14 Jan 2016

Akhbar Tamil Kecam Pendedahan Uthaya


Tulisan bertajuk “Persoalan kempen SJKT Pilihan Kita” (The Malaysian Insider, 12 Januari 2016) oleh Uthaya Sankar SB dikecam sebuah akhbar Tamil kerana disifatkan menghina murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Akhbar Tamil Nesan pada 13 Januari 2016 menyiarkan berita utama di muka depan dengan memetik pendedahan yang dilakukan Uthaya mengenai kepincangan yang dilaporkan berlaku dalam sistem pendidikan SJKT.

Pelbagai pihak mengecam tulisan itu,” Tamil Nesan melaporkan tanpa menyebut nama mana-mana pihak yang kononnya mengemukakan bantahan.

Topik utama yang dikatakan mendapat bantahan orang ramai adalah tulisan Uthaya bahawa ada pelajar SJKT sanggup menipu dan meniru untuk lulus ujian dan peperiksaan.

Pendedahan itu dilihat sebagai menghina dan menghalang kempen “SJKT Pilihan Kita” yang diterajui MIC.


Bagaimanapun, keseluruhan laporan Tamil Nesan hanya menyentuh mengenai isu murid meniru dalam ujian dan peperiksaan.

Pelbagai isu lain yang diketengahkan dalam tulisan Uthaya tidak disentuh langsung akhbar berkenaan.

Tamil Nesan mendesak Uthaya memohon maaf kepada masyarakat India atas pendedahan yang dilakukannya.

Sambil menyifatkan tulisan Uthaya sebagai suatu jenayah, akhbar yang diterajui K. Padmanabhan sebagai ketua editor berpendirian laporan polis perlu dibuat segera dan penulis berkenaan dihadapkan ke mahkamah.

Kami menyeru pencinta Bahasa Tamil di seluruh negara membuat laporan polis terhadap pengkhianat ini,” kata Tamil Nesan.


Pada tahun 2011, selepas Uthaya mendedahkan pelbagai kelemahan dalam novel Interlok yang dijadikan teks Komsas, beliau dianggap sebagai wira kaum India. [BACA DI SINI]

Lima tahun kemudian, apabila penulis itu mendedahkan pelbagai kelemahan berkaitan SJKT, beliau dilabel sebagai pengkhianat kaum India.

Uthaya sewaktu dihubungi berkata, beliau mengalu-alukan sebarang reaksi dan komen daripada orang ramai selepas membaca makalah asal yang disiarkan di The Malaysian Insider.

“Ramai yang menelefon saya selepas mesej tidak tepat tersebar menerusi WhatsApp. Saya meminta mereka membaca makalah asal sepenuhnya untuk mengetahui perkara sebenar,” katanya.


Uthaya juga tidak menghalang sesiapa membuat laporan polis seperti didesak akhbar Tamil Nesan.

“Tulisan saya adalah berdasarkan fakta dan tidak timbul keperluan memohon maaf kepada sesiapa,” katanya.

Menurut Uthaya, tumpuan semua pihak terbabit sepatutnya terhadap usaha mengatasi pelbagai kepincangan yang dikemukakan dalam makalah itu, bukan melencongkan isu.



[Berita di The Malaysian Insider pada 14 Januari 2016. BACA KOLEKSI MAKALAH BERKAITAN ISU INI]