29 Jun 2025

Reaksi Pembaca Beta “Posmen Kampung Durian”

“Pembaca beta” merujuk kepada orang yang dipelawa menjadi pembaca awal bagi manuskrip sebuah karya (cerpen, novel) yang belum disiarkan di mana-mana. Mereka diberi peluang mengemukakan komen dan pandangan peribadi secara ikhlas kepada penulis mengenai karya berkenaan.

Beberapa rakan bersedia menjadi pembaca beta (beta reader) bagi sebuah cerpen terbaharu saya yang ditulis sewaktu menyertai Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 21-22 Jun 2025. Mereka membaca dan memberikan reaksi sebelum cerpen tersiar di mana-mana.

* * *

Perenggan pertama cerpen “Posmen Kampung Durian” terdiri daripada dua ayat sahaja. Namun begitu, masih terdapat unsur cangkuk naratif (narrative hook) yang menarik minat saya untuk meneruskan pembacaan. Saya tertanya-tanya mengapa tidak ada satu pun pokok durian di Kampung Durian. Ada juga perasaan untuk mengetahui apa terjadi kepada pokok-pokok durian atau adakah kampung itu sengaja dinamakan Kampung Durian tanpa sebab.

Apabila habis membaca Halaman 1, saya masih keliru dengan kehadiran watak Posmen. Tidak tahu apa peri pentingnya Posmen dan peristiwa kehilangan pokok-pokok durian. Adakah posmen itu berpura-pura baik? Demikian saya tertanya-tanya dan membuat agakan.

Pada pandangan saya, watak Ketua Kampung sengaja mengada-adakan penyakit dan kemudian pura-pura pula menyembuhkannya. Tidak mustahil, Ketua Kampung dan Putera Bunian berkomplot dalam hal ini.

Tentang watak Posmen pula, saya memikirkan kemungkinan watak Putera Bunian sebenarnya menyamar menjadi Posmen. Sambil menghantar surat kepada penduduk, dia menyampaikan ilmu kepada Ketua Kampung.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya? Soalan ini timbul selepas selesai membaca petikan awal sepanjang sekitar 500 perkataan. Kemungkinan besar, watak Posmen adalah mata-mata gelap yang datang untuk memerhatikan gelagat Ketua Kampung  yang mencurigakan. Dialah yang sebenarnya menghapus durian di Kampung Durian.

[M. Mahendran dari Bentong, Pahang berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kavyan pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]

* * *

Nama “Kampung Durian” tetapi tiada pohon durian menimbulkan ironi menarik. Cangkuk naratif pada bahagian awal cerpen membangkitkan misteri, seolah-olah menyimpan kisah silam atau rahsia yang menanti untuk disingkap.

Perasaan ingin tahu misteri lenyapnya ladang durian, watak Ketua Kampung yang penuh rahsia, dan kemunculan Posmen yang sempurna perwatakan—semuanya menambat rasa ingin tahu saya untuk terus membaca.

Watak Ketua Kampung dalam cerpen ini digambarkan sebagai tokoh berkuasa dan misteri, disegani tetapi juga dicurigai. Kepercayaannya terhadap alam ghaib menjadikannya pemimpin yang berpengaruh dan ditakuti.

Watak Posmen pula digambarkan sebagai watak luar yang misteri—menolak durian, tidak bergaul dengan orang kampung, dan hanya berbual dengan Ketua Kampung. Kedua-dua watak ini menimbulkan tanda tanya dan rasa curiga dalam diri saya semasa membaca petikan awal cerpen ini.

Selesai membaca petikan awal sekitar 500 perkataan, saya cuba membayangkan (meneka) apa yang mungkin berlaku seterusnya. Mungkin watak Posmen rupa-rupanya sudah lama meninggal dunia dalam kemalangan semasa menghantar surat ke Kampung Durian—tetapi rohnya masih datang setiap hari kerana perjanjian terputus dengan Putera Bunian belum dilaksanakan.

[Mohamad Rosdy Dahri @ Adhie Kelana berasal dari Kuching, Sarawak. Hobi beliau membaca sejak kecil—buku bagi beliau adalah jendela dunia. Gemar menyelami pelbagai genre, dari sastera klasik hingga fiksyen moden, puisi, falsafah, dan kisah-kisah perjalanan. Membaca memberi beliau ruang untuk berfikir, bermimpi, dan memahami pelbagai sisi kehidupan yang tidak selalu dapat dialami secara langsung. Ia juga menjadi sumber ilham dalam penulisan santai beliau, sama ada diari peribadi, catatan di media sosial, atau puisi ringkas.]

* * *

Terdapat cangkuk naratif yang efektif melalui kontradiksi antara nama “Kampung Durian” dengan ketiadaan pokok durian, disusuli deskripsi keluasan kampung yang mengejutkan. Gaya penulisan ini berjaya merangsang rasa ingin tahu saya sebagai pembaca beta.

Minat saya untuk meneruskan pembacaan ke Halaman 2 masih kukuh kerana misteri penghilangan ladang durian dan pengenalan watak Posmen serta Ketua Kampung yang penuh teka-teki.

