Monday, 31 May 2010

Bharatanatyam

Bharatanatyam adalah tarian tradisional masyarakat Tamil dari Tamil Nadu, India. Istilah “bharatanatyam” berasal daripada gabungan suku kata “bha” (bhava, ekspresi), “ra” (raga, muzik), “ta” (tala, ritma) dan “natyam” (seni tarian dramatik).
..
Istilah ini mula dipelopori oleh guru tarian, E Krishna Iyer pada pertengahan tahun 1930-an, dan seterusnya dipopularkan pula oleh seorang lagi guru tarian, Rukminidevi Arundale.
.

Teknik tarian bharatanatyam adalah berasaskan teks Natya Sastra yang dianggap sebagai manual rasmi bagi semua seni drama, tarian dan muzik tradisional di negara India. Natya Sastra ditulis oleh Bharata Muni lebih 2500 tahun dahulu.

.

Pada asalnya, bharatanatyam hanya ditarikan oleh devadasi iaitu golongan gadis yang menghambakan diri kepada dewa-dewa dan kuil, serta tidak akan berkahwin sepanjang hayat. Golongan devadasi membuat persembahan bharatanatyam di kuil untuk menunjukkan cinta mereka terhadap dewa yang dipuja.

.

Mengikut peredaran zaman, bharatanatyam mula menjadi persembahan pentas. Penari lelaki juga mula melibatkan diri dalam tarian tradisional ini.

.

Terdapat dua bahagian utama dalam tarian bharatanatyam iaitu nritta dan nritya. Nritta merujuk pada gerak-geri abstrak oleh penari dalam usaha menunjukkan kehebatan dan kemampuan membuat persembahan bharatanatyam.

.

Manakala bahagian nritya adalah bahagian “cerita” di mana penari menjadi “pencerita” yang akan menyampaikan sebuah kisah kepada para penonton melalui gerak-geri (abhinaya) penuh ekspresif tanpa suara. Kisah akan disampaikan melalui lagu yang dinyanyikan oleh seorang vokalis wanita.

.

Abhinaya yang digunakan oleh penari bharatanatyam termasuk mukhabhinaya (ekspresi muka), hastabhinaya (ekspresi tangan; mudra), netrabhinaya (ekspresi mata) dan angikabhinaya (gerak-geri seluruh tubuh).

.

Pergerakan penari adalah secara semitrikal; iaitu apabila suatu aksi dilakukan pada sebelah kanan, maka aksi yang sama akan dilakukan pada sebelah kiri. Penari bharatanatyam juga mampu menggerakkan setiap bahagian anggotanya secara berasingan; misalnya hanya kepala atau mata digerakkan.

..

Nota: Maklumat ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk sebuah ensiklopedia pelajar tetapi tidak diketahui sama ada ensiklopedia berkenaan sudah terbit.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!