Umum mengetahui mengenai kempen
besar-besaran yang dilakukan Barisan Nasional (menerusi MIC) dan P. Kamalanathan, serta stesen
radio MinnalFM dan THR Raaga untuk memujuk ibu bapa kaum
India menghantar anak-anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Anehnya, kempen itu ternyata kurang
berjaya. Sebaliknya timbul beberapa persoalan hasil pemerhatian sejak beberapa
minggu lalu.
Saya sempat berkongsi pandangan dengan
rakan-rakan dan kenalan yang turut prihatin terhadap pendidikan komuniti India
di Malaysia.
Berikut beberapa persoalan dan pertanyaan
yang sepatutnya cuba dijawab Barisan Nasional (BN) dan pendukung kempen “Wajib
Hantar Anak Ke SJKT”.
Saya bertemu sekumpulan lepasan SJKT yang mendapat 7A dalam Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Apabila melangkah ke Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK), prestasi mereka merudum amat teruk.
Kebanyakan daripada pelajar berkenaan
mengaku terlibat dalam kes menipu semasa ujian dan peperiksaan di SMK. Maka,
mereka dihantar untuk kaunseling.
[Pendedahan oleh PIBG - Baca di sini]
Hasil perbualan, mereka mendedahkan, sejak
Tahun 1, mereka sudah dididik melakukan apa sahaja – termasuk menipu dan meniru
– untuk lulus ujian dan peperiksaan.
Akhirnya, apabila berada di SMK, kumpulan
pelajar kaum India ini hilang “tempat
bergantung” kerana guru-guru menghalang mereka meniru; berbeza dengan budaya
sewaktu di SJKT.
Akibatnya, walaupun mereka mendapat 7A
dalam UPSR dan masuk ke kelas terbaik di Tingkatan 1, kemudian mereka terpaksa
dihantar ke kelas belakang.
Baru-baru ini, sepasang ibu bapa
menghubungi saya dan menceritakan, anak mereka mendapat 7A dalam UPSR serta
menang pingat emas peringkat kebangsaan dalam acara sukan.
Akan tetapi, permohonan masuk ke SMK yang
“bagus” ditolak, lalu mereka bertanya sama ada saya boleh membantu dalam hal
ini.
Akan Berjaya Walau Tidak Ke Sekolah
Tamil
Tanpa berfikir panjang, saya meminta mereka
menghubungi MinnalFM, THR Raaga, Kamalanathan, MIC dan unit
khas bagi SJKT di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana mereka yang meneraju
kempen “Wajib Hantar Anak Ke SJKT”.
Biarlah mereka membantu menyelesaikan isu
ini. Jangan pula mereka hanya pandai mempromosikan SJKT tetapi lepas tangan
tentang masa depan kaum India selepas UPSR.
Hasil penelitian saya sejak 1993, rata-rata
SJKT terlalu banyak menumpukan pada aspek penguasaan Bahasa Tamil, sehingga ramai
lepasan SJKT kurang menguasai Bahasa Malaysia apabila melangkah ke
SMK.
Akibatnya, banyak masalah terpaksa
ditanggung pelajar kaum India yang secara teknikal dan on paper mendapat 7A dalam UPSR.
SJKT sepatutnya membantu murid-murid
menguasai, menghayati dan mencintai Bahasa Malaysia; bukan
sekadar “membantu” murid mendapat A dalam pemahaman dan penulisan UPSR.
Saya juga selalu bertemu pelajar cemerlang
di SMK dan kolej yang datang dari SJKT. Mereka mengaku, bukanlah SJKT menjadi
punca mereka cemerlang dalam pelajaran.
Sebaliknya, seperti diakui sekumpulan
pelajar terbabit, kelas tuisyen dan sokongan ibu bapa yang berpendidikan
menjadi punca kejayaan.
Maknanya, mereka bukannya berjaya kerana
belajar di SJKT, tetapi mereka tetap berjaya walaupun belajar di SJKT!
Nampaknya sebahagian besar guru besar dan
guru-guru SJKT menyedari hakikat ini. Seperti dipaparkan sebuah akhbar Tamil
baru-baru ini, ibu bapa tertanya-tanya mengapa golongan itu tidak menghantar
anak-anak ke SJKT.
Pada hemat saya, pendukung kempen “SJKT
Pilihan Kita” seperti MIC (BN), Kamalanathan, MinnalFM dan THR Ragaa
perlu membuat kempen dari rumah ke rumah para guru besar dan guru terbabit
untuk memastikan mereka menghantar anak-anak ke SJKT.
