19 May 2018

Siapa Di Sebalik Ngauman Palanivel?


Krisis kepimpinan dalam MIC nampaknya belum reda. Datuk Seri Utama S. Samy Vellu yang pernah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu itu, kini dilihat sebagai dalang yang mahu membinasakan parti politik berkenaan.

Perkara ini jelas menerusi kenyataan media yang dikeluarkan presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel, baru-baru ini, untuk mengkritik dan menghentam Samy Vellu secara terang-terangan.

Sementara orang ramai sedang khusyuk mengikuti “perang” antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad, kaum India (khususnya akhbar-akhbar Tamil) memberikan tumpuan terhadap “perang” antara Palanivel dan Samy Vellu.

Suatu perkara yang amat nyata, Palanivel belum berpeluang meneliti buku MIC Era Samy Vellu (1996) tulisan M. Vivekananthan. Menerusi makalah bertajuk “Palanivel Belum Belajar Strategi Politik Samy Vellu?” (Kuala Lumpur Post, 26 Mei 2015), saya menghuraikan strategi politik yang dimanfaatkan dengan penuh jaya oleh Samy Vellu.


Agak menarik juga apabila Palanivel secara terbuka mendabik dada dan berkata, dia sudah berjaya melakukan lebih banyak perkara sejak lima tahun lalu (sejak 2010) berbanding pencapaian Samy Vellu selama 30 tahun.

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu turut menyalahkan Samy Vellu atas segala kemunduran dan kemiskinan yang masih mencengkam majoriti penduduk kaum India di negara ini. [Bandingkan – Subramaniam Salahkan Mahathir]

Palanivel tidak bersendirian dalam menghadapi kritikan daripada bekas bosnya. Berikutan kenyataan Samy Vellu yang menyerang Palanivel secara bertubi-tubi, Ketua Bahagian MIC Bagan, Datuk Henry Benedict Asirvatham dilaporkan tampil membela Palanivel.

Asirvatham mahu Samy Vellu tidak masuk campur dalam urusan MIC, sebaliknya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Palanivel untuk menentukan hala tuju parti itu.

Apabila Mahathir mengkritik kepimpinan Najib, orang ramai dapat menerimanya sebagai kritikan membina daripada seorang pemimpin veteran yang berpengalaman dan disegani.

Akan tetapi, apabila Samy Vellu yang masih aktif dengan tugas rasmi (bertaraf menteri) di India mengkritik kepimpinan MIC, ada pihak yang melihatnya sebagai tindakan campur tangan dalam urusan dalaman.

Vell Paari Pertahankan Bapanya

Sesungguhnya, kritikan daripada orang ramai (kaum India) terhadap MIC bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, Palanivel dilihat sebagai pemimpin yang terlalu lemah.

Memanglah MIC sebuah parti politik dan hanya ahli berdaftar yang berhak mempersoalkan apa-apa yang berlaku di dalamnya. Akan tetapi, apabila MIC mendabik dada mempromosikan dirinya sebagai wakil tunggal bagi kaum India dalam kerajaan pusat, tentulah orang awam juga berhak untuk bersuara.


Mungkin Palanivel bimbang karier politiknya berakhir lebih cepat apabila Samy Vellu sendiri tampil mengkritiknya. Atas sebab itulah Palanivel yang terkenal dengan sikap “tutup mulut” apabila ditanya apa-apa soalan oleh wakil media mengenai pelbagai isu di Parlimen Cameron Highlands, tiba-tiba “membuka mulut” selepas dikritik Samy Vellu.

Serangan balas oleh Palanivel mendapat reaksi daripada Datuk Seri S. Vell Paari yang segera tampil mempertahankan bapanya. Pada pandangan Vell Paari, bapanya telah membawa banyak perubahan dalam parti.

Seperti dilaporkan media, bekas pengarah strategik MIC itu menuduh Palanivel sengaja mencucuk ahli dan penyokong supaya menyerang Samy Vellu. Disebarkan fitnah kononnya bekas presiden MIC itu hanya mementingkan habuan bagi diri dan keluarga sepanjang menerajui parti.

