20 Sept 2025

“Mungkin Lepas Ni Orang Tak Sebut Tentang Kavyan” – Bahagian 2

[Baca Bahagian 1] Saya menerbitkan sendiri buku-buku saya sejak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuba menafikan hak saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” (baca di sini). Bermula dengan Sasterawan Pulau Cinta (2001), saya masih aktif menerbitkan buku dengan sokongan modal sosial daripada rakan-rakan – lihat senarai buku [di sini].

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) juga membantu merealisasikan impian M. Mahendran menerbitkan kumpulan cerpen Karupaya (2018) dan Ramakrishnan menerbitkan kumpulan puisi Kurnia (2018).

Malah, Kavyan menganjurkan siri bengkel penulisan secara bersemuka dan dalam talian dari semasa ke semasa, serta mengirim karya peserta untuk disiarkan di majalah terbitan DBP. Usaha itu dihentikan pada April 2021 berikutan tindakan rasis, fasis, ekstremis, dan subversif DBP menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan istilah “Tuhan” dalam penulisan — baca dokumentasi penuh [di sini].

Namun begitu, para penulis kaum India – sama ada secara sendirian atau menerusi Kavyan – tetap menulis tanpa mengeluh atau merungut “tidak ada ruang untuk melibatkan diri dalam penulisan sastera”. Portal seperti Eksentrika dan Cukaria turut menjadi medan (“ruang”) berkarya.

Peranan Kavyan turut diperakui Krishanan Maniam semasa memperkatakan tentang penulis kaum India pada sesi bual bicara Suara dari Anjung: Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia pada 11 September 2025. Tambahan pula, beliau memang mengikuti perkembangan Kavyan sejak diasaskan pada 1999 dan menjadi salah seorang Penasihat Kavyan.

“Uthaya Sankar dengan sendirinya memulakan satu persatuan yang dikenali sebagai Kavyan. Dan Kavyan ini mengumpulkan penulis-penulis kaum India yang minat menulis dalam Bahasa Kebangsaan dan mereka dapat menghasilkan beberapa antologi dan ada juga sebuah antologi yang dipanggil sebagai Vanakam, selain daripada penghasilan buku secara persendirian oleh Uthaya Sankar. Ini menjadi satu contoh kepada masihnya ada bibit-bibit dalam masyarakat India untuk menghasilkan Sastera Kebangsaan,” katanya.

Kejahilan atau sikap kurang ambil tahu tentang realiti serta perkembangan terkini para penulis kaum India dalam Sastera Kebangsaan juga terserlah apabila moderator mengemukakan pertanyaan seperti berikut:

“Kalau dahulu, sebelum Covid-19, saya meneliti perkembangan kumpulan tersebut [Kavyan] rancak di dalam media elektronik tetapi sehingga kini [2025], saya masih mencari di mana titik temu ataupun perkembangan mereka yang kalau dahulu aktif sebelum Covid-19 dalam media sosial ataupun media elektronik, penerbitan dan penulisan, kini di mana tempatnya? Adakah masih aktif berwacana ataupun dalam ruangan digital?”

Saya terkedu dan terkesima menonton rakaman sesi bual bicara ini menerusi YouTube [tonton di sini]. Seolah-olah Kavyan dan Sasterawan Kavyan sudah lumpuh sejak pandemik Covid-19. Pada hakikatnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kavyan masih aktif secara maya (lihat contoh).

Antara penulis baharu yang berjaya dibimbing, dipupuk, dan dicungkil bakat mereka sejak tahun 2020 ialah Chelvi Ganesan, Diviya Devaraj, S. Maartandan Suppiah, Malini Lakshmi Bai, Nageinthini Tewarajan, S. Perevenia, Rupasree Ganesan, dan Santhiavathi Ramasamy. Maklumat mereka boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra (2021) manakala karya mereka termuat dalam antologi yang diusahakan oleh Kavyan, misalnya Seruling Malam (2024).

Bagi menjawab pertanyaan moderator, Krishanan Maniam menjelaskan bahawa para Sasterawan Kavyan masih aktif mengadakan pertemuan dalam skala kecil.

“Ada satu restoran yang dipanggil sebagai Baba Melaka [Restoran Anak Baba, Brickfields], di situ anggota Kavyan ini dipimpini oleh Uthaya Sankar SB memang bertemu dan mereka bincang tentang apakah perkembangan sastera sekarang,” katanya.

Untuk makluman, antara program yang dijalankan di Restoran Anak Baba ialah “Baca di Anak Baba” (5 Ogos 2023, 2 September 2023, 7 Oktober 2023, 4 November 2024, dan 2 Disember 2023), “Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba” (17 September 2023), “Lepak Menulis Rencana di Anak Baba” (22 Oktober 2023), “Bicara Tagore di Anak Baba” (27 Julai 2025), “Bicara Bharati di Anak Baba” (23 Ogos 2025), serta “Bicara Nayagi dan Pameran Solo Sai Vijay” (27 September 2025). [Baca Bahagian 3] (akan datang)