“Gol! Gol! Hantar balik! Jangan simpan bola macam
rahsia keluarga!”
Suara itu datang dari suatu ruang yang tidak bertepi.
Seolah-olah padang bola itu melengkung seperti permukaan dunia yang tidak pernah
disahkan kebulatannya.
Dan Naveen Rajaratnam—atau mungkin kau atau mungkin
aku—berlari tanpa tahu sama ada kaki yang memijak rumput itu benar-benar milik
kita atau sekadar metafora yang dicipta seorang penulis yang sedang kehabisan
idea.
Siru Kambam, Taiping, selalu bermula dengan bau
tanah basah yang tidak pernah benar-benar kering. Di situlah Naveen membesar. Di
antara lorong-lorong kecil yang menjadi padang bola sementara. Di antara suara
ibu-ibu yang memanggil anak pulang dan suara lelaki dewasa yang berdebat
tentang taktik formasi seolah-olah mereka sendiri pernah duduk di bangku
jurulatih pasukan kebangsaan.
Sejak kecil, Naveen sudah mengenal istilah-istilah
seperti offside, through pass, high press,
dan counter-attack sebelum dia
benar-benar memahami maksud metafora dalam cerita Alice in Wonderland yang dibaca di perpustakaan kecil sekolah
rendah.
Dia pernah
membaca. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan walaupun dia cuba menafikannya.
Buku-buku dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, dan Tamil pernah menjadi ruang
alternatif yang sama penting dengan padang bola.
Dalam buku, dia menjadi penjaga gol yang menepis
takdir, menjadi penyerang yang menembusi pertahanan sistem sosial, menjadi
watak sampingan yang akhirnya mengambil alih jalan cerita.
Tetapi semua itu berlaku sebelum dunia mula memaksakan
definisi tertentu tentang apa itu lelaki, apa itu macho, apa itu fokus, dan apa itu prioriti.
“Baca buku cerita? Kau nak jadi apa? Sasterawan?”
Demikian tegur seorang rakan sepasukan pada suatu
petang, ketika mereka sedang menunggu giliran untuk latihan penalti. Ayat itu
tidak berbunyi seperti sindiran pada waktu itu. Ia lebih berbunyi seperti hukum
alam.
Naveen ketawa atau sekurang-kurangnya meniru bunyi
ketawa. Sejak hari itu, buku cerita menjadi sesuatu yang disorokkan, kemudian
dilupakan, kemudian dinafikan. Dia menggantikan halaman buku dengan statistik
pemain, menggantikan dialog watak dengan ulasan perlawanan, menggantikan
konflik dalam cerita dengan konflik di dalam kotak penalti.
Kini, di Kolej Siru Kambam, Naveen dikenali sebagai
pemain tengah yang mempunyai vision—keupayaan
melihat ruang kosong sebelum ia wujud, keupayaan membaca permainan seperti
seorang pembaca membaca teks.
Ironinya, dia tidak lagi membaca teks.
“Pass
cepat! Jangan overthink!” jerit
jurulatih pada suatu petang.
Tetapi Naveen selalu overthink; berfikir secara berlebihan. Dia cuma tidak mengaku
perkara itu.
Sarah Williams muncul seperti watak yang sengaja
ditulis untuk mengganggu aliran cerita ini. Dia datang dari Sabah dengan gaya
berjalan yang tidak meminta izin daripada sesiapa. Rambut diikat seadanya dan sepasang
kasut bola yang sudah lusuh pula masih setia di kaki.
Dia bermain di posisi sayap kiri tetapi sering
muncul di tengah, seolah-olah menolak definisi posisi itu sendiri. Gelaran tomboy yang sering dibisik pelajar lain
tidak mengganggu fikirannya.
“Aku nampak kau selalu baca permainan tapi tak
pernah nampak kau baca buku,” kata Sarah suatu hari; tanpa mukadimah,
seolah-olah dialog itu sudah lama menunggu untuk diucapkan.
“Dulu aku baca,” jawab Naveen sambil menendang bola
perlahan ke arah dinding; membiarkannya melantun kembali seperti soalan yang
tidak mahu dijawab. “Sekarang tak. Tak sesuai. Lagipun … tak macho.”
Sarah ketawa. Bukan ketawa yang mengejek tetapi
ketawa yang membuka pintu kepada kemungkinan lain.
“Macho?
Siapa yang tentukan?”
“Entahlah. Orang,” jawab Naveen walaupun dia sedar
betapa kabur jawapan itu.
“Orang itu siapa? Jurulatih? Kawan? Atau suara
dalam kepala kau sendiri?”
Soalan itu seperti sepakan percuma yang
tepat ke sudut atas gawang—tidak dapat dicapai tetapi jelas trajektorinya. … (bersambung)
Cerpen seterusnya: Hidup Dikandung Tanah
[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang
diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum
bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
