Wednesday, 16 March 2016

Isu SJKT dan Masalah Kamar Gema

Saya tidak menyangka makalah “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita” (The Malaysian Insider, 12 Januari 2016) bakal menjadi viral sehingga pelbagai pihak melabel saya sebagai “pengkhianat” dan mendesak permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, kecaman terhadap tulisan saya membuatkan orang ramai tertanya-tanya mungkinkah isu-isu yang dipaparkan bukan “kes terpencil” tetapi kes-kes besar dan meluas yang cuba disembunyikan pihak tertentu.

Hampir 15 jam selepas makalah saya disiarkan, ia hanya disukai (like) dan dikongsi (share) sekitar 30 orang. Maklumlah, ia hanya pendedahan kecil beberapa isu yang wajar diberikan perhatian jika mahu memastikan kejayaan kempen “SJKT Pilihan Kita”.

Bermula 11:30 malam hari berkenaan, saya mula menerima panggilan telefon dari nombor-nombor tidak dikenali. Pemanggil mengaku menerima mesej menerusi WhatsApp yang tersebar daripada orang tertentu di sebuah akhbar Tamil.

Memandangkan saya bukan lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan tidak mengambil subjek Bahasa Tamil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dikatakan tidak berhak mendedahkan kepincangan di SJKT kepada umum.

Pada 13 Januari 2016, akhbar Tamil Nesan menyiarkan berita utama di muka depan di mana kandungan makalah saya dimanipulasi dengan niat menimbulkan kemarahan dan kebencian orang Tamil terhadap saya.


Thiagaseelan Ganesan dari Pemuda MIC menelefon dan berkata, makalah saya bertaraf sampah serta menjejaskan kempen memujuk ibu bapa menghantar anak-anak ke SJKT.

Rata-rata orang yang hanya membaca laporan berbaur fitnah di Tamil Nesan menyelar saya, kononnya saya menuduh kesemua murid SJKT diajar menipu dan meniru untuk mendapat 7A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Hal yang berlaku menepati konsep “echo chambers” (kamar gema) seperti  diterangkan Walter Quattrociocchi, di mana Tamil Nesan memetik dan memanipulasi hanya satu isi dalam makalah saya untuk disebarkan kepada pembaca.

Akhbar yang dipercayai milik MIC itu juga menghasut ibu bapa, guru dan penyokong SJKT seluruh negara membuat laporan polis terhadap saya.

Mohan Perumal dari akhbar Makkal Osai pula menyeru ibu bapa lepasan SJKT memfailkan saman malu terhadap saya di mahkamah.

Vettri Victor, wartawan majalah Thendral mengaku amat marah dengan pendedahan saya, tetapi bersikap profesional dengan mewawancara dan memberikan peluang kepada saya memberi penjelasan.

Sesiapa yang berada di luar “kamar gema” dan sudah membaca makalah asal saya akan memahami betapa sembilan isu terpencil yang didedahkan perlu disiasat dan diambil tindakan demi membaiki mutu pendidikan SJKT.

Manipulasi Tamil Nesan “berjaya” mengelirukan pembaca sehingga mereka mendapat maklumat tidak benar; lalu menyerang saya dengan komen penuh emosional menerusi telefon dan media sosial.

Komen-komen mereka menggambarkan seolah-olah mereka bukan lepasan SJKT – kerana hasil pengalaman saya, murid SJKT sangat bersopan-santun dan menjaga tutur bicara.

Akhbar Tamil Nesan menggesa orang ramai membuat laporan polis terhadap saya. Sehingga makalah ini ditulis, tiada sebarang laporan polis dibuat.

“Tindakan cara lain yang sesuai diambil ke atas orang ini,” ugut Thiagaseelan dan disokong rakan-rakannya.

Maka, ada saranan di media sosial supaya orang ramai membuat demonstrasi besar-besaran di depan rumah saya.

Mungkin itu lebih “bermanfaat” daripada membuat laporan polis dan meminta siasatan penuh dilakukan. Atau mengkaji dan menyelesaikan isu dalam makalah.

Menurut Vettri Victor, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan mengesahkan “tidak ada satu pun kes seumpama itu berlaku di SJKT”.

Sepatutnya penafian beliau disiarkan sebagai berita utama, tetapi diabaikan terus Tamil Nesan.

Akhbar Malaysia Nanban pada 14 Januari 2016 memetik Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Dr N. Rajendran bertanya, “Apakah Uthaya tidak tahu tentang kejayaan murid-murid SJKT?”

Ternyata beliau hanya membaca berita manipulasi di Tamil Nesan tanpa merujuk pelbagai isu penting dalam makalah asal.


Apabila saya menulis makalah itu, saya mengharapkan penyelesaian bagi masalah-masalah terpencil itu supaya kempen “SJKT Pilihan Kita” lebih berjaya.

Manipulasi akhbar Tamil serta kecaman susulan berbentuk “kamar gema” di media sosial membuktikan beberapa hal menarik untuk direnungkan.

Pertama, hanya satu pendedahan dalam makalah asal saya dikatakan tidak benar. Maka, pendedahan lain diakui memang berlaku.

Kedua, satu-satunya pendedahan yang dikecam itu hanya berdasarkan berita yang dimanipulasi Tamil Nesan.

Ketiga, pendedahan saya rupa-rupanya bukan isu terpencil tetapi umpama bangkai gajah yang cuba ditutup dengan daun pisang.

Orang ramai mula memikirkan kemungkinan itu apabila serangan demi serangan penuh emosional dilakukan menerusi media sosial oleh kelompok yang “tertipu” membaca berita manipulasi di Tamil Nesan.

Akhbar itu sendiri nampaknya menyedari kesilapan dan memutuskan tidak menyiarkan sebarang berita susulan, walaupun Thiagaseelan (Pemuda MIC), Satees Muniandy (DAP), Vijayalatchumy MJ (Vallinam), Kamalanathan (KPM), Manivannan Munian (Persatuan Alumni India Universiti Malaya) dan sebagainya mengeluarkan kenyataan.

Sebaliknya, Tamil Nesan pada 17 Januari 2016 menyiarkan rencana khas K. Padmanabhan yang turut menyentuh beberapa masalah dihadapi SJKT.

Seorang guru SJKT Taman Melawati, Yogesvaran Monogaram (M. Navin) memulakan kempen menerusi laman Vallinam dan Yaal menggesa SJKT seluruh negara memboikot “Program Memartabatkan Bahasa Malaysia” yang sedang dijalankan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Satees Muniandy yang menjadi sumber kepada kelahiran peribahasa moden “macai macam satees” kini muncul dengan teori bangang kononnya motif saya menghapuskan semua SJKT dan membina SJK Malayalam kerana saya keturunan Malayali.

Walaupun Tamil Nesan kini membisu, pembaca yang terpengaruh dengan berita palsu siarannya terus terperangkap dalam “kamar gema” lalu tidak mampu mencerna sembilan isu yang saya kemukakan.

Selepas berita palsu diviralkan menerusi media sosial dan WhatsApp, masyarakat pelbagai kaum mula tertanya-tanya: Mungkinkah beberapa kes terpencil yang dipaparkan menerusi makalah itu “baru bunganya sahaja” (only the tip of the iceberg)?

[Makalah ini ditulis pada 17 Januari 2016 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 19 Januari 2016. Portal berita The Malaysian Insider menamatkan operasi pada 14 Mac 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. LEBIH BANYAK MAKLUMAT BERKAITAN ISU INI]