29 Jan 2025

Sejarah Tiga Ribu Tahun Yahudi dan Babi



Throughout, I refer to the animal in question as “the pig,” rarely referring to it as “pork” or “bacon” or “ham.” In doing so, I want to remind us that the pig is so much more than just food: it is also both an embodied and metaphorical nonhuman animal, which is being used to stake various claims about the identities of human animals.

Jordan D. Rosenblum


“Saya baru selesai baca buku ini,” kata Nadia, gadis Katholik yang sejak tadi diam sambil merenung ke luar jendela. “Judulnya Forbidden: A 3,000-Year History of Jews and the Pig oleh Jordan D. Rosenblum.”

Ravi, pemuda beragama Hindu yang sedang membetulkan duduknya di kerusi sambil menggigit kuih abok-abok, menoleh.

Petang itu, langit di luar kafe di Universiti Malaya kelihatan muram, dengan awan mendung tergantung rendah. Tetapi di dalam kafe yang dihias secara minimal, lima sahabat karib yang berfikiran liberal sedang menikmati teh tarik, kopi, dan sepinggan pelbagai kuih nyonya.

Masing-masing datang dari latar belakang yang berbeza dan perbualan mereka sering kali mencabar perspektif masing-masing. Ada yang suka membincangkan topik agama, sejarah, dan budaya. Ada yang gemar bertanya soalan-soalan besar yang kadang kala membuatkan mereka rasa seperti terlibat sama dalam debat falsafah bersama Plato, Aristotle, atau Socrates.

“Hm, menarik. Apa yang unik tentang babi dalam budaya orang Yahudi?” Ravi bertanya. “Selama ini, saya cuma tahu tentang larangan makan babi dalam agama lain yang masih terlalu muda. Tak sangka pula ada sejarah lebih tiga ribu tahun.”

Ruth, rakan beragama Yahudi dari Singapura yang selalu berbicara dengan penuh keyakinan, tersenyum sinis seraya mencapai kuih gula hangus yang digemari.



“Itu yang buat saya turut tertarik pada buku ini. Kadang-kadang, orang tak tahu betapa dalam dan panjangnya sejarah budaya dan agama besar dunia seperti Yahudi, Hinduisme, Kristian, dan Buddha. Dalam buku itu, Rosenblum menghuraikan hubungan antara orang Yahudi dan babi, bermula sejak zaman purba,” Ruth menghuraikan.

“Jadi, apa yang dia tulis?” tanya Keshav, rakan beragama Buddha dari Sri Lanka. “Saya selalu tertarik dengan sejarah agama-agama besar dunia. Terutamanya tentang bagaimana ia berkembang dan berinteraksi antara satu sama lain.”

Nadia menghela nafas panjang sebelum memulakan cerita. Dia tahu bahawa rakan-rakannya berfikiran terbuka dan bersedia untuk mendengar apa yang mahu disampaikannya tanpa menuduh dia cuba menyebarkan ajaran Yahudi di universiti.

Dalam bukunya, Rosenblum memulakan perbincangan tentang larangan terhadap babi dalam tradisi Yahudi sejak zaman dahulu. Pada mulanya, babi dianggap sebagai haiwan yang dikaitkan dengan kemewahan dan kekayaan. Akan tetapi, kemudian beralih pula menjadi simbol binatang yang dianggap najis dan terlarang.

“Menurut Rosenblum, pada awalnya, babi bukanlah dianggap sebagai sesuatu yang najis dalam tradisi Yahudi. Dalam sejarah purba, babi malah dianggap sebagai simbol kekayaan,” Nadia menceritakan hasil pembacaan.

“Simbol kekayaan?” Ravi mencelah, penuh teruja.

“Ya, kerana babi ada nilai ekonomi dan digunakan dalam pelbagai upacara penyembahan. Namun, dalam proses pembentukan identiti penganut agama Yahudi, babi akhirnya dilarang secara ketat dan keras, terutamanya selepas berlakunya perubahan dalam kehidupan sosio-agama komuniti berkenaan.”

“Atas sebab-sebab moral, bukan?” Keshav turut mencelah. “Misalnya, dalam ajaran Buddha, kami juga ada konsep tidak membunuh makhluk hidup. Itu bukan hanya soal pemakanan, tetapi juga tentang cara hidup yang penuh dengan belas kasihan.”

