Pengkaji Sastera Melayu pada hari ini gemar mengangkat Ahmad Lutfi (1911-1969) sebagai tokoh penerbit, sasterawan, dan wartawan yang mengangkat tema masyarakat Melayu dan Islam dengan penuh tanggungjawab dalam penulisan dan persuratan.
Apabila
kematiannya diumumkan di akhbar Berita
Harian (21 Oktober 1969), disebut bahawa dia banyak menghasilkan novel yang
“menitikberatkan soal-soal pengetahuan, bahasa, sastera, dan sejarah Islam”.
Dia juga sering diangkat sebagai tokoh yang menerbitkan majalah Islamik yang
berpengaruh iaitu Qalam (1950-1970).
Malah, biografi
berjudul Ahmad Lutfi: Penulis, Penerbit
dan Pendakwah (2002) oleh A. Talib
Samat serta kumpulan esei kajian berjudul Ahmad Lutfi: Pembangkit Semangat Zaman (2019) menyajikan persona
Ahmad Lutfi sebagai penulis, penerbit, dan pendakwah Islam yang penting dalam
sejarah perkembangan Sastera Melayu.
Nama
sebenarnya ialah Syed Abdullah bin Syed
Hamid al-Edrus dan lahir di Kalimantan, Indonesia. Beliau berketurunan
Arab. Maknanya, mengikut ketetapan Abdul
Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad,
individu Darah Keturunan Arab (DKA) dan Daran Keturunan Keling (DKK) tidak
boleh diiktiraf sebagai orang Melayu.
Peminat,
pembaca, dan penulis karya Sastera Kebangsaan daripada kalangan kaum India
mungkin tidak pernah membaca karya-karya Ahmad Lutfi. Perkara ini tidaklah
menghairankan kerana karyanya bukan sahaja tepu unsur Melayu-Islam, malah
ditulis menggunakan tulisan Jawi.
Untuk
rekod, sejak diasaskan pada Ogos 1950, Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS
50) yang diterajui Kamaluddin Muhammad (Keris
Mas), Masuri Salikun (Masuri S.N.),
Muhammad Yusof Yaacob (Jim), Usman Awang,
A. Samad Ismail, dan Asraf Abdul Wahab mahukan tulisan Rumi
digunakan bagi bahasa Melayu (Suvarna Bhumi, 2022). Pada 14
Disember 1959, Dewan Rakyat menetapkan tulisan Rumi sebagai tulisan utama bagi
bahasa kebangsaan (Berita Harian, 15
Disember 1959).
Karya awal Ahmad Lutfi seperti Malayan Union (1946) dan Sabil
Palestine (1948) kurang menarik minat pembaca Melayu. Kemudian, dia menukar
taktik selaras selera pembaca, lalu menerbitkan novelet (sekitar 100 halaman)
yang secara terang-terangan berunsur picisan dan pornografi.
Novel-novel itu kononnya memperkatakan masalah dihadapi kaum
Melayu di Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Antara topik kegemaran Ahmad
Lutfi ialah wanita muda yang menjadi pelayan dan penari di kelab malam, isteri
yang tidak setia, ustaz dan guru agama Islam yang curang, serta pemuda dan
pemudi Melayu-Islam yang mengamalkan pergaulan bebas.
Menurut Dr. Li Chuan
Siu dari Universiti Sydney, dalam setiap novel Ahmad Lutfi, pasti
diselitkan unsur seks secara yang mengghairahkan dan kemudian disertakan pula
unsr nasihat berlandaskan ajaran Islam (Berita
Harian, 25 Mac 1973). Sasterawan Negara Datuk S. Othman Kelantan menyifatkan novel-novel Ahmad Lutfi sebagai “panas
dan merangsangkan” serta latar tempat yang digunakan dalam cerita “boleh
menimbulkan rangsangan seks tanpa batasan” (Sari
5, Julai 1987).
Novel Melayu bertulisan Jawi seperti Pelayan (1948), Bilik 69 (1949),
Terkorban di Bilik 69 (1949), Janda (1949), Subuh di Tepi Laut (1949), Geylang
Serai Karam (1949), Empat Kali Haram
(1949), Cukria (1949), I Love You (1950), Tuan Kadi (1950), Anak Kiai (1950),
dan Bilik 69 di Bandung (1950) menjadi
bukti kepada trend ini.
Novel-novel picisan itu mendapat sambutan hangat sehingga
Ahmad Lutfi yang ada 25 anak daripada tiga isteri berjaya menulis 25 buah novel
dari 1948 hingga 1951. Malah, A. Ghani
Nasir dan Sa’adon Ismail
menyifatkan Ahmad Lutfi sebagai pelopor novel lucah dalam Sastera Melayu (Berita Harian, 28 Januari 1973).
