Sebagai parti pembangkang kaum India yang kononnya menerima
sokongan 65% kaum India di Malaysia, MIC kini
berdepan pelbagai dilema.
Sebaik kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)
pada 9 Mei 2018, Subramaniam dipetik sebagai berkata akan kembali menjadi
doktor – [baca di sini].
Namun, dia segera tampil menafikan berita itu – [baca di sini]. Tidak lama kemudian,
Najib Razak (dan isteri) yang gagal pergi “bercuti” di Indonesia mengumumkan
peletakan jawatan pengerusi Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang Melayu
Umno pada 12 Mei 2018 – [baca di sini].
Apabila menyedari apa yang sedang berlaku, Subramaniam
mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan MIC pada Oktober 2018 – [baca di sini].
Pada masa sama, sepertimana disuarakan oleh Sivarraajh di Facebook pada 16 Mei 2018 – dan
dilaporkan di akhbar Makkal Osai pada
17 Mei 2018 – skandal dan salah guna kuasa dalam MIC perlu disiasat sepenuhnya – [baca di sini].
Sebagai wakil MIC-BN yang menang kerusi Parlimen Cameron
Highlands dalam PRU-14, tentulah Sivarraajh tidak mahu melihat karier
politiknya tumbang bersama-sama kemusnahan MIC.
Tentulah Saravanan yang turut “terselamat” dalam PRU-14 di
Parlimen Tapah tidak mahu hancur bersama-sama MIC. Tambahan pula, Saravanan
dilihat berpotensi mengemudi parti pembangkang kaum India ini sebaik
Subramaniam berundur.
Seperti dilaporkan di Sinar
Harian (15 Mei 2018), MIC memerlukan orang muda untuk menerajuinya, dan
Saravanan dilihat sebagai calon paling layak – [baca di sini].
Bagaimanapun, jika saranan Sivarraajh supaya segala bentuk
skandal dalam MIC disiasat hingga ke akar umbi, mungkinkah kedudukan Saravanan
juga akan mula goyah?
Siapa Layak Kemudi Kapal Sedang Tenggelam?
Dalam undian tidak rasmi yang saya kendalikan di Facebook – [lihat di sini] –dalam tempoh dua hari,
nampaknya Sivarraajh mendapat tiga kali ganda sokongan berbanding Saravanan.
Tetapi, ini bukan undian rasmi, dan tidak akan mempengaruhi keputusan para ahli
dan pemimpin parti pembangkang kaum India itu dalam pemilihan parti akan
datang.
Bercakap mengenai perubahan, Khairy juga mengakui Umno selaku parti pembangkang Melayu perlu turut berubah; khususnya
memberikan peluang kepada orang muda mengemudi parti. Malah, baru kini Khairy
berani mendedahkan bahawa ahli parti sudah pun meminggirkan Umno – [baca di sini].
Maklumlah, kalau Khairy bersuara lebih awal – sebelum PRU-14
– tentu dia sudah menjadi mangsa kemarahan Najib dan Zahid. Kini, selepas
terselamat di Parlimen Rembau, tentulah Khairy perlu memikirkan periuk nasi
sendiri tanpa perlu menanggung beban yang ditinggalkan Najib.
Khairy cuba menyelamatkan Umno – dan periuk nasi sendiri –
dengan mengusulkan kembali cadangan Onn Jaafar yang pernah ditolak dahulu:
supaya Umno membuka keahlian kepada semua kaum.
Berbalik kepada MIC, selama ini, semua orang (di luar parti
itu) tahu bahawa BN tidak memerlukan MIC. Sebaliknya, MIC yang memerlukan BN
dan Umno untuk terus bernafas.
Sementara Subramaniam hidup dalam dunia imaginasi di mana
65% kaum India menyokong MIC – [baca di sini] – pada hakikatnya, parti
itu kalah teruk dalam PRU-14, dan ramai ahli, penyokong, macai, dan pemimpin
sudah mula menghilangkan diri secara senyap-senyap.