Ruth mengangkat kening sambil menghirup minuman sejuk yang baru dihantar oleh pelayan kafe.

“Betul,” katanya sejurus kemudian. “Akan tetapi, bagi kami orang Yahudi, larangan terhadap babi lebih daripada sekadar soal moral. Ia lebih kepada pemisahan identiti.”



“Ya! Saya juga agak terkejut apabila membaca dalam buku ini bahawa ia bukan sekadar tuntutan agama,” Nadia yang sedang membuka balutan kuih rempah udang tidak dapat menahan diri daripada mencelah.

“Benar. Dulu, babi adalah binatang yang biasa dimakan oleh bangsa-bangsa di sekitar komuniti Yahudi—termasuk orang Mesir dan Philistin. Jadi, larangan itu menjadi simbol pemisahan. Penganut Yahudi pada masa dahulu mahu menjaga dan melindungi identiti mereka daripada pengaruh luar.”

Nadia menarik nafas, seperti mencerna setiap kata Ruth. Ravi dan Keshav juga mendengar dengan penuh minat.

“Jadi, larangan itu lebih kepada soal pempertahankan budaya dan agama. Babi menjadi lambang penolakan terhadap budaya luar yang dianggap tidak suci atau tidak sesuai dengan nilai-nilai komuniti Yahudi. Betul tak?”

“Ya, Ravi,” jawab Ruth sambil mengangguk. “Sejak kecil, kami selalu diajar tentang bagaimana agama Yahudi bukan sekadar ritual dan kepercayaan, tetapi juga soal identiti dan survival budaya. Dalam konteks kosherlarangan makan babi menjadi salah satu cara menjaga kekuatan identiti dan jati diri orang Yahudi pada zaman dahulu, terutamanya ketika berhadapan dengan kuasa yang lebih besar seperti Empayar Rom atau Mesir.”

Fairuz, rakan transgender yang sejak tadi memilih untuk hanya mendengar tanpa masuk campur sambil menggeragoti kuih koci, akhirnya tidak dapat mengawal diri.

“Tapi, jika kita lihat dari perspektif agama tertentu, larangan terhadap babi adalah sangat jelas. Ia termasuk dalam konteks menghindari perkara yang dianggap najis dan tidak sesuai dengan fitrah.”

Ravi, Ruth, Nadia, dan Keshav saling berpandangan. Kalau boleh, mereka tidak mahu menyentuh atau merujuk apa-apa hal berkaitan agama yang dimaksudkan oleh Fairuz. Terlalu banyak perkara yang dianggap menyentuh sensitiviti dan tidak boleh dibincangkan secara terbuka. Kalau tersilap cakap, mungkin dilabel menghina agama.

“Err … Memang dalam ajaran Hinduisme pun ada konsep ahimsa iaitu tidak membunuh makhluk hidup,” Ravi cuba menjawab secara penuh diplomatik. “Itu juga salah satu sebab mengapa babi dianggap tidak bersih dalam tradisi kami. Tetapi, tidak seperti agama Yahudi dan agama lain yang sangat rigid dalam hukum berkaitan babi, ada banyak cara dan pendekatan rasional boleh digunakan penganut Hindu dalam menangani isu ini.”



Perbualan mereka semakin mendalam dan suasana di kafe seakan berubah menjadi sebuah ruang perbincangan falsafah yang penuh dengan idea dan kritikan konstruktif.

Namun, sebaik topik perbincangan beralih kepada kepercayaan tentang babi dalam mitos dan kepercayaan kuno, Ruth tiba-tiba terdiam.

“Ada satu perkara dalam buku ini yang merunsingkan saya,” akui Ruth dengan suara perlahan sambil menyentuh lakaran babi oleh Isaac Bashevis Singer pada kulit buku Forbidden. “Rosenblum menyebut tentang mitos babi bukan hanya haiwan yang kotor tetapi juga dianggap sebagai simbol kejahatan dalam tradisi beberapa agama tertentu. Malah, ada pihak mempercayai bahawa babi adalah inkarnasi Iblis. Cerita seperti itu sangat menakutkan aku sejak kecil.”

