10 Oct 2020

Sumbangan Penulis (Tamil) ke Arah Perpaduan


Sejak istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan demi perpaduan kaum pada tahun 1970, pelbagai usaha dilakukan bagi menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat, khususnya Bukan Melayu.

Salah satu galakan yang dibuat adalah menyeru penulis karya bahasa Tamil supaya turut menghasilkan puisi, cerpen, esei, dan novel dalam bahasa kebangsaan. Beberapa pengarang kaum India turut melakukan kerja-kerja terjemahan karya Tamil kepada bahasa kebangsaan.

Dua penulis Tamil yang amat menonjol pada tahun 1970-an ialah G. Soosai dan Joseph Selvam. Cerpen-cerpen Tamil yang dihasilkan oleh penulis seperti V.S. Mutiah, Ram Gopal, P.P. Narayan, Sanggu Shanmugam, Mageswari Nadeson, R. Karthigesu, S.V. Shanmugam, dan T.M. Anna Mary diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia oleh Soosai.

Pada pandangan Soosai, karya-karya Tamil tempatan wajar diterjemah kepada bahasa kebangsaan bagi menyerikan Sastera Kebangsaan. Sesungguhnya, usaha terjemahan karya pada tahun 1970-an adalah langkah awal ke arah menggalakkan penulis kaum India terlibat dalam Sastera Kebangsaan.

Penglibatan Joseph Selvam dalam bidang Sastera Kebangsaan mendapat liputan meluas pada tahun 1970-an dan 80-an. Beliau banyak menghasilkan sajak yang bertema perpaduan dan tersiar di akhbar Balai Muhibbah. Selain daripada sajak dan cerpen yang ditulis secara langsung dalam bahasa kebangsaan, beliau turut melakukan terjemahan karya Tamil.

Seorang lagi penulis kaum India yang menulis karya kedua-dua bahasa ialah M. Mahendran dari Bentong, Pahang. Sejak akhir tahun 1980-an, cerpen dan esei beliau dalam Bahasa Malaysia dan Tamil tersiar di pelbagai akhbar dan majalah. Mahendran adalah contoh penulis generasi baharu kaum India yang lahir menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970 dan masih aktif menulis sehingga kini.

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 13 September 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 21 September 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Mari Kita BercintaUniknya Sastera KitaElakkan FobiaMalaysia Prihatin Satukan Kepelbagaian Melayu Sudah Hilang Jati Diri?Generasi Muda Tidak Lupa OnamKrisis, Bencana Tonjol Sikap Kita”]