23 Sept 2026

Perjanjian dalam Gelap



Bunyi jam dinding di pejabat kecil saya berdetak seperti cicak yang tidak pernah mahu berhenti—tik, tik, tik—dan setiap detik itu mengingatkan saya kepada sesuatu yang pernah saya lihat, lama dahulu, sebelum dunia menjadi gelap tanpa warna.

Saya tidak lagi tahu rupa jam itu tetapi saya tahu bunyinya. Sedikit sumbing pada detik ke-17 setiap minit; seperti nafas yang tersekat di hidung. Saya pernah melihat warna putihnya, mungkin. Atau saya hanya membayangkan semua itu.

Saya kehilangan penglihatan pada umur tiga belas tahun. Glaukoma. Doktor menyebut perkataan itu dengan suara yang tenang, seolah-olah ia hanya nama bunga.

Saya masih ingat bau antiseptik di hospital, rasa pahit ubat di lidah, dan sentuhan tangan ibu yang menggigil tetapi cuba kelihatan kuat.

Tekanan dalam mata, kata doktor. Saraf optik rosak. Kekal. Tidak boleh dipulihkan.

Dunia saya mengecil menjadi bunyi, bau, dan tekstur. Dunia saya menjadi sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi tetap wujud. Saya mula “melihat” menggunakan telinga, hidung, lidah, dan tangan.

Sekarang, Januari 2023. Saya seorang peguam. Orang selalu bertanya bagaimana saya membaca fail kes. Mereka tidak tahu tentang pembaca skrin atau screen reader yang bercakap tanpa henti, tentang huruf Braille yang menari di bawah jari seperti semut kecil, malah tentang keletihan yang datang daripada mendengar dunia terlalu lama.

Mereka tidak tahu tentang kesunyian yang juga bising.

“Puan Sumitha Ramasami?”

Suara pemuda itu pertama kali saya dengar melalui telefon. Sedikit serak seperti seseorang yang biasa bercakap dengan pelanggan tetapi jarang didengari sepenuhnya.

“Nama saya Kavindran Murugan.”

Saya masih ingat bagaimana saya menggenggam telefon lebih erat, merasakan getaran halus di hujung jari.

“Saya perlukan bantuan,” katanya. “Tentang NGO itu.”

NGO itu.

Saya sudah mendengar khabar angin berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dimaksudkan. Sejak Julai tahun lalu, ia mengusahakan rakaman audio buku Bahasa Malaysia.

Beberapa sukarelawan dalam NGO itu membacakan novel, cerpen, esei—segala yang selama ini terkurung dalam huruf-huruf yang tidak dapat saya lihat. Mereka rakam dengan suara manusia, bukan mesin. Nafas, emosi, penghayatan, dan jeda menghidupkan peluang menikmati karya berkenaan.

Mereka mengedarkan rakaman audio secara percuma kepada orang seperti saya. Kepada orang seperti Kavindran.

Dan kini, sebuah penerbit—agensi besar yang disokong oleh kerajaan—mahu menyaman mereka.

Saya bertemu Kavindran di sebuah bilik kecil di Klang. Bau minyak urut memenuhi ruang, bercampur dengan peluh manusia, dan sedikit bau kertas lama. Saya dapat mengagak dia berdiri apabila saya masuk. Langkahnya berhati-hati tetapi yakin. Seperti seseorang yang telah lama berdamai dengan kegelapan.

“Puan,” katanya dengan suara yang lebih jelas berbanding di telefon. “Terima kasih kerana sudi datang.”

Saya mengangguk walaupun sedar dia tidak dapat melihat. Kami duduk. Kerusi plastik berbunyi sedikit di bawah berat badan saya.

“Ceritakan,” saya meminta.

Kavindran menarik nafas panjang. Saya boleh dengar bunyi dadanya naik turun.

“Saya tak sekolah tinggi, puan. Saya jadi tukang urut saja. Dari kecil, saya buta.” Dia berhenti seketika. “Radio … lagu … itu saja dunia saya. Tapi apabila NGO itu bagi rakaman buku-buku Bahasa Malaysia, saya rasa macam ada pintu dibuka. Saya dapat masuk ke satu dunia baharu.”

Saya diam. Bunyi kipas siling berputar perlahan menghasilkan dengung ekanada.

“Saya berpeluang dengar cerpen, puan. Saya dapat dengar novel Bahasa Malaysia. Saya boleh belajar perkataan baharu. Saya dapat rasa bahawa saya juga warganegara … saya juga manusia.”

Manusia. Perkataan terakhir itu jatuh seperti batu granit dicampak ke dalam air. … (bersambung[Rujuk: Projek Buku Cerpen 2027]

Cerpen seterusnya: Tuan Maxwell dan Surat Chiri

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!