30 May 2010

Sastera Tamil di Malaysia

Sastera Tamil di Malaysia dikatakan bermula dengan terbitnya novel sulung berjudul Karunakaran Allathu Kathalin Matchi (1917) karya K Vengadaratnam dari Tamil Nadu, India. Kumpulan cerpen sulung pula terbit pada tahun 1930 dengan tajuk Navarasa Katha Manchari iaitu lima cerpen karya V Sinniah Pillai. Kumpulan cerpen kedua berjudul Kadhaisipanthikalin Kannir (1946) mengumpulkan karya AMM Ibrahim.
..

Rata-rata tema novel dan cerpen awal adalah tentang kemerdekaan India, sistem kasta dan dowri dalam perkahwinan. Latar tempat yang ketara menggunakan Tamil Nadu dan Sri Lanka mula berubah menggunakan latar Malaya pada tahun 1950-an.

.

Akhbar Tamil banyak menyumbang ke arah perkembangan cerpen di Malaya/Malaysia sejak tahun 1950-an; antaranya Tamil Nesan, Tamil Chelvan, Tamil Kodi, Malaysia Nanban, Inba Nilayam, Senthamil Selvi dan Tamil Murasu. Akhbar Tamil Nesan, Malaysia Nanban dan Makkal Osai masih meneruskan usaha ini.

.

Dari November 1950 hingga April 1951, akhbar Tamil Nesan mengadakan ruangan “Kelas Cerita” untuk memberi tunjuk ajar menulis cerpen kepada bakat-bakat muda. Pada tahun 1953, akhbar Tamil Murasu mengadakan ruangan khas bagi penyiaran karya penulis muda.

.

Jurnal sastera bahasa Tamil juga memuatkan cerpen dan novel bersiri; antaranya adalah jurnal Solai (1952), Thirumugam (1955), Sangamani (1955), Madhavi (1959) dan Ponni (1965). Pada masa kini, akhbar mingguan Vanampaadi serta majalah seperti Thendral dan Nayanam masih memberi ruang bagi penyiaran cerpen dan puisi. Pertandingan menulis cerpen yang menawarkan hadiah turut giat dianjurkan oleh pihak akhbar.

.

Kebanyakan penulis awal sajak, cerpen dan novel Tamil berpendidikan Tamil serta menjadi guru sekolah Tamil, wartawan akhbar Tamil atau bekerja di Jabatan Kerja Raya. Tema-tema yang menjadi pilihan adalah berkaitan masalah sosial, cinta, penderitaan akibat perang dan masalah di ladang. [BACA LAGI]

.

Novel-novel yang terbit sebelum tahun 1957 ketara bertema penyiasatan, iaitu tema yang ditiru dari Tamil Nadu. Malah, latar Tamil Nadu juga menjadi pilihan kerana ramai juga penulis yang berasal dari sana.

.

Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia yang diasaskan pada tahun 1958 mula membantu para penulis bergiat secara aktif dalam menghasilkan karya bermutu. Pertandingan menulis novel yang pertama telah dianjurkan pada tahun 1969 bagi merancakkan usaha menulis novel. Persatuan Bahasa Tamil, Universiti Malaya pula menganjurkan pertandingan cerpen dalam mencungkil bakat-bakat baru.

.

Karya bahasa Tamil dihasilkan dalam bentuk puisi, lirik lagu, cerpen, esei, novel, drama radio dan drama pentas. Antara pengarang veteran sastera bahasa Tamil di Malaysia ialah M Ramaiah, R Perumal, M Ramakrishnan, M Arivanandan, M Anbuchelvan, MS Gurusamy, Re Shanmugam, R Kartigesu, MA Ilanchelvan, Karaikilar, N Mariappan, M Durairaj, M Sultan, Hassan Ghani, C Sockalingam, S Kamala, I Ilavalagu, Paavai, Ko Punniavan, Samy Murthy, Ku Krishnan, V Poobalan dan B Chandrakantham.

.

Terdapat juga usaha menterjemah cerpen Tamil ke bahasa kebangsaan, misalnya antologi Seruling di Persimpangan (1999). Usaha mengkaji puisi, cerpen, novel dan drama bahasa Tamil dilakukan secara berterusan dan mendalam oleh Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya.

..

Nota: Maklumat ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk sebuah ensiklopedia pelajar tetapi tidak diketahui sama ada ensiklopedia berkenaan sudah terbit.