MIC tidak akan dapat hidup tanpa naungan dan perlindungan
Umno. Atas sbab itulah juga orang ramai dapat perhatian dengan jelas bahawa
pemimpin, ahli, penyokong, dan macai MIC akan sentiasa menyokong dan
memperjuangkan apa-apa sahaja yang diputuskan oleh Umno.
Keadaan yang berlaku mungkin tidak ubah seperti kumpulan
binatang (lembu, kuda, anjing, keldai dan ayam) yang memberikan sokongan tidak
berbelah-bagi kepada kumpulan babi dalam novel satira politik Animal Farm (1945) karya George Orwell.
[Baca juga – Animal Farm, Barisan, dan Pakatan]
Bukti bahawa MIC tidak dapat hidup tanpa sokongan Umno-BN
diakui sendiri oleh Subramian. Selepas menjadi pembangkang, presiden parti itu mengaku
bahawa MIC selama ini menerima bantuan dana daripada Najib dan kerajaan pusat
(baca: Umno dan BN) – [baca di sini].
Mampukan MIC Hidup Tanpa Sokongan Umno?
Benarkah MIC tiada dana untuk terus hidup? Mungkin itulah
gambaran yang cuba diberikan para pemimpin MIC. Maklumlah, masakan mereka mahu
mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk menampung kos mengemudi parti – dan
membayar upah kepada macai – bagi tempoh lima tahun lagi; sebelum mencuba nasib
dalam PRU-15.
Khabarnya, MIC masih kaya. Ya, pemimpin MIC memang sudah
kaya semasa parti itu dinaungi “kerajaan”. Malah, seorang ahli parti
mendedahkan bahawa MIC memiliki aset sekitar RM3 bilion, selain RM17 juta yang
dilabur parti dalam Maju Institute of
Educational Development (MIED) – [baca di sini].
Subramaniam akan meninggalkan kapal yang sudah bocor dan
sedang tenggelam. Ramai lagi pemimpin MIC – khususnya yang kalah teruk dalam
PRU-14 – dikatakan mungkin akan (atau sudah) melompat keluar dari kapal.
Tinggallah orang seperti Sivarraajh dan Saravanan yang
menjadi pembangkang di Dewan Rakyat (Parlimen). Mereka pasti berada dalam
dilema: Teruskan perjuangan? Selamatkan kapal yang karam? Memilih kapal lain
yang kini menerima dana kerajaan pusat?
Tapi, setelah mengutuk dan menuduh Mahathir sebagai
satu-satunya punca kemunduran kaum India di Malaysia – [baca di sini] – apakah Sivarraajh dan
pemimpin lain dalam MIC akan sanggup “bertuankan” beliau?
[Lihat juga – Manogaran Cabar Keputusan PRU-14 di Cameron Highlands]
[Lihat juga – Manogaran Cabar Keputusan PRU-14 di Cameron Highlands]
Lihat juga — [Skandal Maika Holdings]
Di sisi lain pula, perlukah skandal pemimpin, ahli, dan
penyokong MIC disiasat segera, atau dibiarkan dahulu? Kalau siasatan menyeluruh
dilakukan, apakah Saravanan mungkin tersangkut juga? Bagaimana nasib T. Mohan
yang dikatakan telah “membantu” kemenangan Sivarraajh dalam PRU-14? Apakah
Sivarraajh akan sanggup menerima natijah yang mungkin menimpa jika bekas
ketuanya itu disiasat?
Demikian antara topik yang menjadi perbincangan dalam
kalangan pemerhati dan masyarakat umum yang sebenarnya sudah tidak lagi menaruh
belas kasihan terhadap parti MIC. Sebaliknya, mereka mengikuti perkembangan MIC
seperti menikmati sebuah filem Tamil di pawagam.
Persoalan lebih penting yang perlu difikirkan oleh MIC adalah
usaha segera bagi menyelamatkan kapal daripada tenggelam dan karam buat selama-lamanya.
