[Konsep “dharma”
merujuk pada himpunan ajaran yang membimbing seseorang individu menjadi insan
yang berhemah.]
Seorang individu yang
menghayati konsep “dharma” pasti tidak akan melakukan apa-apa perkara yang
bertentangan dengan nilai dalam keluarga, kod etika pekerjaan dan norma dalam
masyarakat.
Pemahaman,
penghayatan dan kepatuhan kaum India terhadap segala ajaran yang terkandung
dalam teks-teks berkaitan Dharmasastra mampu menyumbang ke arah usaha
mengatasi pelbagai masalah dalam masyarakat.
Seperti yang saya huraikan minggu lalu, konsep “dharma” dalam
budaya India
bukan tuntutan agama Hindu semata-mata. Sebaliknya, memandangkan ajaran agama
Hindu dan ajaran Dharmasastra sama-sama membimbing manusia ke arah
kebaikan, maka ramai yang berpandangan bahawa Dharmasastra adalah
sebahagian daripada konsep keagamaan Hindu.
Pada waktu sama, ajaran agama
Hindu turut digelar Sanatana Dharma iaitu “agama yang abadi” atau “agama
yang tiada permulaan dan tiada kesudahan”. Satu lagi gelaran yang digunakan
adalah Vaidika Dharma iaitu “agama menurut kitab-kitab veda”.
Namun,
sebenarnya, konsep “dharma” tidak terikat pada ajaran satu-satu agama.
Sebaliknya, ajaran “dharma” secara langsung atau tidak langsung diterapkan juga
dalam ajaran mana-mana agama utama dunia.
Hal
ini tidaklah menghairankan kerana setiap agama memang membimbing para penganut
ke arah “dharma”. Kebenaran hakikat ini akan diperakui sekiranya setiap
individu memahami ajaran sebenar agama anutan masing-masing.
Konsep “dharma” merujuk pada
himpunan ajaran, peraturan, moral, nilai murni, etika, norma, tanggungjawab,
hak dan sebagainya yang membimbing seseorang individu menjadi insan yang
berhemah dalam keluarga dan masyarakat. - Baca makalah penuh di Mandala Bicara.
(© Uthaya Sankar SB. Makalah
ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 14 Mei 2012.
Sila rujuk juga makalah bertajuk “Dharma sebagai Norma Masyarakat” untuk pemahaman lanjut berhubung topik ini.)