[Walaupun Muhyiddin dikatakan banyak membantu golongan penulis,
tentu ada sebab mengapa tiada yang tampil membelanya kini.]
Selepas
Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri
(TPM) dan Menteri Pendidikan pada 28 Julai 2015, beberapa pihak tampil
melahirkan rasa sedih kerana beliau dikatakan sangat prihatin terhadap masalah
golongan penulis.
Puji-pujian
itu segera mengingatkan saya kepada insiden tahun 2011 di mana beberapa penulis
merayu campur tangan Muhyiddin selepas mereka dinafikan hak menerima royalti
bagi karya mereka yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran
Bahasa Malaysia (Komsas) – BACA DI SINI.
Sehingga
tarikh Muhyiddin digugurkan daripada senarai kabinet, tidak ada sebarang hasil
daripada surat rayuan berkenaan. Para penulis yang menjadi mangsa sudah pun
putus asa dan sedar kerajaan tidak akan membela mereka.
Saya
sendiri pernah dilantik oleh Muhyiddin untuk menganggotai panel khas yang
ditubuhkan bagi meminda novel Interlok: Edisi Murid (2010)
selepas teks Komsas itu menimbulkan kontroversi – BACA DI SINI.
Maka,
saya berpeluang melihat dan mengalami sendiri keperibadian Muhyiddin yang pada
Mac 2010 berbangga mengisytiharkan dirinya “Malay
First”. Saya sudah bimbang membayangkan nasib rakyat apabila beliau menjadi
Perdana Menteri (PM).
Dalam
pada itu, kegagalan Muhyiddin mengekalkan kerusi TPM khabarnya menimbulkan
kesedihan dalam kalangan penggiat sastera dan industri penerbitan buku.
Mengikut
kisah yang tersebar menerusi media sosial, Muhyiddin disifatkan sebagai
penggerak pelbagai aktiviti sastera; termasuk mengaktifkan semula Anugerah
Sastera Negara. Hadiah Sastera Perdana Malaysia juga dikatakan mendapat
suntikan daripada TPM.
Dana
penerbitan dengan peruntukan RM5 juta setahun juga dimulakan oleh Muhyiddin.
Maka, sekumpulan penulis yang berkongsi rasa sedih atas pengguguran Muhyiddin
daripada jawatan TPM melahirkan harapan agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang
dilantik sebagai TPM dapat meneruskan kesinambungan itu demi mengekalkan
tradisi ilmu dan penerbitan.
Kuasa
Politik dan Tekad Politik
Ternyata
rasa taksub dan perbuatan mengagung-agungkan seseorang membuatkan para pengikut
hilang pertimbangan dan kemampuan berfikir secara rasional. Malah, dalam Islam, boleh membawa kepada amalan
syirik; tetapi itu topik lain.
Secara
paling asas, segala sumbangan Muhyiddin dalam bidang sastera dan penerbitan
(seperti yang dinyatakan itu) bukan dilakukan atas kapasiti sebagai TPM.
Sebaliknya, sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab seorang Menteri
Pendidikan.
Maka,
sekiranya puak pentaksub Muhyiddin mahukan tradisi pemberian dana diteruskan,
maka janganlah minta pada Ahmad Zahid. Sebaliknya, mintalah pada Datuk Mahdzir
Khalid yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan.
Mungkin
sahaja ada pihak yang mahu menegakkan benang yang basah dengan berkata,
kedudukan Muhyiddin sebagai TPM yang telah memungkinkannya melakukan pelbagai
“keajaiban” sebagai Menteri Pendidikan.
Untuk
rekod, Muhyiddin dilantik menjadi TPM dan Menteri Pendidikan pada 2009. Mungkin
kerana beliau memegang dua jawatan sekali gus, para penyokong tidak dapat
membezakan portfolio kedua-dua jawatan.
