur.
Beberapa kelemahan yang benar-benar wujud
di beberapa SJKT didedahkan menerusi makalah di The Malaysian Insider bertajuk “Persoalan
Kempen SJKT Pilihan Kita” (12 Januari 2016) dan “Isu
SJKT dan Masalah Kamar Gema” (19 Januari 2016).
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P
Kamalanathan; penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil
(PTST), Dr NS Rajendran; dan Pemuda MIC Kebangsaan sepakat mengatakan kesemua
isu itu tidak benar, dan tidak ada satu pun kes seperti itu berlaku di
mana-mana 524 buah SJKT di Malaysia.
Anehnya, ramai guru, bekas guru, bekas
murid, murid dan ibu bapa yang menghubungi saya secara peribadi untuk meluahkan
kekecewaan terhadap pelbagai lagi masalah yang benar-benar wujud di SJKT.
Salah satu masalah utama yang mungkin tidak
disedari PTST dan MIC adalah kekurangan buku rujukan dan
buku latihan bermutu dalam Bahasa Tamil bagi kegunaan murid SJKT.
Sebaik masalah ini didedahkan, pasti
penyelaras PTST meminta saya mengemukakan “bukti yang sahih dan data empirikal”
kerana kononnya apa yang saya dedahkan adalah penipuan semata-mata.
Bagaimanapun, hujah yang dikemukakan di
sini berdasarkan pemerhatian, serta maklumat pelbagai pihak yang terlibat
secara langsung dengan SJKT.
Pesara guru yang berpengalaman mengajar
selama 26 tahun di 7 buah SJKT, VK
Ezhilarasi menyatakan di The
Malaysian Insider (25 Januari 2016): “Tiga anak saya pernah belajar di SJKT
dan saya mengalami sendiri kesukaran mendapatkan buku rujukan dalam Bahasa
Tamil. Masalah ini masih berlarutan sehingga kini.”
Ibu Bapa, Guru Akui Masalah Ini
Seorang penulis Tamil, Pandiyan Anbalagan turut mengaku menerusi catatan di Facebook (22 Januari 2016): “Saya ke
kedai buku. Seperti biasa, buku latihan untuk murid SJKT amat kurang. Berlambak
buku untuk SK dan SJKC tetapi situasi SJKT sangat menyedihkan. Murid SJKT sukar
membuat latihan tambahan; khususnya subjek Sains dan Matematik.”
Baru-baru ini, saya melakukan tinjauan di
beberapa kedai buku yang khusus menjual buku sekolah dan mendapati masalah yang
dinyatakan Ezhilarasi, Pandiyan serta ramai lagi guru, ibu bapa dan murid-murid
SJKT memang benar.
Seperti dinyatakan dalam makalah “Alahai
SJKT, Alahai Kuil Hindu!” (The Malaysian Insider, 2 Februari 2016), pada masa kini terdapat
524 buah SJKT di Malaysia dan 371 daripadanya merupakan sekolah bantuan modal.
Sekiranya data berkaitan latar ekonomi
keluarga murid dikaji (PTST boleh membantu di sini), kita akan faham betapa
majoriti ibu bapa tidak mampu membeli buku rujukan dan buku latihan tambahan
bagi anak-anak.
Selain itu, keutamaan (priority) tidak diletakkan pada pendidikan; apatah lagi membeli
buku rujukan dan buku cerita yang mampu mengembangkan minda anak-anak.
Rata-rata guru SJKT yang saya temui
mengakui hakikat yang menyedihkan ini. Dr Rajendran dan Kamalanathan pasti akan
menafikan perkara ini dengan alasan “tiada bukti yang sahih dan data empirikal”.
Pada penelitian saya, kebanyakan guru SJKT
memang amat komited dan mahu memberikan pendidikan paling berkualiti kepada
murid-murid.
Menyedari kekangan ekonomi – dan prioriti
ibu bapa yang tersasar – maka guru-guru mengambil inisiatif menyediakan bahan
rujukan dan latihan tambahan dengan kos paling minimum.
Sejumlah guru SJKT yang menghubungi saya
menceritakan, mereka membuat fotokopi buku Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
dan Sekolah Kebangsaan (SK). Pengubahsuaian dilakukan supaya mudah difahami
murid SJKT.
