Persatuan
Penulis-penulis Tamil Malaysia (MTWA) ditubuhkan pada 1963 dan terus giat mengangkat
karya bahasa Tamil oleh penulis tempatan. Apa yang unik, persatuan ini mampu
bergerak tanpa mengharapkan dana daripada mana-mana pihak.
Pada 24
September 2025, saya bertemu presidennya, Mohanan Perumal yang meneraju persatuan ini
sejak Mei 2024 [tonton video].
Antara usaha besar beliau ialah kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
[Baca juga – “Penulis Tamil Masuk Gapena”]
“Para
penulis Tamil dan ahli persatuan sekitar 60 orang diberi penerangan tentang kriteria
cerpen Tamil yang layak diterjemah untuk diterbitkan oleh DBP. Satu perkara penting
yang mereka tegaskan dalam taklimat khas pada 21 Disember 2024 ialah menterjemah
dan menerbitkan karya baharu dan bukannya karya Tamil yang sudah dibukukan
sebelum ini,” katanya.
[Baca juga – “Antologi Cerpen Terjemahan Tamil” dan “Seruling di Persimpangan” serta “Penulis Tamil dan Usaha Terjemahan”]
Susulan
daripada itu, MTWA menganjurkan satu bengkel penulisan cerpen Tamil dengan
kerjasama stesen radio MinnalFM. Kemudian,
satu sesi bimbingan secara dalam talian diatur dengan mengundang seorang
penulis terkenal dari Tamil Nadu, India.
“Tidak
setakat itu, kami buat satu seminar khas mengenai kecerdasan buatan (AI) dengan
kerjasama Universiti Perdana. Maka, cerpen-cerpen yang dihantar bagi
pertandingan anjuran MTWA didapati lebih bermutu kerana ramai peserta cuba meneroka
topik dan tema baharu. Muncul ramai penulis muda yang mengangkat tema dan gaya
baharu dalam penulisan cerpen Tamil,” Mohanan menjelaskan dengan gembira.
Sejumlah
20 cerpen terpilih sedang disiarkan menerusi slot cerpen di stesen radio MinnalFM. Cerpen-cerpen itu akan
dibukukan oleh MTWA. Pada masa sama, karya berkenaan akan diberi kepada panel
khas untuk diteliti dan dinilai sama ada sesuai dan layak diterjemah sebelum
diserah kepada DBP untuk diterbitkan.
Pada
masa kini, ada 380 ahli seumur hidup disenaraikan dalam buku laporan tahunan
MTWA. Senarai nama 168 ahli seumur hidup yang sudah meninggal dunia turut
diabadikan dalam buku laporan itu.
Secara
keseluruhan, sejak MTWA diasaskan pada 1963, ada lebih daripada seribu penulis
Tamil dari seluruh negara menjadi ahli. Namun, menurut Mohanan, selain 380 ahli
seumur hidup, jumlah ahli terkini yang membayar yuran tahunan ialah sekitar 70
orang.
“Saya
mensasarkan untuk membawa masuk seratus ahli baharu dalam masa setahun akan
datang, khususnya daripada kalangan generasi muda,” katanya.
Dalam
perbualan kami, Mohanan berulang kali menyatakan betapa kebajikan ahli perlu
dijaga dan sumbangan mereka dihargai. Misalnya, beliau mengusulkan supaya
setiap ahli yang menghadiri mesyuarat agung tahunan diberi elaun kehadiran dan
disediakan kemudahan menginap di hotel.
“Kami
sudah melaksanakannya pada mesyuarat agung tahunan yang lalu dan saya melihat
sendiri kegembiraan pada wajah para ahli, khasnya penulis veteran yang gembira
kerana sumbangan mereka dihargai dengan cara ini,” beliau menceritakan.
[Baca juga – “Sevisei Sitter Re. Shanmugam”]
Jumlah
penyertaan ke hampir semua program MTWA juga meningkat sejak kemudahan
pengangkutan dan penginapan percuma disediakan. Mohanan mengaku, majoriti ahli
adalah penulis sepenuh masa dan warga emas. Maka, mereka teruja dan rasa
dihargai apabila diberikan kemudahan sedemikian.