Tindakan yang perlu dilakukan pemimpin muda untuk mengembalikan keyakinan orang
ramai terhadap kedudukan MIC yang kononnya memperjuangkan kaum India.
Sasaran Sepuluh Tahun Untuk Bangkit Semula
Bagi anak-anak muda kaum India yang baharu sahaja menyertai
MIC menjelang PRU-14 dengan impian, cita-cita, dan harapan menggunung, usah
cepat berputus asa.
Gunakan peluang lima tahun akan datang untuk membina diri
dan kedudukan dalam MIC. Jadilah pemimpin muda yang memahami nadi masyarakat.
Jangan teruskan amalan-amalan buruk dalam MIC yang membawa kepada keruntuhan
parti itu.
Belajarlah strategi politik Samy Vellu seperti yang
dihuraikan oleh M. Vivekananthan dalam buku MIC Era Samy Vellu
(1996). Kuatkan pasukan dan turun padang untuk berkhidmat kepada Rakyat tanpa
mengira kaum dan kedudukan.
Nota: Samy Vellu meninggal dunia pada 15 September 2022. Baca laporan di: The Star — Free Malaysia Today — New Straits Times — Harian Metro — Malaysiakini — Berita Harian — Utusan Malaysia.
Mungkin sahaja pemimpin muda ini tidak akan menang dalam
PRU-15. Sasaran mereka sepatutnya kepada PRU-16. Jika sudah berjaya meraih
kembali kepercayaan Rakyat – bukan setakat 65% kaum India –
maka pemimpin muda dalam MIC mungkin berpeluang memenangi beberapa kerusi
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mungkin sahaja harapan untuk BN (Umno, MIC, MCA, dan sekutu)
untuk kembali ke Putrajaya akan hanya tinggal sebagai mimpi, tetapi pemimpin
muda MIC boleh menjadi pembangkang yang disokong Rakyat.
Sebagaimana wujud ramai Adun dan Ahli Parlimen daripada
kalangan “pembangkang” DAP dan PKR selepas PRU-12 (2008) untuk berkhidmat penuh
dedikasi kepada Rakyat, kini masa untuk MIC pula menunjukkan komitmen sama
tanpa merengek dan minta dimanjakan oleh “kerajaan”.
Cuba dapatkan khidmat perunding media berkaliber untuk
membina semula imej pemimpin MIC. Belajar pengucapan awam dan cara menyediakan
kenyataan media.
Syarat utama: Bersihkan MIC daripada segala daki yang
melekat sejak zaman Samy Vellu. Buang semua pemimpin dan ahli yang tidak ada
integriti dan tidak berjiwa Rakyat.
Lihatlah sendiri apa yang mampu dicapai oleh MIC dalam masa
sepuluh tahun akan datang.
Catatan: Pada 19 Mei 2018 “Vigneswaran Umum Bertanding Presiden MIC” dengan sokongan T. Mohan, Vell Paari, dan Saravanan. Pada 23 Mei 2018, Sivarraajh secara rasmi “Menyuarakan Sokongan Kepada Vigneswaran”. Pada 14 Julai 2018, Vigneswaran jadi presiden MIC.
Baca juga: Lingkaran Syaitan di MIC dan SJKT — Interlok dan MIC — Keranda, Mogok Lapar dan Tangan Ajaib — Mahu Jadi Deposit Tetap? — Iklan MIC di Akhbar — Siapa Saguni Dalam Krisis MIC? — Siapa di Sebalik Ngauman Palanivel? — Palanivel Belum Belajar Strategi Politik Samy Vellu? — MIC dan PRU-13 — Kota Raja Menjelang PRU-14
________________________________________
Uthaya Sankar SB
adalah penulis sepenuh masa. Beliau terlibat dalam mengendalikan program
bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya bersama Kumpulan Sasterawan Kavyan
(Kavyan) sejak 1999. © Uthaya Sankar SB 2018. Ulasan ini ditulis
pada 17 Mei 2018 dan dsiarkan di Malaysiakini
pada 18 Mei 2018. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang kandungan di
mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.