1 Mar 2004

Bapaku Sasterawan


Aku tidak pernah melihat Bapa tidak sibuk. Kalau tidak menulis, Bapa pasti sedang membaca. Atau menulis kertas kerja.

Dalam keluarga ini, aku fikir Tommi dan aku yang paling bertuah. Anak-anak seramai enam orang serta Ibu tidak berani mengganggu Bapa sewaktu Bapa sedang menulis. Masing-masing sedia maklum akan kesibukan dan tanggungjawab Bapa.

Malah, kesemua anak-anak lebih gemar meluahkan perasaan kepada Ibu berbanding kepada Bapa. Bapa pula tidak kecil hati. Bapa faham bahawa dalam kesibukan dirinya, Bapa memang tidak mampu meluahkan sepenuh kasih sayang secara sentuhan fizikal.

“Sikap mengambil berat yang saya tunjukkan pasti dapat menyatakan kasih sayang saya terhadap mereka,” kata Bapa sewaktu ditemu ramah seorang pengarang yang mengusahakan biografi Bapa.

Seperti yang aku nyatakan, Tommi dan aku agak bertuah kerana Bapa sentiasa membenarkan kami mengganggunya walaupun Bapa sedang sibuk di perpustakaan. Lalu, kami berdua sering mencuri peluang mendampingi Bapa yang duduk menulis bersendirian.

Pada tarikh persaraan Bapa, anak sulung kesayangan Bapa menghadiahkan sebuah tangga. Maka mudahlah Bapa mencapai buku-buku yang tersusun atas rak di perpustakaan. Selalu pula Bapa duduk membaca di atas tangga itu sendiri.

Tommi dan aku tidak mahu ketinggalan. Kami biasanya akan turut melompat naik tangga untuk duduk di sisi Bapa.

“Kalau kau diminta bercerita tentang Bapa, apa yang akan kau ceritakan?” tanya Tommi pada suatu pagi.

Terdiam aku dibuatnya. Mustahil ada pihak yang akan meminta aku – atau pun Tommi – untuk bercakap tentang Bapa. Kalau pun ada orang – seperti si penulis biografi itu dulu – yang mahu tahu tentang Bapa, mereka pasti akan memilih untuk bertanya kepada Ibu atau kepada anak-anak Bapa. Atau kepada sahabat-handai Bapa.

“Bayangkan sahaja, bahawa ada orang yang meminta kita bercerita,” kata Tommi apabila dilihatnya aku termenung sambil tersenyum.

Tommi dan aku sedang berjemur di halaman rumah pada waktu itu. Belum sempat aku berkata apa-apa, mata kami berdua terpandang sebuah kereta hijau yang bergerak perlahan di hadapan rumah. Aku perhatikan betul-betul wajah si pemandu.
.
(Petikan cerpen "Bapaku Sasterawan" yang disiarkan dalam majalah Sarina, Mac 2004 dan dimuatkan dalam buku Kathakali, 2009. © UthayaSankar SBMahu mendengar audio bacaan cerpen ini? Hubungi Uthaya - klik di sini]