26 Apr 2020

Demikian Reaksi Pembaca Beta


Pada 20–23 April 2020, saya menulis tiga buah cerpen baharu, termasuk bagi Antologi Karya Penulis Malaysia. Ketiga-tiganya pendek sahaja, iaitu sekitar 500 perkataan (dua buah) dan 1,000 perkataan (sebuah).

Pada 24–25 April 2020, saya [Uthaya Sankar SB] bertanya jika rakan-rakan dan kenalan di Facebook dan WhatsApp sudi menjadi pembaca beta (beta reader). Untuk makluman, ini kali pertama saya membenarkan karya saya dibaca orang sebelum tersiar/terbit. [baca sebabnya di sini]

Saya mengirim petikan sekitar 160 perkataan, iaitu bahagian awal cerpen (intro cerpen), kepada mereka yang menyatakan kesudian secara sukarela untuk menjadi pembaca beta.

Konsep “pembaca beta” mungkin kurang diamalkan, tetapi saya sering “memaksa” peserta bengkel penulisan mengamalkannya; misalnya dalam Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan.


Malah, peserta antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Antologi Karya Penulis Malaysia juga “dipaksa” melakukannya — walaupun saya tidak menggunakan istilah “pembaca beta” semasa membimbing peserta.

Berbalik kepada tiga cerpen terbaharu saya, reaksi yang diterima adalah pelbagai dan amat menarik. Tentu sahaja tidak ada mana-mana jawapan yang “salah”. Malah, kesemuanya “betul” dan amat menggembirakan hati saya sebagai seorang penulis.

Beberapa lagi petikan awal cerpen turut dikirim kepada para sukarelawan. Cerpen-cerpen ini akan dimuatkan dalam buku baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]




Saya amat berpuas hati menerima reaksi yang pelbagai daripada rakan-rakan yang sudi meluangkan masa dan tenaga menjadi “pembaca beta” dan membaca petikan awal cerpen-cerpen saya. Maka, saya memutuskan untuk mendokumentasi reaksi mereka setelah mendapatkan izin daripada mereka yang terbabit.


Setiap reaksi yang diberi amat bernilai dan amat saya hargai dalam usaha berterusan menjadi penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu. Saya mendoakan supaya para pembaca beta terbabit sentiasa dirahmati dan dimurahkan rezeki.