17 May 2018

Siapa “Saguni” Dalam Krisis MIC?


MIC menghadapi kemelut dan krisis dalaman yang hampir membawa kepada perpecahan.

Akhirnya krisis perebutan kuasa kepimpinan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri (PM) untuk mencari penyelesaian terbaik.

Susulan daripada itu, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC dan PM berjaya menemui titik penyelesaian yang benar-benar di luar dugaan.

PM mengemukakan sepucuk surat yang khabarnya ditulis oleh tuan presiden sendiri.

Di dalam surat itu, tuan presiden meluahkan hasrat untuk melepaskan jawatan secara sukarela.

Dengan penuh gembira dan bersemangat, CWC mengatur mesyuarat rasmi tetapi tuan presiden tidak hadir.

Tanpa menghiraukan perkara itu, presiden baru dilantik bagi parti MIC.

Apa yang digambarkan di atas bukan sebuah cereka (cerita rekaan).

Bukan juga andaian tentang apa yang mungkin akan berlaku dalam MIC dalam masa terdekat.

Sebaliknya, sekadar menyatakan apa yang benar-benar pernah berlaku dalam MIC pada masa lalu.

Mungkin orang lama dalam MIC serta golongan yang mengikuti perkembangan parti politik itu tahu tentang kisah ini.

Peristiwa di atas juga mungkin boleh membantu kita melakukan analisis secara perbandingan dengan krisis kepimpinan yang sedang berlaku dalam MIC sekarang.

Datuk Seri S. Samy Vellu digelar sebagai “Hero Malaya” oleh akhbar Utusan Melayu (18 September 1963) kerana berani menceroboh masuk ke dalam bangunan kedutaan Indonesia di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, lalu membakar bendera Indonesia serta memecahkan lambang negara itu.


M. Vivekananthan dalam buku MIC Era Samy Vellu (1996) menyifatkan Samy Vellu sebagai “seorang tokoh politik, pemimpin masyarakat, dan negarawan yang berperibadi mulia.”

Menurut penulis itu lagi, “pemimpin seperti beliau (Samy Vellu) bukan dilahirkan bahkan dihasilkan menerusi kegigihan bekerja dan keazaman” dan “pasti nama beliau akan tercatat dalam sejarah kerana menjadikan MIC sebuah parti yang rancak dan bersemarak.”

Nota: Samy Vellu meninggal dunia pada 15 September 2022. Baca laporan di: The Star — Free Malaysia Today — New Straits Times — Harian Metro — Malaysiakini — Berita Harian — Utusan Malaysia.

Sambanthan Mula Hilang Kredibiliti Dalam Parti

Bagaimanapun, makalah ini bukan bertujuan menghuraikan bagaimana Samy Vellu menjadi pemangku presiden MIC pada 12 Oktober 1979 berikutan pemergian Tan Sri V. Manickavasagam.

Juga bukan mengenai kejayaan beliau menjadi presiden pada 21 Mac 1981 dengan 94 peratus undi.

Sebaliknya, kita akan pergi lebih jauh ke belakang dalam sejarah MIC yang dianggap sebagai parti politik tunggal mewakili kaum India.

Dengan sokongan presiden MIC waktu itu, Tun V. T. Sambanthan, pada 18 Jun 1967, Samy Vellu yang berumur 31 tahun terpilih menjadi setiausaha MIC Selangor.

Sambanthan menjadi presiden pada 1955. Hampir 15 tahun kemudian, beliau dikatakan lebih tertumpu pada usaha membangunkan Koperasi Kebangsaan Pemodalan Tanah Berhad (NFLCS).

Tuan presiden seolah-olah sudah terlupa bahawa tanggungjawab dan peranan MIC sejak awal (malah hingga kini!) adalah berkaitan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan masalah sosial dalam kalangan kaum India.

Akibat “kelekaan” dan “terbabas daripada perjuangan asal MIC” menyebabkan orang ramai (baca: perwakilan MIC) hilang kepercayaan terhadap Sambanthan menjelang tahun 1971.

Seperti biasa dalam dunia politik, masing-masing mula mencari kesalahan dan kelemahan beliau.

Ada yang mula mengungkitkan hakikat Perhimpunan Agung MIC yang terakhir diadakan adalah pada 21 Julai 1967.


Sambanthan semakin berani disindir sebagai terlalu sibuk mengumpul wang dan ahli NFLCS sehingga tidak ambil kisah urusan MIC.

Tuan presiden dikatakan tiada masa untuk memikirkan soal mengadakan perhimpunan agung parti.

Tepat pada masanya, Samy Vellu sebagai seorang aktivis bangkit bersuara lantang menuntut perubahan kepimpinan dalam MIC.

Beliau mahu para ahli dan perwakilan memilih seorang presiden alternatif yang sesuai dengan suasana semasa kerana Sambanthan sudah ketinggalan zaman.

Untuk rekod, walaupun Sambanthan menyokong Samy Vellu dalam pertandingan bagi jawatan setiausaha MIC Selangor pada 1967, menjelang 1970, hubungan mereka dilaporkan sudah retak.