“Eh! Ada cerita seperti itu?” Fairuz mengerutkan dahi. “Dalam agama anutan keluarga saya pun rasa-rasanya ada cerita tentang haiwan yang dikaitkan dengan kejahatan. Misalnya, anjing berbulu hitam dengan dua titik putih pada kening dikatakan jelmaan syaitan. Tetapi babi sebagai jelmaan Iblis? Nampak macam tuduhan yang agak berat.”

Ravi teringat akan kisah Varahi dan Varaha dalam tradisi Hindu. Tetapi topik itu mungkin elok disimpan untuk satu sesi perbincangan lain kerana cukup kompleks dan menarik untuk dibincangkan selama berjam-jam di kafe.

“Mungkinkah itu hanya mitos yang dicipta masyarakat Yahudi bagi menghalang penganut agama itu daripada makan babi?” Keshav meluahkan pandangan. “Setiap masyarakat memang ada cara tersendiri untuk memanfaatkan – atau memanipulasi – ketakutan terhadap sesuatu objek atau binatang yang mereka anggap tidak suci.”

“Ya, tapi …,” Ruth menyambung selepas memandang wajah rakan-rakannya satu per satu. “Apabila saya mendalami buku tulisan Rosenblum, saya mula memikirkan kemungkinan larangan terhadap babi dalam agama Yahudi dan beberapa agama lain bukan sekadar untuk membezakan antara suci dan kotor. Sebenarnya, lebih daripada itu. Ada maksud simbolik. Pada pemahaman saya, babi bukan hanya haiwan, tetapi ia menjadi simbol siapa yang berkuasa dalam masyarakat. Dan apa yang lebih menarik, babi juga menjadi simbol peralihan atau perubahan.”

Kesemua lima rakan itu terdiam seketika; mencerna hujah yang muncul daripada pembacaan buku yang menjadi topik perbincangan.

“Bagaimana pula pandangan peribadi kamu semua?” Fairuz bertanya dengan suara berbisik, seolah-olah tidak mahu perbincangan liberal-intelektual mereka didengar orang lain di kafe berkenaan. “Apakah kamu percaya apa-apa yang diperkatakan tentang babi dalam buku ini benar?”

Semua terus terdiam. Perbualan lima rakan itu bukan hanya mengenai babi atau sejarah agama Yahudi. Sebaliknya, sepertimana lazim mereka lakukan, juga tentang bagaimana mereka melihat dunia, menilai mitos dan fakta, dan memilih untuk membentuk identiti masing-masing.



“Mungkin tidak ada jawapan yang tepat kepada pertanyaan Fairuz,” kata Nadia apabila dia mendapati rakan-rakan lain masih membisu. “Mungkin semuanya bergantung kepada bagaimana masing-masing individu atau kelompok tertentu melihat dunia.”

Ravi, Ruth, Keshav, dan Fairuz mengangguk. Keshav segera mengunyah dan menelan kuih bingka labu.

“Tetapi, satu perkara yang pasti,” Keshav seolah-olah mahu merumuskan, “kita semua, melalui cara dan tradisi kita sendiri, perlu terus berjuang menegakkan prinsip, pegangan, identiti, dan jati diri, walaupun usaha murni ini pasti berdepan pelbagai rintangan dan cabaran daripada puak pelampau dan penunggang agama.”

“Kehidupan adalah tentang memilih, tentang memahami sejarah dan tradisi kita, serta kemampuan memutuskan apa yang harus diteruskan dan apa yang wajar ditinggalkan,” Ravi pula seolah-olah berfalsafah.

Perbualan lima sahabat di kafe Universiti Malaya diteruskan dalam suasana harmoni, ditemani langit yang semakin mendung di luar. Tiada siapa antara mereka berlima dapat menyimpulkan apa yang benar dan apa yang salah.

Namun, di sebalik setiap hujah dan pandangan yang dikongsi, muncul kesedaran baharu dalam jiwa dan minda—bahawa setiap individu, tanpa mengira agama dan kepercayaan, adalah sebahagian daripada naratif besar yang terus berkembang mengikut peredaran zaman.

Topik hampir serupa: “Dekalog dalam Kitab Agama Yahudi dan Kristian” – “Pemberontakan Iblis, dan Mengapa Ia Berbuat Demikian

[Ulasan ini ditulis dalam bentuk cereka pada 28 Januari 2025. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]