Timbalan
presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam sudah mengesahkan akan bertanding
merebut jawatan presiden pada pemilihan semula parti yang dijadualkan pada Mei
2015.
Naib
presiden, Datuk M. Saravanan juga tidak menolak kemungkinan bertanding bagi
jawatan timbalan presiden atau presiden; walaupun beliau masih sama kem dengan
Subramaniam.
Menyentuh
mengenai perkembangan ini, akhbar Utusan
Malaysia (4 Februari 2015) bertanya: “Jika perebutan presiden dan timbalan
presiden MIC benar-benar direalisasikan, ‘nyawa politik’ siapa yang akan
melayang. Presiden sedia ada, Datuk Seri G. Palanivel, Subramaniam atau
Saravanankah?”
Krisis
dalaman, perebutan kerusi, dan drama bersiri yang semakin menarik sejak
Disember 2014 mengingatkan saya kepada drama hampir sama dalam MIC dari 1977
hingga 2010.
“Selagi
MIC mempunyai seorang presiden yang berwibawa, selagi itulah parti itu akan menyerlah.
Jika kepimpinan parti sudah goyah dengan gejala buruk seumpama skandal, rasuah,
pilih kasih, dan nepotisme, maka akan hancurlah parti tersebut.
“Janganlah
pula kita bertindak menghancurkan MIC kerana terpedaya dengan dakyah, naluri
khianat, dan pengiktirafan peribadi orang-orang yang tidak bertanggungjawab,”
kata M. Vivekananthan dalam buku MIC Era Samy Vellu (1996).
Penyokong
dan politikus MIC yang lahir selepas 1965 mungkin hanya mengenali Datuk Seri S.
Samy Vellu sebagai presiden dan menteri kabinet. Mereka mungkin kurang tahu
secara mendalam mengenai perjuangan Samy Vellu untuk sampai ke tahap itu.
Bermula
Mei 1971, Samy Vellu terlibat dalam perancangan licik bagi memastikan kerusi
presiden yang dipegang oleh Tun V. T. Sambanthan sejak 1955 berjaya diambil
alih oleh Tan Sri Manickavasagam.
Strategi
yang disusun kemas oleh Samy Vellu membuahkan hasil pada Jun 1973. Akan tetapi,
Samy Vellu secara terang-terangan dipinggirkan oleh Manickavasagam sehingga
presiden itu meninggal dunia pada 1979.
Dalam
Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, Barisan Nasional (BN) yang baru dibentuk
menggantikan Perikatan telah meraih kejayaan besar. Samy Vellu bertanding
menggantikan Sambanthan bagi kerusi Parlimen Sungai Siput dan menang besar
selepas menewaskan tiga calon lawan.
Pada
masa sama, Manickavasagam menang kerusi Parlimen Klang, Datuk S. Subramaniam
(bukan Menteri Kesihatan sekarang) menang di Parlimen Damansara dan K.
Pathmanaban menang di Parlimen Teluk Kemang.
Manickavasagam
Pinggirkan Samy Vellu Hingga Nafas Terakhir
Berbanding
calon-calon di atas yang mendapat tempat dalam kerajaan BN, Samy Vellu pula
tidak diberikan peluang oleh Manickavasagam, walaupun selepas politikus muda
itu berjaya menjadi naib presiden MIC pada Julai 1975.
Jalan
untuk Samy Vellu menjadi naib presiden juga tidak mudah. Seramai sembilan calon
bertanding bagi tiga kerusi naib presiden. Manickavasagam dikatakan secara
terang-terangan menyokong beberapa calon; tidak
termasuk Samy Vellu.
Walau
bagaimanapun, Samy Vellu yang berumur 39 tahun menang dengan 711 undi. Adik
kepada Manickavasagam iaitu Dr V. Ganesan (483 undi) dan Tan Sri S. O. K.
Ubaidullah (460 undi) turut berjaya menjadi naib presiden parti.
Walaupun
tidak disenangi oleh Manickavasagam, Samy Vellu ternyata tidak berputus asa dalam
mengejar cita-citanya. Sebagai seorang anak kelahiran estet dalam sebuah
keluarga amat daif, beliau sedar bahawa perjuangan perlu diteruskan untuk
mencapai kejayaan.
Pada
Februari 1977, Samy Vellu bertanding bagi jawatan timbalan presiden. Pesaingnya
kali ini ialah Subramaniam yang memegang jawatan setiausaha agung MIC dan
timbalan menteri.
Manickavasagam
sekali lagi secara jelas memihak kepada Subramaniam. Sementara barisan pemimpin
tertinggi dalam parti menyokong Subramaniam, Samy Vellu pula mendapat sokongan
akar-umbi.
Usah
lupa, pada 1971–73, Samy Vellu pernah terlibat dalam perancangan menjatuhkan
Sambanthan dan mengangkat Manickavasagam ke jawatan presiden parti. [Baca
di sini]
Anehnya,
apabila Samy Vellu bertanding bagi jawatan timbalan presiden pada 1977,
Sambanthan tampil memberikan sokongan penuh tanpa mengharapkan apa-apa balasan
dan tanpa menyimpan rasa dendam.
Keputusan
pengundian yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menunjukkan Samy
Vellu mendapat 553 undi manakala Subramaniam mendapat 527 undi.
Mengulas
keputusan itu, Manickavasagam mengingatkan bahawa beza hanya 26 undi dan beliau
mengharapkan seorang timbalan presiden yang mampu mendapat majoriti lebih
besar.
Subramaniam
Terus-menerus Gugat Kedudukan Presiden
Pada
tahun 1979, Manickavasagam sekali lagi meminta Subramaniam bertanding menentang
Samy Vellu bagi merebut kerusi timbalan presiden. Subramaniam pula memutuskan
untuk tidak tunduk pada permintaan itu.
