Judul: Singapore’s Heritage Through Places of Historical Interest
Penulis: Dhoraisingam S. Samuel
Tahun: 2010 (edisi diperbahurui)
Harga Pasaran: US$28 (RM123)
Harga Istimewa: RM100 (sehingga 14 Februari 2016)
Walaupun Singapura gah sebagai sebuah negara maju, republik
itu tidak mengabaikan aspek pemeliharaan bangunan warisan dan monumen
bersejarah untuk tatapan generasi akan datang.
Setiap bangunan dan monumen itu pasti ada cerita tersendiri
yang mungkin kurang diketahui umum.
Bagi mengisi kekosongan ilmu dan pengetahuan itu, buku Singapore’s Heritage Through Places of
Historical Interest (2010) tampil dalam edisi diperbahurui daripada edisi
sulung yang terbit pada 1991.
Penulisnya, Dhoraisingam
S. Samuel seorang pengkaji dan bekas pendidik yang sering menjadi pensyarah
undangan di pelbagai institusi pengajian di republik berkenaan sejak bersara
pada 1985.
Saya mengenali beliau sejak 2005 dan kagum dengan buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka
(2006) iaitu satu-satunya bahan dokumentasi menyeluruh berkaitan sejarah,
budaya, adat dan kehidupan masyarakat Chetti di Melaka.
Dhoraisingam turut menulis Tan Tock Seng: His Life, Times, Contributions and Legacy (2003) dan
Working for Dr Goh Keng Swee
(2011).
Kredibiliti Dhoraisingam dalam menulis buku-buku berasaskan
sejarah dan fakta memang sudah diperakui pencinta ilmu di Singapura.
Sejarahwan yang disegani ini bekas presiden Persatuan
Sejarah Singapura dan bekas ahli Lembaga Pengarah Muzium Sejarah Singapura.
Sejak saya mengenali beliau pada tahun 2005, beliau sentiasa
sibuk membaca, membuat kajian, mencari bahan, membuat catatan dan menulis
pelbagai buku dan manuskrip.
Gaya penulisan yang digunakan Dhoraisingam dalam buku Singapore’s Heritage amat mudah,
bersahaja, senang difahami dan hidup (lively)
sewaktu mengulas tentang sekitar 180 monumen bersejarah.
Apabila membaca kandungan buku ini, kita akan kembali sedar
setiap bangunan dan monumen ada cerita tersendiri – gembira, sedih atau penuh
misteri.
Chinatown diasaskan Stamford Raffles pada 1822 dan menjadi
pusat bagi imigran Cina. Dhoraisingam menyentuh mengenai keperitan hidup kaum
Cina pada masa itu; serta semangat mereka mahu terus memelihara budaya dan
tradisi nenek-moyang.
Patung tembaga seekor gajah yang kini terletak di Rumah Parlimen,
pada asalnya diletakkan di Dewan Memorial Victoria. Kisah asal-usul serta
persitiwa yang membawa kepada perpindahannya diceritakan di dalam buku ini.
Kuil Sri Mariamman merupakan rumah ibadat Hindu tertua di Singapura. Pengasasnya
Naraina Pillay, seorang kerani kerajaan di Pulau Pinang. Kisah menarik mengenai
sumbangannya diceritakan dengan penuh fakta oleh Dhoraisingam.
Keramat Iskandar Shah, kubur Kristian tertua, Masjid Sultan,
Tokong Thian Hock Keng, Masjid Nagore Durgha, Kampung Bugis dan Stesen
Jinriksha diceritakan secara menarik dan disertakan foto.
Kisah sejarah dan keunikan Pawagam Majestic, Kelab Kriket
Singapura, Dhoby Ghaut, Gurdwara Jalan Silat, Gereja St Joseph, Madrasah
Alsagoff, Sekolah Tamil Sarada Devi, dan Jalan Kadayanullur turut dihuraikan.
Tentu sahaja buku ini sesuai dibaca oleh khalayak pelbagai
umur kerana setiap halaman mengandungi maklumat dan fakta yang mungkin tidak
ditemui di tempat lain.
Buku ini bukan hanya sesuai bagi penduduk Singapura atau
sesiapa yang pernah berkunjung ke republik berkenaan.
Sebaliknya, para pencinta sejarah dan warisan di Malaysia
wajar memiliki dan menelaah buku Bahasa Inggeris ini untuk belajar sesuatu
daripadanya.
Sekurang-kurangnya akan timbul minat dan kesedaran untuk
menulis buku mengenai bangunan dan monumen bersejarah di Malaysia secara tulus
ikhlas sebelum kesemuanya dimusnahkan sedikit demi sedikit oleh politikus atas
nama pembangunan.
Harga pasaran buku ini US$28 (RM123) tetapi sekiranya
sesiapa berminat membeli [sebelum 14 Februari 2016], saya ada stok buku ini
yang ditandatangani Dhoraisingam untuk dijual pada harga RM100 senaskhah.
(Ulasan buku ini ditulis pada 9 Januari 2016 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 Januari
2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Lebih banyak ulasan
buku – DI SINI)