Sambungan daripada [Bahagian Satu] Dalam laporan muka depan The Straits Times (13 November 1962), Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu membidas tindakan polis dan pegawai agama Islam atas penahanan K. Bharatan. Untuk rekod, lebih 200 polis dan pegawai agama dilaporkan melakukan serbuan di 24 buah hotel dalam operasi membanteras khalwat, tetapi hanya Bharatan dan seorang wanita bisu, Fatimah binti Daud (30) ditangkap.
Walaupun
Bharatan sudah mengaku salah di Mahkamah Majistret, Hakim Mahkamah Tinggi
membatalkan hukuman dan denda terhadapnya serta menyifatkan tuduhan ke atas
Bharatan sebagai “buruk, tidak ada erti dan tidak betul”. Malah, kata hakim, “Tuduhan
itu menyentuh kebebasan peribadi rakyat sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan
Persekutuan.”
Namun
begitu, seruan supaya umat Bukan Islam turut dihukum dalam kes khalwat terus
bergema. Misalnya, pada Disember 1962, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Mohamed Asri (PAS) memberitahu Dewan
Rakyat bahawa perlu ada undang-undang peringkat kebangsaan (persekutuan) untuk
menghukum orang Islam dan Bukan Islam yang ditangkap berkhalwat.
Terdahulu,
pada September 1962, wakil rakyat Kodiang, Mustafa
bin Ahmad (Perikatan) mengusulkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri
Kedah bahawa demi berlaku adil kepada orang Islam, maka umat Bukan Islam yang
berkhalwat juga perlu dihukum.
Wakil
Perikatan, Abdullah bin Akil dari
Jerantut mengusulkan perkara hampir sama pada persidangan Dewan Undangan Negeri
Pahang pada Februari 1965. Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri, Sheikh Abdul Rahman Abu Bakar tampil mengingatkan,
undang-undang Islam di setiap negeri hanya terpakai bagi orang Islam.
Ternyata usaha
menindas umat Bukan Islam tetap berlaku secara terang-terangan dari semasa ke
semasa. Misalnya, pada September 1969, Majlis Agama Islam Negeri Johor
meluluskan rang undang-undang yang membolehkan Mahkamah Syariah mendakwa individu
Bukan Islam jika berkhalwat dengan orang Islam.
Mujurlah
Peguam Negara, Abdul Kadir Yusof segera
menyelar langkah itu yang secara terang-terangan bertentangan dengan
Perlembagaan Persekutuan. Malah, menurut Perlembagaan Persekutuan, semua
undang-undang Islam yang dibuat oleh setiap negeri hanya terpakai bagi orang
Islam.
Namun begitu,
pada November 1977, Abdul Kadir Yusof
selaku Menteri Undang-undang terpaksa sekali lagi mengingatkan di Dewan Rakyat
bahawa kerajaan negeri tidak boleh membuat undang-undang menghukum umat Bukan
Islam yang ditangkap berkhalwat bersama orang Islam.
Menjawab pertanyaan
Lukman Abdul Kadir (Ulu Nerus),
Abdul Kadir Yusof berkata, kerajaan persekutuan juga tidak bercadang menggubal
undang-undang ke arah itu kerana ia tidak terletak di bawah bidang kuasa kerajaan
pusat.
Ramai tidak
tahu bahawa pada Jun 1979, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sudah
menyerahkan cadangan kepada kerajaan untuk diteliti. Dekan Fakulti
Undang-undang, Universiti Malaya, Ahmad
Ibrahim dilaporkan berkata, umat Bukan Islam yang berkhalwat dengan orang
Islam akan didakwa di mahkamah sivil.
Sehingga
April 1989, masih ada laporan media bahawa terdapat cadangan membenarkan
jabatan agama Islam di Pulau Pinang, Selangor, dan Kedah menghukum umat Bukan
Islam yang ditangkap khalwat bersama orang Islam. Setiausaha Agung Parti Gerakan
(komponen Barisan Nasional), Chan Choong
Tak menyelar cadangan itu kerana secara terang-terangan melanggar Perkara 11 dan Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Pelbagai
berita tangkapan khalwat dilaporkan pada hampir setiap minggu – [lihat di sini]. Apa-apa pun, suka saya
mengingatkan bahawa Undang-undang Syariah tidak sesekali terpakai kepada umat
Bukan Islam. Hal ini selaras Butir 1, Senarai 2 dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan yang jelas mengatakan Mahkamah Syariah hanya ada bidang kuasa ke
atas orang Islam.
Maknanya, jika
individu Bukan Islam ditangkap khalwat bersama seorang beragama Islam, maka
individu Bukan Islam itu tidak akan dan tidak boleh didakwa atas
tuduhan berkhalwat. Dalam apa-apa keadaan, undang-undang Syariah (Islam) tidak
terpakai ke atas individu Bukan Islam.
Walau
bagaimanapun, umat Bukan Islam perlu sentiasa berwaspada kerana mungkin pula
taktik memujuk dan mengugut boleh digunakan pihak tertentu sehingga individu Bukan
Islam yang ditangkap khalwat bersama orang Islam bersetuju meninggalkan agama
asal, kononnya secara sukarela.