Apabila
Manickavasagam meninggal dunia pada 12 Oktober 1979, Samy Vellu memangku
jawatan presiden sehingga tarikh pemilihan pada 21 Mac 1981.
Sokongan
tidak berbelah-bagi untuk Samy Vellu ternyata semakin meningkat kerana 101
cawangan mencalonkan beliau sebagai presiden.
R.
Vellasamy dari cawangan Lobak, Negeri Sembilan, dan R. Perumal dari cawangan
Gunung Rapat, Perak, turut menerima pencalonan; tetapi kemenangan tetap
berpihak kepada Samy Vellu.
Ramai
yang menyangka Subramaniam akan turut bertanding jawatan presiden tetapi beliau
memutuskan untuk tidak menentang Samy Vellu, sebaliknya menyokong penuh
pencalonan itu.
Keputusan
ini agak penting dalam perkembangan parti MIC kerana semasa Samy Vellu menjadi
pemangku presiden (1979–81), timbul ura-ura beliau merancang menghancurkan
karier politik Subramaniam dengan memecatnya.
Selepas
Manickavasagam meninggal dunia, Perdana Menteri waktu itu, Tun Hussein Onn
meminta Samy Vellu memilih calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen
Pelabuhan Klang.
Para
penyokong Subramaniam mahukan ketua mereka dicalonkan tetapi Samy Vellu memilih
rakan lamanya, V. Govindaraj yang merupakan setiausaha MIC Selangor.
Mengikut
laporan akhbar-akhbar Tamil pada awal 1980-an, Subramaniam mengkritik Samy
Vellu semasa berceramah. Antara lain, Samy Vellu dikatakan sengaja
melambat-lambatkan pelantikan Subramaniam sebagai timbalan presiden.
Pada
26 Mei 1981, semasa Subramaniam sedang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja
Pusat (CWC), beliau berdepan kemungkinan disingkirkan atau digantung keahlian
dalam parti.
Beberapa
jam kemudian, Samy Vellu dan Subramaniam mengadakan perbincangan tertutup di
bilik lain. Serta-merta, desas-desus Subramaniam akan dibuang dari MIC hilang
begitu sahaja.
Palanivel Dicabar
Seorang Lagi Subramaniam
Semasa
perhimpunan agung parti pada 1981, Samy Vellu sendiri berkempen untuk
Subramaniam dan meminta para perwakilan memastikan jawatan timbalan presiden
tidak dipertandingkan.
Subramaniam
menjadi timbalan presiden, tetapi lapan tahun kemudian (1989), mereka berdua
bertarung sesama sendiri bagi merebut jawatan presiden; tetapi Subramaniam
tewas.
Dihuraikan
di akhbar Utusan Malaysia (4 Februari
2015) bahawa kemuncak perselisihan mereka adalah pada 1990 apabila Subramaniam
digugurkan daripada senarai calon PRU.
Subramaniam
melepaskan jawatan timbalan presiden dan pengerusi MIC Wilayah Persekutuan.
Beliau terus memegang jawatan timbalan menteri kerana Tun Mahathir Mohamad
melantiknya sebagai Senator.
Pada
1991, Subramaniam yang digelar “Makkal Thalaivar” (ketua masyarakat) oleh para
penyokongnya terpilih semula menjadi timbalan presiden MIC.
Jawatan
itu berjaya dikekalkannya sehingga pemilihan pada tahun 2003. Akan tetapi, pada
pemilihan 2006, Samy Vellu dengan penuh licik meletakkan Palanivel untuk
menentang Subramaniam bagi jawatan timbalan presiden.
Terdahulu,
Subramaniam dicalonkan serta menang dalam PRU 1995 dan 1999 di Parlimen Segamat,
Johor. Tetapi beliau disingkirkan daripada senarai calon dalam PRU 2004.
Samy
Vellu sendiri tewas di Parlimen Sungai Siput pada PRU 2008. Apabila beliau
melepaskan jawatan presiden MIC pada 2010, Palanivel diberikan kepercayaan
meneruskan legasi.
Seperti
kata Vivekananthan dalam bukunya pada 1996, selagi MIC mempunyai seorang
presiden yang berwibawa, selagi itulah parti itu akan menyerlah.
Kini,
Palanivel ternyata mahu dicabar oleh Subramaniam (Menteri Kesihatan) dan
mungkin juga oleh Saravanan dalam pemilihan presiden pada Mei 2015.
Apakah
Palanivel akan turut menggunakan strategi politik yang licik seperti ditangani
oleh Samy Vellu untuk terus berkuasa, atau sudah terlewat untuk menyelamatkan
nakhoda dan kapal yang mulai karam?
Nota: Samy Vellu meninggal dunia pada 15 September 2022. Baca laporan di: The Star — Free Malaysia Today — New Straits Times — Harian Metro — Malaysiakini — Berita Harian — Utusan Malaysia.
Baca juga:
Lingkaran Syaitan di MIC dan SJKT — Interlok dan MIC — Keranda, Mogok Lapar dan Tangan Ajaib — Mahu Jadi Deposit Tetap? — Iklan MIC di Akhbar — Siapa Saguni Dalam Krisis MIC? — Siapa di Sebalik Ngauman Palanivel? — MIC dan PRU-13 — Kota Raja Menjelang PRU-14 — Timbul Tenggelam MIC di Tangan Pemuda.
________________________________________
Makalah
ini ditulis pada 20 Februari 2015 dan disiarkan dengan judul "Palanivel Belum Belajar Strategi Politik Samy Vellu?" di Kuala Lumpur Post pada 26 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang
kandungan dalam mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.