Amalan yoga oleh orang Melayu di Malaysia pernah menimbulkan
kontroversi kerana kononnya warisan budaya India itu berunsur Hindu; sekali gus bertentangan dengan
ajaran Islam.
Sekiranya masyarakat pelbagai kaum dan agama yang
mengamalkan yoga ditanya, mereka pasti mampu memberikan maklumat yang lebih
jelas dan tepat mengenai realiti sebenar.
Sering kali masalah timbul apabila orang ramai tidak
diberikan maklumat yang tepat dan sebenar. Maka, muncul prejudis dan prasangka
daripada imaginasi liar.
Dalam keadaan seperti ini, usaha Suruhanjaya Tinggi India di
Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya menebitkan
buku dwibahasa berjudul Yoga Untuk
Kesihatan Holistik (Yoga For Holistic
Health) wajar dipuji.
Teks asal Bahasa Inggeris ditulis oleh Ajaya Kumar Sahoo
yang merupakan tenaga pengajar yoga di Pusat Kebudayaan India (ICC),
Brickfields.
Terjemahan Bahasa Malaysia dilakukan dengan amat
baik oleh Nizha Periaswamy yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan
rencana, dan merupakan pengamal yoga.
Buku ini diterbitkan dalam jumlah terhad (2,500 naskhah) dan
dilancarkan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, di Pusat Ramakrishna
Mission, Petaling Jaya pada 22 November 2015.
Memandangkan buku ini diterbitkan dalam dwibahasa, maka
mudahlah untuk dibaca dan difahami dengan melakukan rujukan silang antara
kedua-dua versi bahasa.
Buku setebal 134 halaman ini dimulakan dengan menjelaskan
apa sebenarnya yoga. Diikuti sejarah ringkas dan perkembangannya.
Istilah-istilah Sanskrit yang digunakan – seperti kriyas, asana, dharana, matra dan dhyana – tidak perlu dirisaukan kerana istilah Bahasa Malaysia dan
Inggeris turut diberikan.
Penjelasan yang dilakukan oleh guru yoga merangkap penulis
buku ini amat mudah difahami. Terjemahan oleh Nizha selaku pengamal yoga
membuatkan hasilnya sangat kemas dan mudah dicerna.
Buku ini bukan hanya sesuai untuk dimiliki oleh orang ramai
yang berminat untuk mengamalkan yoga. Sebaliknya, boleh juga dibaca oleh
sesiapa yang ingin tahu apakah sebenarnya yoga yang pernah menimbulkan
kontroversi di Malaysia.
Penulis buku ini merupakan memegang ijazah sarjana dalam
psikologi yoga. Beliau mengendalikan bengkel mengenai yoga di beberapa negara.
Foto dan ilustrasi warna di dalam buku ini turut membantu
pembaca lebih memahami apa yang dibaca. Setiap postur diterangkan dengan
perkataan dan disertakan pula foto yang memudahkan pemahaman.
Mungkin ada pihak yang menganggap yoga hanya salah satu
bentuk senaman fizikal. Penjelasan sebenar diberikan di dalam buku ini bagi
merungkai segala kekeliruan yang mungkin wujud.
Sesungguhnya ada banyak prasangka, mitos dan penyebaran
dakyah oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk merosakkan pengamalan yoga oleh
orang ramai.
Misalnya, yoga dikatakan berciri agama dan orang Bukan Hindu
mungkin menghadapi masalah kerana berlaku konflik agama. Perkara sebenar
diterangkan secara mudah dan tepat oleh penulis buku ini.
Pelbagai panduan dan peringatan juga disenaraikan untuk
dijadikan rujukan oleh sesiapa yang mahu mengamalkan yoga.
Pergerakan yoga bukanlah seperti aerobik yang penuh lincah.
Sebaliknya, melibatkan pergerakan kecil anggota badan, serta mampu dilakukan
oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Manfaat bagi setiap pergerakan yoga juga dihuraikan di dalam
buku ini. Misalnya, yoga suksma vyayamas
membantu mengatasi ketegangan, rasa berat dan kekejangan di sekitar kepala,
leher dan bahu.
Malah, apabila meneliti buku ini, kita akan sedar bahawa
kebanyakan pergerakan senaman kecil yang kita biasa lakukan sehari-hari sebenarnya
merupakan satu bentuk yoga.
Maknanya, walaupun ada pihak yang berusaha keras menghalang
orang ramai mengamalkan yoga atas alasan konflik agama dan sebagainya, amalan
yoga sebenarnya sudah menjadi sebahagian hidup manusia.
Pembacaan buku ini akan membantu kita memahami dan menerima
hakikat berkenaan.
(Ulasan buku ini ditulis pada 27 November 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 November
2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Lebih banyak ulasan
buku – DI SINI)