Pada pemerhatian saya, watak Ketua Kampung dilukiskan sebagai figura yang karismatik namun menyeramkan, dengan pengaruh mistik dan autoriti mutlak. Keperibadiannya yang dualistik dan dihormati sekali gus ditakuti. Secara tidak langsung, penampilan watak Ketua Kampung menambah dimensi psikologi yang menarik.

Sementara itu, watak Posmen digambarkan sebagai insan profesional yang berpegang teguh pada etika kerja, tetapi sikap antisosialnya dan penolakan terhadap durian menimbulkan persoalan dalam minda saya tentang latar belakang peribadi watak ini yang mungkin lebih kompleks.

Selepas membaca petikan awal sekitar 500 perkataan, saya memikirkan kemungkinn apa yang berlaku seterusnya dalam cerpen ini. Konflik antara watak Posmen dan Ketua Kampung dijangka akan tercetus, mungkin berkaitan dengan rahsia di sebalik kemusnahan ladang durian. Interaksi antara mereka berdua boleh pula mendedahkan kebenaran yang selama ini tersembunyi.

[Mohd Izwan bin Mohd Ali merupakan anak jati Jasin, Melaka yang menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jasin dan seterusnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Jasin. Minat yang mendalam terhadap bidang bahasa dan sastera mendorong beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan berjaya menamatkannya pada tahun 2012. Beliau terus menetap di daerah kelahiran dan menggalas tanggungjawab sebagai pendidik Bahasa Melayu di alma mater beliau, SMK Iskandar Shah.]

* * *

Perenggan pertama yang terdiri daripada dua ayat memang agak unik kerana bercerita mengenai nama kampung dan durian. Memang pendek tetapi ada sesuatu yang menarik di sebaliknya dan saya ada keinginan untuk terus membaca. Satu persoalan terlintas dalam minda kerana saya biasa membaca karya Uthaya Sankar SB, kenapa permulaan bagi cerpen ini seperti permulaan karangan murid sekolah?

Namun begitu, saya tetap berminat untuk memeruskan pembacaan ke Halaman 2. Saya ingin tahu siapa Ketua Kampung dan siapa Posmen. Saya rasa, cara penyampaian cerita oleh Uthaya pada kali ini agak berbeza. Ada sesuatu yang membuatkan saya tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam cerita ini.

Pada pengamatan saya, watak Ketua Kampung seorang yang cuba menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mempengaruhi penduduk Kampung Durian. Ketua Kampung seolah-olah menjadi wakil Putera Bunian di Kampung Durian untuk menyelesaikan isu atau masalah yang dihadapi para penduduk.

Watak Posmen pula kurang jelas kerana Posmen hanya diperkatakan pada dua perenggan awal Halaman 2. Manakala Halaman 1 hanya memberi sedikit pengenalan mengenai Posmen. Saya berpendapat, Posmen ialah Putera Bunian kerana Posmen selalu meluangkan masa untuk berbual-bual dengan Ketua Kampung.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Pada pandangan saya, watak Ketua Kampung akan mengikut arahan Posmen yang juga adalah Putera Bunian dan terus mempengaruhi penduduk Kampung Durian. Ketua Kampung akan menjadi orang yang dicari untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung. Dalam keadaan ini, Ketua Kampung akan mula mengambil peluang terhadap penduduk kampung dengan memanipulasi mereka.

[Anuradha Chelliah lahir di Klang, Selangor. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian sarjana muda (2001) dan sarjana (2011) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting. Karya beliau boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]

* * *

Perenggan awal cerpen ini memang menarik minat kerana saya sebagai seorang pembaca beta ingin tahu apa yang terjadi kepada kampung sehingga begitu banyak pokok durian kehilangan dan apakah kesudahannya nanti.

Selepas membaca Halaman 1, saya meneruskan ke Halaman 2 kerana mahu mengetahui peranan watak Posmen dan Ketua Kampung. Watak Ketua Kampung adalah watak utama dalam cerpen ni.

Pada penilaian saya selepas membaca petikan cerpen sekitar 500 perkataan, watak Ketua Kampung memperbodohan orang kampung dengan rawatan bomoh dan mengunakan nama Putera Bunian. Selagi orang kampung tidak berani menentang, Ketua Kampung akan menjadikan mereka sebagai hamba.

Watak Posmen pula seolah-olah seorang playboy dari bandar. Dia digambarkan kacak dan berpakaian kemas. Penampilannya amat berbeza dengan orang kampung. Dia dikatakan menjadi daya tarikan kepada gadis kampung. Mungkin watak Posmen itu individu  berpengaruh kerana dikaitkan dengan penjualan tanah kampung.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Pada andaian saya, watak Ketua Kampung akan terus menjadikan orang kampung sebagai hamba melalui cerita-cerita yang disampaikan oleh Putera Bunian. Mereka (penduduk) mungkin menjual lagi tanah mereka kepada pihak luar dan mungkin Posmen yang memberi arahan.

[Sasitharan SG tinggal di Ayer Itam, Pulau Pinang dan suka membaca buku.]

* * *

Versi penuh cerpen “Posmen Kampung Durian” disiarkan di Eksentrika pada 29 Jun 2025 dan boleh dibaca [di sini].