Ahmad Lutfi sendiri mengaku dalam buku Persuratan Melayu (1962) bahawa dalam tempoh 1948-1951, demi
mendapatkan sambutan hangat pembaca dan “mahu hidup”, penulis terpaksa menghasilkan
karya yang “boleh menggemarkan mereka (pembaca)”.
Novel Pelayan (1948)
menampilkan pasangan suami isteri, Abdul Aziz dan Rahmah. Dalam pergaduhan pada
suatu pagi, Rahmah menghina Abdul Aziz dengan kata-kata makian di depan orang
ramai serta menuntut cerai. Selepas diceraikan dengan talak tiga, Rahmah diajak
oleh rakannya, Khatijah, menjadi pelayan di Happy
World. Rahman bertemu Ali, lalu bermula hidup penuh noda dan tipu muslihat—tidak
perlu dihurai lanjut di sini.
Untuk rekod, Happy
World ialah pusat hiburan sebenar yang dibuka pada 7 Mei 1936 dan
menyajikan pilihan kabaret, ronggeng, bangsawan, sarkas, dan seumpamanya kepada
pengunjung. Pada awal 1964, nama Happy
World ditukar kepada Gay World (The Straits Times, 4 Februari 1964 dan
25 Julai 1973).
Novel Janda (1949)
dikutuk Mufti Johor sebagai sebuah karya picisan yang haram untuk ditulis, haram
untuk dibeli, haram untuk dibaca, dan haram untuk digunakan (Utusan Melayu, 5 September 1949). Namun,
sebagaimana diakui Sulaiman Jeem: “Bila
saja bukunya diharamkan oleh sesuatu pihak tertentu, buku itu sendiri makin
dicari untuk dibeli secara haram pula” (Berita
Harian, 9 Oktober 1977).
Mohd. Rasdan Ahmad
melihat novel picisan pada masa kini sebagai “fenomena yang mencetuskan krisis
intelektual yang sangat menakutkan terutamanya kepada remaja Melayu” (Kosmo!, 12 Februari 2021). Mungkin beliau
tidak berkesempatan membaca novel-novel Melayu bertulisan Jawi yang dihasilkan
Ahmad Lutfi mulai 1948.
“Zaman sebelum
merdeka adalah zaman jahiliah bagi kesusasteraan kebangsaan. Ia disebabkan kebanyakan
novel yang terbit dalam tempoh itu mengangkat kisah cinta asyik masyuk dan rumah
tangga yang berantakan,” kata Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Kamariah
Kamarudin (Berita Harian, 14 November
2022) sewaktu memperkatakan isu lambakan novel Melayu berunsur lucah dan erotik
dalam pasaran.
Bagi Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, Ahmad Lutfi sebenarnya “pengarang lantang dalam karya, tetapi tudak difahami umum” (Berita Harian, 2 Mei 2019). Katanya, novel Cukria (1949) dan Geylang Serai Karam (1949) kelihatan seperti karya erotik jika dibaca pada lapis pertama, tetapi sebenarnya adalah lontaran kritikan terhadap kehidupan orang Melayu pada zaman itu.
Pada Mac 2018, Perpustakaan Negara
Singapura (NLB) memulakan usaha transliterasi teks tulisan Jawi kepada Rumi.
Novel Geylang Serai Karam (1949)
menjadi pilihan untuk memulakan projek itu memandangkan Ahmad Lutfi seorang
pengarang prolifik Singapura dan ramai orang dikatakan mahu membaca karyanya.
Novel itu dianggap memberi ulasan
dan gambaran sangat tepat tentang situasi di kawasan Geylang Serai pada masa
itu. Ahmad Lutfi mahu menyedarkan pembaca perihal budaya tarian Melayu yang
semakin pudar, diganti minat anak-anak muda terhadap joget moden.
Sejak kecil,
saya banyak membaca karya Bahasa Malaysia dan Inggeris. Maka, saya sudah amat memahami kandungan
karya “oleh penulis Melayu, tentang orang Melayu, untuk pembaca Melayu”. Itulah
antara sebab saya tidak terkejut membaca pelbagai berita kononnya ramai penulis
Melayu “masa kini” gemar menulis karya picisan, lucah, erotik, atau cabul.
Saya juga
sentiasa menasihati Sasterawan Kavyan supaya membaca karya penulis Melayu (“Sastera
Melayu”). Saya mahu penulis kaum India tahu apakah tema, isi, dan cerita yang
digemari penulis Melayu sejak dahulu.
Sekurang-kurangnya
boleh dijadikan panduan dan sempadan agar karya yang dihasilkan oleh Sasterawan
Kavyan membantu memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan—bukan mencemarkannya dengan “karya
cabul” yang sudah pun banyak dihasilkan sejak zaman kegemilangan Ahmad Lutfi.
(Harap maklum
bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian
Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Esei ini ditulis pada 13-15 Disember 2025 dalam usaha
mendidik penulis kaum India.)