Pada pandangan Vell Paari, bapanya sangat membantu membangunkan MIC ke tahap yang disegani ramai. Khususnya berikutan perhimpunan Hindraf pada 2007 yang menyaksikan perpecahan paling ketara dalam kalangan penduduk kaum India di Malaysia.

Palanivel pula dilihatnya sebagai seorang individu yang hanya mahukan jawatan tetapi tidak sanggup menerima kritikan daripada orang ramai dan bekas pemimpin.

Nota: Samy Vellu meninggal dunia pada 15 September 2022. Baca laporan di: The Star — Free Malaysia Today — New Straits Times — Harian Metro — Malaysiakini — Berita Harian — Utusan Malaysia.


Jika demikianlah perangai dan sikap Palanivel, pada pandangan Vell Paari, lebih baik dia melepaskan jawatan dan duduk di rumah sahaja, sementara tugas menerajui parti boleh diambil alih oleh tokoh yang lebih berwibawa.

Kritikan Vell Paari terhadap Palanivel ternyata amat pedas dan menikam jauh ke dalam sanubari. Misalnya, pada penelitiannya, Palanivel sudah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai presiden MIC, Ahli Parlimen Cameroh Highlands, serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Palanivel Tunjukkan Keberanian Luar Biasa

Jika benarlah kata-kata Vell Paari, tentu Najib selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) wajar memberikan perhatian. Tambahan pula, ada ura-ura rombakan kabinet akan berlaku dalam masa terdekat.

Najib dan UMNO juga tentu ada kuasa untuk memberikan tekanan kepada Palanivel jika sudah terbukti ahli dan penyokong MIC sendiri sudah tidak mahu Palanivel terus kekal sebagai presiden parti.

Dalam pada itu, penduduk dan pengundi di Cameron Highlands juga dikatakan kurang puas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Ahli Parlimen itu.

Semasa berkunjung ke kawasan tanah tinggi berkenaan pada awal Mei 2014, saya sempat berbual-bual dan mewawancara sejumlah penduduk pelbagai kaum. Memanglah benar ramai yang merungut kerana Palanivel dikatakan sukar ditemui untuk menyatakan masalah.

Palanivel dikatakan jarang datang untuk bertemu penduduk yang memerlukan bantuan. Sebaliknya, dia lebih banyak menghantar wakil, dan wakil-wakil ini pula khabarnya sudah sedia mempunyai rekod buruk dalam kalangan penduduk.

Ramai juga rakan-rakan wartawan yang menceritakan betapa sukar membuatkan Palanivel membuka mulut untuk memberikan sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu yang sebenarnya ada kaitan dengan kedudukannya sebagai presiden MIC, Ahli Parlimen, dan menteri.


Entah mengapa Palanivel yang dikatakan berpengalaman berkhidmat dalam agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) seolah-olah tidak tahu cara-cara berkomunikasi dengan wakil media.

Maka, agak hairan juga mengapa dan bagaimana Palanivel tiba-tiba mengeluarkan kenyataan media yang agak pedas, berani dan terang-terangan menggigit tangan yang pernah memberinya makan.

Kemusykilan juga timbul kerana Palanivel yang selama ini kurang bertenaga dan kurang bersemangat, tiba-tiba menampakkan keberanian luar biasa.

Mungkinkah ada pihak di belakangnya yang bertindak sebagai think tank? Mungkin mereka mahu Palanivel terus kekal sebagai boneka dalam MIC supaya mereka boleh terus bermaharajalela.

Segala persoalan ini dijangka akan terjawab sekiranya orang ramai bersabar dan menantikan lebih banyak kisah mengenai krisis dalaman MIC didedahkan satu per satu oleh orang MIC sendiri.

________________________________________

Makalah ini ditulis pada 13 Mei 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 15 Mei 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang kandungan dalam mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.