Satu
perkara menarik mengenai MTWA ialah tidak mengharapkan bantuan kewangan
daripada kerajaan. Menurut Mohanan, MTWA ada aset RM240,000 dalam bentuk deposit
tetap. Dividen bulanan digunakan untuk menjalankan aktiviti, termasuk hadiah
pertandingan menulis.
Persatuan
juga memiliki dua buah bangunan yang disewakan dan hasil bulanan adalah lebih
daripada mencukupi untuk menampung kos aktiviti dan pengurusan persatuan.
“Impian
saya untuk menambah wang deposit tetap persatuan kepada RM1 juta supaya segala
aspek kebajikan para penulis Tamil di negara ini terjamin sepenuhnya tanpa
perlu bergantung kepada pihak luar,” tegasnya.
Mohanan
sedar penulis dan karya Tamil belum mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada
pihak berkuasa, termasuk kerajaan persekutuan dan agensi seperti DBP.
[Baca juga – “Apa Lagi Penulis Tamil Mahu?” dan “Memahami Realiti Sastera Tamil di Malaysia”
serta “Dilema Sastera Tamil di Malaysia”]
“Hal ini
mungkin berlaku kerana kandungan karya Tamil tidak diketahui pihak luar. Itulah
juga antara sebab MTWA mahu bekerjasama dengan DBP untuk menterjemah cerpen
Tamil,” ujar Mohanan.
[Baca juga – “Terjemahan Masih Penting”]
Beliau menjadi
ahli biasa MTWA pada 1993. Sejak itu, beliau mengusulkan pelbagai idea dan
cadangan bagi mengangkat martabat persatuan, penulis dan karya bahasa Tamil.
“Selepas
naik sedikit demi sedikit dan memegang pelbagai jawatan, saya kini diberi
kepercayaan menjadi presiden. Maka, apa-apa yang kami laksanakan sekarang bukanlah
idea yang baru muncul. Sebaliknya, idea yang berkembang sejak 1993. Saya
gembira kerana saya bukan hanya pandai bercakap dan memberi cadangan,
sebaliknya mampu melaksanakan kebanyakan idea itu,” katanya.
Sejak 2020,
MTWA sudah menerbitkan 20 buah buku memuatkan karya ahli. Kami turut berbincang
tentang muatan cerita, tema, dan isu yang diangkat dalam karya Tamil tempatan.
Mohanan pernah
tinggal selama 10 tahun di London, melancong ke negara-negara Eropah, dan
bekerja di Afrika Selatan. Sebagai seorang peguam, beliau ada pejabat di beberapa
negara. Beliau juga selalu diundang mengendalikan bengkel tadbir urus korporat
di seluruh dunia.
“Masalah
wujud di mana-mana dan dalam setiap komuniti. Penulis memang menjadi perakam
isu masyarakat. Namun, apa yang lebih penting ialah peranan penulis sebagai
pencetus idea dan pemikiran dalam masyarakat,” tegasnya.
Sejak
dahulu, cerpen dan novel Tamil tempatan mengangkat isu kesukaran hidup pekerja
ladang getah. Bagi Mohanan, amatlah wajar penulis Tamil pada masa kini turut
mengangkat isu dihadapi kaum India di bandar, sama ada masalah miskin bandar
atau kisah kejayaan individu yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi muda.
[Baca juga – “What Tamil Writers?” dan “Sumbangan Penulis (Tamil) ke Arah Perpaduan”)
“Apa tujuan
kita terus-menerus menyajikan karya tentang kemiskinan, kesedihan dan penindasan?
Kalau kita menderita, pasti ada orang lain menderita berpuluh kali ganda. Maka,
lebih baik kita menulis karya yang memberi motivasi, harapan dan keyakinan
kepada pembaca. Itulah nasihat dan harapan saya kepada penulis Tamil di Malaysia,”
Mohanan menyimpulkan.
[Berkaitan – Pertemuan Penulis Pelbagai Kaum]
[Rencana
ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan wawancara
pada 24 September 2025 – petikan video di sini – dan disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 11 Oktober 2025.]