19 Sept 2025

“Mungkin Lepas Ni Orang Tak Sebut Tentang Kavyan” – Bahagian 1

“Joseph Selvam mula menulis pada tahun 1965 hingga tahun 1970-an. Beliau menghasilkan antara 200 puisi ataupun sajak dan banyak menghasilkan cerpen, dalam anggaran lebih kurang 25 buah cerpen. Adakah masih ada penulis seaktif beliau pada masa kini?”

Demikian pertanyaan dikemukakan pegawai perancang bahasa di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Nor Muhamad Mat Zain @ Nur Muhamad Fansuri selaku moderator pada sesi Suara dari Anjung: Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia.

Sesi bual bicara ini berlangsung di Anjung DBP, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 11 September 2025 serta disiarkan secara langsung menerusi media sosial dan didokumentasi di YouTube [tonton di sini].

Sesiapa yang mengikuti perkembangan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) pasti tahu bahawa Sasterawan Kavyan – penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia – masih aktif memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan.

Mantan ketua Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya, Dr. Krishanan Maniam menjawab pertanyaan moderator dengan penjelasan berikut:

“Sebenarnya, masa-masa Joseph Selvam menghasilkan karya itu adalah masa Balai Muhibbah masih hidup. Dan mereka memang menulis pada Balai Muhibbah dan editor Balai Muhibbah akan memurnikan karya-karya mereka dan ia menjadi pembacaan untuk orang ramai.”

Bercerita lebih lanjut tentang Joseph Selvam dan N.S. Maniam yang aktif pada tahun 1970-an, Krishanan Maniam menghuraikan:

“Mereka memang sangat-sangat aktif dalam karya Sastera Melayu waktu itu kerana mereka juga didedahkan kepada Sastera Indonesia. Joseph Selvam banyak merujuk kepada Chairil Anwar dan sajak-sajaknya ada mirip dengan Chairil Anwar. Saya juga menulis artikel perbandingan sajak Joseph Selvam dan Chairil Anwar.”

Menurut Krishanan Maniam, menjelang tahun 1980-an, tidak ada kesinambungan dalam usaha membawa masyarakat India mendekati serta berkecimpung dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia.

“Hanya apabila Majlis Penulis Remaja [Minggu Penulis Remaja] yang dimulakan di DBP, dan juga Majlis Penulis Pelbagai Kaum di DBP, mereka menganjurkan banyak aktiviti untuk memupuk Sastera Melayu dalam kalangan penulis-penulis daripada masyarakat India.”

Penerangan susulan daripada beliau menimbulkan tanda tanya kerana katanya:

“Dalam masa itu, Uthaya Sankar SB, Saroja Theavy, Sridevi [Srivali?], dan juga Mahendran dan Prabhu [?] dan sebagainya menghadiri dalam Majlis Penulis Remaja [Minggu Penulis Remaja] dan mereka menghasilkan karya-karya mereka dalam peraduan Maybank-DBP [Hadiah Cerpen Maybank-DBP].”

Untuk rekod, antara nama penulis kaum India yang dinyatakan di atas, hanya saya menyertai program Minggu Penulis Remaja (baca di sini). Namun begitu, memang benar bahawa Saroja Theavy, Mahendran, Srivali, dan saya memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP.

“Mereka menang dan ini menjadi satu lonjakan kepada mereka dan juga menjadi satu medan untuk menghasilkan karya-karya mereka. Tetapi yang itu [Hadiah Cerpen Maybank-DBP] pun sudah tidak ada lagi. Maka, mereka tidak ada ruang untuk melibatkan diri dalam penulisan sastera,” kata Krishanan Maniam lagi pada sesi bual bicara Suara dari Anjung: Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia.

Tentulah kenyataan “mereka tidak ada ruang untuk melibatkan diri dalam penulisan sastera” tidak benar sama sekali. Sebagai pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan), saya berani katakan dengan penuh autoriti bahawa para Sasterawan Kavyan tidak pernah semata-mata bergantung kepada pertandingan, peraduan, dan sayembara untuk terus melibatkan diri dalam bidang penulisan.

Disertasi kajian sarjana sastera saya yang diterbitkan dengan judul Kavya Sastra (2021) memuatkan segala maklumat dan data berkaitan perkara ini. Malah, Kavyan memiliki portal Sastera Kavyan yang menyiarkan karya seperti puisi, cerpen, rencana, ulasan, dan catatan pengalaman.

Antologi Vanakam (2002), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022), dan Seruling Malam (2024) menjadi bukti komitmen serta sumbangan Sasterawan Kavyan kepada perkembangan Sastera Kebangsaan. [Baca Bahagian 2] (akan datang)