Kita
ambil contoh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau dilantik menjadi Menteri
Pelajaran (Pendidikan) pada 1986; sebelum diberikan tanggungjawab sebagai
Menteri Kewangan pada 1991 dan kemudian dilantik menjadi TPM pada 1993.
Sebagai
Menteri Pelajaran, Anwar menggerakkan serta menjayakan Hadiah Cerpen
Maybank-DBP yang melahirkan ramai penulis Bukan Melayu; serta mengiktiraf
karya-karya yang tersiar dalam majalah Dewan
Budaya dan Dewan Sastera.
Contoh
di atas membuktikan bahawa seseorang tidak perlu menjadi TPM untuk mampu ada
kuasa politik dan tekad politik (political
power and political will) bagi menyemarakkan bidang penulisan, sastera dan
penerbitan buku.
Pada
penelitian saya, Muhyiddin turut melakukan kesilapan dengan menghina intelektualiti golongan sasterawan
(penulis) pada Januari 2014 – BACA DI SINI.
Menurut
berita yang disiarkan di media, Muhyiddin dilaporkan berkata, “Sekiranya ada
pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (pembangkang),
manakala pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan), itu adalah dakwaan
yang tidak benar sama sekali.”
Sasterawan
Perlu Ada Jati Diti
Pada
pendirian saya, sasterawan dan penulis perlu berani bersuara mewakili rakyat.
Kedudukan sasterawan adalah bersama-sama rakyat; bukan bersama-sama kuasawan,
politikus dan kerajaan/pembangkang. Sasterawan adalah kelompok intelektual
terpilih.
Maka,
amat mengecewakan dan memalukan apabila Muhyiddin menghina sasterawan dengan
menganggap mereka sentiasa berpihak kepada kerajaan (Umno dan Barisan
Nasional).
Pada
April 2015, Muhyiddin tampil pula menggesa golongan sasterawan terus menggalas
amanah berkata benar walaupun ia menyakitkan. Tentu sahaja pendiriannya pada
kali ini amat berbeza dengan pandangan pada tahun sebelumnya.
“Saya
berharap agar para penulis akan terus menyatakan painful truth (kebenaran yang pedih) untuk memandu masyarakat ke
arah kebenaran dan bukannya beautiful lie
(pembohongan yang indah) yang boleh melekakan mereka,” katanya semasa berucap
di kediaman rasminya di Putrajaya pada waktu itu.
Apabila
Anwar dipecat pada 1998, ramai sasterawan yang tampil bersuara lantang dan
mengkritik kezaliman yang berlaku. Anehnya, apabila Muhyiddin digugurkan
daripada jawatan pada Julai 2015, tidak kedengaran pula suara sasterawan
mempertahankannya.
Apa
yang berlaku hanyalah suara keluhan penggiat bidang penulisan dan penerbitan
yang sedih kerana terhutang budi kepada Muhyiddin yang menyalurkan pelbagai
dana semasa menjadi TPM dan Menteri Pendidikan.
Mereka
ini bukannya mahu membela Muhyiddin atau memperjuangkan nasib seorang pemimpin
yang teraniaya. Sebaliknya mereka seolah-olah hanya berharap pengganti yang
mengambil alih kerusi TPM dan Menteri Pendidikan terus menghulurkan dana,
habuan dan “derma”.
Memang
ada penulis dan persatuan penulis yang menjadi “boneka” kerajaan. Mereka juga
pasti tidak akan tampil untuk bersama-sama Muhyiddin kerana mereka mahu terus
menjadi “boneka” kerajaan.
Sejak
tiada jawatan dalam kerajaan, Muhyiddin kini tiba-tiba mula berjiwa rakyat.
Namun, golongan sasterawan yang ada jati diri ternyata tetap tidak mahu
bersuara bagi memperjuangkan nasibnya.
[Makalah ini ditulis pada 4 Ogos 2015 dan
disiarkan di Roketkini pada
8 Ogos 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap
maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas
pilihan sendiri.]