Kononnya tuan presiden mendengar suara-suara hasutan dan fitnah daripada musuh-musuh yang iri hati dengan kejayaan Samy Vellu dalam politik.

Samy Vellu Terajui Gelombang Reformasi

Mungkin ramai yang tidak tahu peranan Samy Vellu “menjatuhkan” Sambanthan.

Mungkin ramai yang memilih untuk tidak bercakap mengenai apa yang berlaku sementara politikus muda pula tidak tahu-menahu.

Pada 1971, Samy Vellu bertemu pengerusi MIC Selangor, Datuk Athinahappan dan mencadangkan supaya beliau bertanding bagi merampas jawatan presiden MIC.

Athinahappan pula menghantar Samy Vellu kepada Manickavasagam yang merupakan timbalan presiden MIC waktu itu.

Menurut laporan, Samy Vellu kurang yakin kerana walaupun pernah beberapa kali dicadangkan sebelum itu, Manickavasagam menolak disebabkan tidak sanggup menentang Sambanthan.


Pertemuan rasmi dengan Manickavasagam diadakan pada 25 Mei 1971. Walaupun masih keberatan, beliau meminta masa dua hari untuk membuat keputusan.

Dipendekkan cerita, Manickavasagam mengemukakan borang pencalonan pada 28 Mei 1971 untuk bertanding merebut jawatan presiden parti.

Athinahappan turut diminta mengemukakan borang pada 31 Mei 1971 kerana Samy Vellu bimbang kemungkinan Manickavasagam menarik diri pada saat akhir.

Athinahappan kemudian menarik diri daripada bertanding selepas Samy Vellu selaku Saguni (dalang atau ketua konspirator dalam epik Mahabharata) sudah benar-benar yakin Manickavasagam tidak akan kecut perut dan menarik diri.

Gelombang perubahan yang diterajui Samy Vellu semakin marak apabila beliau mengatur pertemuan besar-besaran di Kuala Lumpur (9 Ogos 1971) dan Klang (14 Ogos 1971).

Pertemuan itu bagi meraih sokongan akar-umbi untuk menjatuhkan Sambanthan dan mengangkat Manickavasagam menjadi presiden MIC.

Samy Vellu lahir di Ladang Rengo Malay, Johor pada 8 Mac 1936 dalam keluarga yang misikin dan daif.

Beliau tahu makna penderitaan dan kesukaran hidup. Beliau tahu erti perjuangan. Beliau tahu, usaha adalah tangga kejayaan.

Sejarah Berulang Selepas 44 Tahun

Kempen besar-besaran yang dibuat oleh Samy Vellu berjaya meningkatkan sokongan orang ramai kepada Manickavasagam; sekali gus menenggelamkan sokongan kepada Sambanthan.

Samy Vellu ada pengalaman luas dalam bidang drama, lakonan, dan teater. Beliau juga seorang pemidato yang hebat.

Kepintaran berhujah itulah yang pernah menarik perhatian Sambanthan kepada Samy Vellu semasa Perhimpunan Agung MIC di Dewan Letchumanan, Klang, pada 1962.

Kepetahan berhujah itulah yang dilihat oleh Sambanthan sebagai aset penting kepada MIC sehingga segera melantik Samy Vellu yang berumur 26 tahun menjadi Ketua Biro Kebudayaan MIC.

Orang lama dalam politik pasti masih ingat betapa Sambanthan memberikan peluang demi peluang kepada Samy Vellu untuk mara dalam politik. Antaranya melantiknya dalam CWC pada 1964.

Sambanthan juga pernah menawarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentul kepada Samy Vellu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1964.

Akan tetapi, Samy Vellu yang berumur 28 tahun pada waktu itu terpaksa menolak kerana masalah kewangan.

Hubungan intim mereka berdua sudah retak menjelang 1971 dan Samy Vellu nekad untuk menjatuhkan tuannya sendiri demi membawa angin perubahan dalam politik kaum India menerusi MIC.


Krisis kepimpinan MIC semakin meruncing menjelang 1972 sehingga akhirnya PM waktu itu, Tun Abdul Razak, terpaksa masuk campur.

Benar-benar di luar dugaan, pada 15 Mac 1973, Abdul Razak mengemukakan surat yang khabarnya disediakan oleh Sambanthan.

Menerusi surat itu, Sambanthan menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan presiden pada 30 Jun 1973.

Seperti dijadualkan, CWC bersidang pada tarikh tersebut tetapi Sambanthan tidak muncul.

Tanpa menghiraukan perkara itu, Manickavasagam secara sebulat suara dilantik menjadi presiden keenam bagi MIC.

Imbasan ini sengaja saya lakukan memandangkan krisis kepimpinan yang hampir sama sedang melanda MIC sekarang.

Soalnya, siapakah Saguni pada kali ini?

________________________________________

Makalah ini ditulis pada 19 Februari 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 24 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang kandungan dalam mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.