Di sebalik kisah dongeng dan mitos, purana Hindu menyimpan khazanah ilmu dan kebijaksanaan yang jauh melampau jangkaan minda manusia. Generasi muda Hindu di Malaysia wajar menelaah kisah-kisah ini — bukan sekadar sebagai warisan agama, tetapi sebagai pusaka pengetahuan, inspirasi kreativiti, dan kaca refleksi berkaitan identiti dan jati diri sebagai penganut agama tauhid yang pertama dan tertua di muka Bumi.
Perkara inilah yang ingin saya ulas menerusi tulisan ini selepas menonton video “18 Puranas Explained: Ancient Hindu Texts That Reveal Creation, Science & The Future” di YouTube. Huraian ini bukan transkrip, sebaliknya ulasan, reaksi, dan pandangan peribadi. Anda pula membacanya atas pilihan dan tanggungjawab sendiri.
Purana (पुराण) secara harfiah bermaksud “yang kuno” dan merujuk kepada kumpulan teks naratif Hindu dalam bahasa Sanskrit yang meliputi pelbagai topik. Antaranya ialah mitologi, kosmologi, salasilah dewa-dewi dan manusia, adat‑istiadat, ritual, seni bina, perubatan, astronomi, geografi, dan botani.
Dalam 18 buah purana utama (Mahapurana) dan beberapa Upapurana (“purana kecil”), kita akan menemui pelbagai cerita rakyat dan mitos yang bukan semata-mata kisah rekaan, tetapi memiliki lapis-lapis simbol, kod pengetahuan, dan panduan hidup. Akan tetapi, tentulah kita perlu membaca dengan teliti untuk memahami lapis makna tersirat.
Misalnya, dalam Matsya Purana, terdapat bahagian yang memperincikan reka bentuk kuil — prinsip nisbah ruang, orientasi menghadap ke timur, serta grid bentuk mandala — yang menyerlah hubungan antara keindahan estetik dan matematik geometri kuno.
Di situ terbukti bahawa manusia Hindu purba – walaupun tentu sahaja istilah “Hindu” dan “Sanatana Dharma” hanya diberi kemudian – telah memikirkan aspek hubungan antara bentuk ruang, orientasi cahaya matahari, dan keharmonian alam, jauh sebelum prinsip seni bina moden diterapkan dalam pembinaan bangunan kuil pada masa kini, khususnya di Malaysia.
Selain itu, purana mencatatkan perihal kosmologi purbakala — dunia sebelum penciptaan, siklus penciptaan dan kemusnahan, serta alam-alam antara dunia nyata dan maya — yang kadangkala menyentuh pelbagai konsep yang kini masih dibahaskan dalam ilmu fizik moden.
Misalnya, dalam teks‑teks purana terdapat naratif tentang dunia yang musnah dan terbina semula, gelombang waktu yang dilampaui, dan alam-alam yang berbeza latar masa. Perkara ini turut diterangkan dalam video yang menjadi asas perbincangan di sini.
Beberapa pengkaji berpendapat bahwa konsep masa bersifat relatif dan idea dimensi yang terpisah dalam purana mencerminkan gagasan moden seperti dilasi masa (time dilation) dan ruang yang bersifat berbilang lapisan (multilayer).
Malah, dalam kajian fizik, ahli sains komputer seperti Subhash Kak telah mengulas bagaimana dalam purana terdapat pernyataan tentang kelajuan cahaya iaitu “2,202 yojanas dalam separuh nimesha”. Istilah nimisha bermakna sekelip mata. Kiraan yang diberi hampir sama dengan nilai saintifik moden iaitu 299,792,458 meter sesaat.
Inilah salah satu bayangan bahawa kisah-kisah kuno dalam purana Hindu menjadi bukti betapa ilmu dan pengetahuan manusia purba di Benua Kecil India mungkin lebih maju ketimbang tanggapan kita selama ini.
Tentu ada suara skeptik yang bertanpa: Apakah boleh kita mempercayai sepenuhnya purana sebagai fakta? Apakah tidak terlalu banyak unsur mitologi dan cerita luar akal?
Memanglah benar purana merupakan cerita, dongeng, dan kisah rekaan. Namun begitu, jika kita mampu membaca purana dengan kesedaran kritis, maka akan nampak ilmu yang tersirat kemas di dalamnya.
Antara purana terkenal ialah Brahma Purana yang berkisah tentang asal usul alam semesta, falsafah yang disampaikan oleh Maharishi Kapila, serta pelbagai kisah yang turut ditiru masyarakat terkemudian ke dalam teks mereka. Bhavishya Purana antara lain memberi amaran tentang kedatangan seorang individu yang bakal membawa ajaran untuk menyesatkan umat manusia.