Sekadar Agenda Bermotifkan Politik
Secara logik, MIC wajar memastikan semua
pemimpin parti itu menghantar anak-anak ke SJKT.
Jangan hanya pandai berkempen kepada
masyarakat tetapi anak-cucu sendiri tidak dihantar ke SJKT! [Baca juga: Lingkaran Syaitan di MIC dan SJKT]
Akhbar The
Star (1 Januari 2016) melaporkan sepuluh SJKT tidak menerima pendaftaran
murid Tahun 1.
Realiti ini membuktikan kempen “Wajib
Hantar Anak Ke SJKT” yang berunsur rasis dan penerus agenda “pecah dan
perintah” penjajah British tidak berjaya mempengaruhi orang ramai.
Masih ramai ibu bapa kaum India yang waras,
rasional dan menyedari agenda kepentingan politik di sebalik kempen “Wajib
Hantar Anak Ke SJKT”.
Orang ramai sedar ada perbezaan antara
“mencintai dan memartabatkan bahasa ibunda dan budaya India” dan propaganda
“Bahasa Tamil dan budaya Tamil akan lupus tanpa SJKT”.
Rahsia yang sudah diketahui umum, seperti
dijelaskan dalam buku Tamils and The
Haunting of Justice (2014) oleh Andrew C. Willford, MIC lebih banyak
menumpukan pada kempen memelihara sistem pendidikan Tamil di SJKT, serta
mempromosi perayaan keagamaan Hindu dan kuil.
Mungkin pada masa dahulu, orang menyangka
segala kempen itu dilakukan demi kaum India, tetapi masyarakat mula melihat
semua itu sebagai kempen bermotif politik bagi memastikan MIC masih diterima UMNO dan BN.
Baru-baru ini, saya berpeluang menonton
suatu video di mana seorang remaja (jantina tidak dapat dipastikan) berhujah
mengapa ibu bapa kaum India wajib menghantar anak-anak ke SJKT.
Katanya, semasa dia kanak-kanak, dia malas
ke sekolah dan selalu tidur di rumah. Guru SJKT akan datang ke rumah untuk
membantunya bersiap serta membawanya ke sekolah.
Masa Depan Generasi Muda Terjejas
Pada pandangan remaja berkenaan, kalau dia
belajar di sekolah kebangsaan (SK), tentu guru-guru Melayu tidak akan bersikap prihatin
seperti itu.
Gambaran menerusi video propaganda itu:
Tugas guru SJKT termasuk pergi ke rumah murid, memandikan mereka, memakaikan
baju sekolah, menyuapkan sarapan, basuh punggung selepas berak, dan membawa
mereka ke sekolah!
Ada pula kes di mana pendukung kempen
“Wajib Hantar Anak Ke SJKT” memujuk ibu bapa dengan menjanjikan tanggungan
bayaran yuran van.
Beberapa ibu bapa yang datang meminta
bantuan kewangan mendedahkan kepada saya, selepas hampir enam bulan, bantuan
itu dihentikan.
Dalam pada itu, tahukah anda, dalam kes
murid corot di Tahun 3-5, khabarnya ada SJKT menasihatkan ibu bapa memindahkan
anak-anak ke SK.
Ibu bapa menceritakan kepada saya, guru
besar mahu memastikan kecemerlangan SJKT dalam UPSR tidak terjejas oleh murid
corot yang kurang menyerlah.
[Reaksi Tamil Nesan - Baca di sini]
Pendukung kempen “SJKT Pilihan Kita” pula
endah tak endah kerana rekod peningkatan kemasukan murid Tahun 1 serta
keputusan cemerlang murid Tahun 6 (UPSR) tidak terjejas sebaik murid-murid
corot dipindahkan ke SK.
Demikian antara realiti yang diceritakan
kepada saya oleh pelajar lepasan SJKT dan ibu bapa kaum India yang pernah
menjadi mangsa.
Mereka mengharapkan penjelasan daripada BN
dan para pendukung kempen “SJKT Pilihan Kita” kerana manipulasi yang dilakukan
sebenarnya menjejaskan hak pendidikan dan masa depan generasi muda kaum India.
[Makalah ini ditulis pada 10 Januari 2016 dan
disiarkan di The
Malaysian Insider pada 12 Januari 2016. Portal berita The
Malaysian Insider menamatkan
operasi pada 14 Mac 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. LEBIH
BANYAK MAKLUMAT BERKAITAN ISU INI]