Membaca buku berbentuk travelog memang menyeronokkan kerana pembaca
berpeluang mengembara bersama-sama si penulis dan seolah-olah mampu menimba
ilmu sepanjang perjalanan itu.
Atas dasar itulah saya terus teruja untuk membaca travelog
berjudul Goji Bundy (2015) nukilan
Riduan A. Dullah, baru-baru ini.
Walaupun penerbit mengklasifikasikan buku ini sebagai “Malay fiction” pada halaman hak cipta,
buku ini memang sebuah travelog.
Malah, terbitan ini merupakan edisi yang dikemas kini
daripada edisi asal yang diterbitkan Sharekat
Penerbit-an Ah Boi milik penulis.
Sekali pandang, buku ini kelihatan seperti sebuah penerbitan
indie; dari segi susunan halaman,
bahasa dan reka letak yang menampakkan ciri-ciri amatur dan kurang profesional.
Akan tetapi, pembaca yang prihatin akan menyedari ia
terbitan sebuah penerbit Bumiputera terbesar di Malaysia, tetapi menggunakan
label Buku Pojok.
Seperti diakui Sri Diah dalam catatan blog (1 Jun 2015 dan
17 Ogos 2015), buku ini diterbitkan dalam projek buku alternatif yang
diusahakan Kumpulan Media Karangkraf.
Penulis menceritakan secara terperinci pengalamannya
mengembara selama tiga bulan di Australia; sejurus selepas putus tunang.
Berbekalkan wang yang sedikit dan semangat yang tinggi,
Riduan berjaya menimba pelbagai pengalaman di rantau orang.
Buku ini sebuah bahan bacaan santai, tetapi tetap diselitkan
unsur pemikiran dan intelektual yang mampu mencuit minda pembaca.
Foto-foto warna yang diselitkan membolehkan pembaca
“melihat” sendiri apa yang dilalui penulis.
Sepanjang buku ini, penulis bercakap kepada “kau”. Pada
mulanya, saya menyangka “kau” merujuk kepada pembaca.
Akan tetapi, hanya kemudian disedari “kau” merujuk kepada
seorang wanita yang pernah melukakan hati penulis.
Riduan turut memberikan pelbagai panduan dan tips pengembaraan di dalam buku ini. Pembaca
yang suka mengembara secara backpack
pasti menghargai panduan yang diberikan.
“Kalau di negara sendiri aku seorang mamat normal, di sini,
aku seakan pengemis. … Untuk terus hidup, kadang kau perlu merendahkan status
yang selama ini kau pegang, bahkan mungkin perlu menjadi sedikit hina pada
pandangan mata manusia,” kata Riduan.
Penggunaan bahasa tidaklah mencapai tahap standard atau Bahasa Malaysia Tinggi (BMT).
Mungkin penerbit tidak mahu mengubah bahasa cacamarba yang
digunakan oleh penulis dalam edisi asal.
Namun, penggunaan Bahasa Inggeris yang berleluasa – serta kesalahan ejaan Bahasa Malaysia yang
ketara – sedikit mengganggu proses pembacaan pencinta bahasa seperti saya.
Travelog setebal 176 halaman ini turut diselitkan judul
lagu-lagu yang khabarnya memang menjadi pilihan penulis semasa menghasilkan
buku ini.
Pembaca digalakkan mendengar lagu-lagu yang sama semasa
membaca buku ini.
Penceritaan amat ikhlas, penuh emosi, meyakinkan, santai,
menarik dan komunikatif.
Pembaca akan teruja untuk meneruskan pembacaan demi
mengetahui apa yang berlaku selama tiga bulan Riduan “terbuang” di Australia.
Penulis bukan pergi ke negara itu sebagai pelancong.
Sebaliknya, dengan bekalan wang yang amat terhad sehingga terpaksa mengikat
perut, serta bekerja keras di ladang buah-buahan dan sayur-sayuran untuk
menampung perbelanjaan.
“Pack barang dan
pergi. Kalau perancangan terlalu rapi, itu bukan travel, itu site visit!”
Demikian Riduan menyebut di dalam bukunya.
Semangat “Melayu” dan “Islam” amat ketara kerana penulis
sentiasa menggunakan kedua-dua landasan itu sebagai kayu ukur dalam
menganalisis pengalamannya; baik atau buruk.
Pembaca mungkin mahu tahu sama ada Riduan akan bertemu
semula dengan bekas tunangnya – seperti dalam kebanyakan filem dan novel
Melayu.
Atau apakah akan muncul kekasih baharu? Dan siapakah
sebenarnya “kau” yang dimaksudkan?
Semuanya terjawab dalam travelog yang menarik ini.
(Ulasan buku ini ditulis pada 5 November 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 22 November
2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Lebih banyak ulasan
buku – DI SINI)