Tentu sahaja tidak semua pernyataan dalam purana dapat disandarkan kepada sains moden. Sesetengah perkara mungkin alegori dan naratif berlapis yang kadang-kadang bercampur antara kenyataan dan simbolisme. Tetapi dari segi nilai epistemik, purana adalah warisan kavya yang boleh dijadikan renungan — bukan untuk memaksakan makna literal, sebaliknya menyerapkan kebijaksanaan dan inspirasi.
Bagi generasi muda Hindu di Malaysia, menghayati purana bukan kemunduran ke masa lampau, melainkan langkah membina jati diri yang lebih teguh. Mereka boleh menggunakan purana sebagai sumber kreatif: karya seni, novel fantasi bercorak mitos, puisi, lakon teater, grafik komik, dan seumpamanya untuk menyulam mitos purana ke dunia moden Malaysia.
Dengan demikian, identiti Hindu tempatan tidak menjadi tiruan atau saduran dari negara India semata-mata, tetapi bercambah menjadi akar budaya yang relevan dengan konteks negara ini.
Purana Hindu bukan hanya kitab kuno untuk ritual keagamaan. Sebaliknya perlu dilihat sebagai ladang inspirasi, sumber ilmu, dan pangkalan estetika. Bagi generasi muda penganut Hindu di Malaysia, membaca purana adalah langkah mendekatkan diri dengan akar, memperkuat identiti, dan merumuskan kembali budaya Hindu dalam konteks Malaysia. ‘Suara’ daripada purana akan terus bergema dalam jiwa muda, membina Bangsa Malaysia yang kaya dalam kepelbagaian, dan melahirkan generasi yang berani bermimpi membina hidup baharu.
Lebih daripada aspek ilmiah, purana juga sarat dengan ajaran moral dan falsafah: dharma (tanggungjawab kebenaran), karma (perbuatan dan akibat), bhakti (pengabdian), dan yoga (penyatuan jiwa dengan Pencipta).
Dalam purana, tokoh‑tokoh mitos bukan hanya sekadar dewa-dewi (sura) dan asura, tetapi simbol perjuangan batin, konflik identiti, ketabahan ketika ujian, dan transformasi diri. Misalnya, bacalah Khanda Puranam (2022) yang diceritakan semula dalam Bahasa Malaysia.
Bagi generasi muda umat Hindu di Malaysia yang mungkin bergelut dengan keraguan identiti berkaitan warisan nenek-moyang, budaya setempat, cabaran kehidupan moden, serta dakyah licik pihak tertentu, karya purana mampu menjadi panduan dan pegangan demi menyulam akar jiwa dengan aspirasi baharu demi mengukuhkan jati diri.
Selain daripada itu, membaca purana boleh membantu memulihkan hubungan generasi dengan budaya asal. Ramai dalam kalangan kita yang hanya mengenali perihal perayaan, upacara puja, dan ritual keagamaan, tetapi tidak mengetahui kisah di sebaliknya.
Misalnya, mengapa Dewa Vishnu mengambil pelbagai avatara untuk muncul di muka Bumi? Apakah simbolik hubungan antara Shiva, Shakti, Ganesha, dan Murugan? Benarkah kita kini hidup dalam era Kaliyuga? Semua ini serta hampir segala aspek kehidupan di alam semesta terungkap secara penuh seni dalam karya purana.
Selain daripada itu, generasi muda mungkin tidak memahami makna sebenar ritual agama, pembacaan mantera, ikonografi, upacara, puasa, dan sebagainya. Purana menjawab segala pertanyaan ini menerusi naratif dan simbol, menjadikan kepercayaan hidup umat Hindu khasnya dan umat manusia amnya terasa lebih bermakna. Segala ilmu yang terkandung dalam Rigveda, Yajurveda, Samaveda, dan Atharvaveda turut disampaikan secara mudah dalam karya purana. Baca maklumat asas tentang veda dalam buku Malaiur Manikam (2015).
Apabila generasi muda tahu segala kisah itu, mereka akan menyedari betapa kaya dan unik segala purana Hindu. Mereka juga dapat menyusun semula nilai-nilai ajaran Hindu dalam kehidupan seharian — sekali gus menyelamatkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah hina milik puak pendakyah kultus ajaran sesat.
[Esei ini
ditulis oleh Uthaya Sankar SB selepas menonton video
“18 Puranas
Explained: Ancient Hindu Texts That Reveal Creation, Science & The Future”
di YouTube.]