Penerbit Buku Bermutu Hadapi Dilema
Memang ada penerbit buku berwibawa seperti Uma Publications
yang menghasilkan buku rujukan dan buku latihan bermutu khusus bagi murid SJKT.
Kebanyakan guru yang saya temui mengakui
kualiti buku-buku berkenaan, tetapi masalah kewangan serta sikap ibu bapa menyebabkan
murid-murid tidak mampu membelinya.
“Saya selalu membuat fotokopi buku-buku itu
untuk kegunaan di kelas walaupun sedar perbuatan itu kurang beretika. Saya
lakukan demi masa depan murid-murid,” kata seorang guru yang enggan namanya
didedahkan.
Pada 5 Februari 2016, saya mengunjungi
pejabat Uma Publications di Jalan Perhentian, Sentul untuk mendapatkan
pandangan mereka berhubung isu kekurangan buku rujukan dan buku latihan SJKT.
Datuk A.
Sothinathan, Siva Sothinathan
dan Y. Sahadevan menerima kunjungan
saya dengan penuh mesra dan bersedia menjawab beberapa soalan sensitif yang
dikemukakan.
Syarikat penerbitan itu sebenarnya berusaha
menyajikan bahan bacaan tambahan bermutu dari Australia dan Britain khusus
untuk murid SJKT sejak 2008.
Saya membelek sebahagian daripada hampir
300 judul yang sudah dibeli hak daripada penerbit asal dan diterjemah ke Bahasa
Tamil.
Seorang individu bukan lepasan SJKT seperti
saya turut teruja membaca buku-buku berkenaan yang penuh dengan ilmu dan
maklumat tambahan.
Malangnya, saya dimaklumkan buku-buku itu
kurang mendapat sambutan kerana SJKT yang bergantung kepada dana kerajaan tidak
mampu membelinya.
Perdana Menteri Perlu Ambil Perhatian!
Ada lebih 500 buah SJKT di Malaysia dan
kalau sebuah sekolah membeli dua naskhah, maka minimum 1,000 buku boleh dijual
dengan amat mudah.
Hasil perbualan dengan tiga orang kuat Uma
Publications, saya dapat membaca garis-garis kekecewaan pada wajah dan suara
mereka. (Tidak semua butir perbualan kami ditulis di sini.)
Buku dan majalah Tamil yang mereka hasilkan
khusus bagi murid SJKT terbukti amat bermutu dari segi bentuk dan kandungan (form and content) tetapi malangnya masih
sukar dipasarkan kepada khalayak sasaran.
Pada penelitian saya, masalah ekonomi,
latar belakang keluarga, pendidikan ibu bapa, kedudukan sosial, prioriti ibu
bapa, minat guru besar, keprihatinan PIBG, peranan PTST, manipulasi politik dan
sebagainya menghasilkan lingkaran syaitan (vicious
cycle) yang tidak menguntungkan SJKT.
Saya percaya Uma Publications terus
menerbitkan buku dan majalah bermutu tinggi, serta menjualnya pada harga sangat
murah, bukan untuk mengaut untung, tetapi melaksanakan tanggungjawab sosial
demi bahasa Tamil, komuniti Tamil dan sekolah Tamil.
Realiti kekurangan buku rujukan dan buku latihan
bermutu di SJKT mungkin akan terus dinafikan politikus, akhbar Tamil, PTST
serta peneraju kempen “SJKT Pilihan Kita”.
Akan tetapi, ia umpama “gajah di dalam
bilik” (elephant in the room) dan
bangkai gajah yang cuba ditutup dengan daun kelapa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
yang diiktiraf MIC sebagai “pemangkin utama pembangunan infrastruktur SJKT” (MyTimes, 24 September 2015) wajar
mengambil perhatian terhadap isu penting yang didedahkan di sini.
Sekiranya mendapat sokongan dana kerajaan, saya
percaya penerbit berwibawa seperti Uma Publications sedia menghasilkan lebih
banyak buku bermutu tinggi bagi memastikan SJKT bukan hanya gah dari segi
infrastruktur (fizikal) tetapi mampu melahirkan generasi berkualiti.
[Makalah ini ditulis pada 7 Februari 2016 dan
disiarkan di The
Malaysian Insider pada 9 Februari 2016. Portal berita The
Malaysian Insider menamatkan
operasi pada 14 Mac 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. LEBIH
BANYAK MAKLUMAT BERKAITAN ISU INI]