Apa gunanya saya bercerita kepada anda? Anda
hanyalah sebahagian daripada kelompok manusia yang sekadar mahukan hiburan;
memilih untuk membaca kisah remeh-temeh dan separa porno dalam majalah-majalah murahan yang langsung tidak
mengharapkan penglibatan khalayak yang mampu menggunakan otak.
Saya adalah jenis sasterawan (penulis karya sastera; rujuk cerpen “Sasterawan Pulau Cinta” untuk penjelasan lanjut) yang tidak teragak-agak
memulakan cerpen dengan intro seperti
di atas.
Ciri-ciri cangkuk naratif (narrative hook) pernah saya
terangkan melalui siri tulisan dalam akhbar Mingguan
Wawasan pada Mac-Julai 1998. Namun, telah juga saya sebutkan bahawa ada
kalanya penulis boleh melanggar syarat narrative
hook dan masih mampu menarik minat pembaca.
Pelanggaran seperti ini sering saya lakukan dalam karya kreatif.
(Bacalah perenggan awal cerpen-cerpen saya untuk lebih memahami maksud saya di
sini.)
Gaya penulisan yang menggunakan teknik intro seperti ini bukanlah
sesuatu yang muncul secara mendadak. Sebaliknya, ia telah melalui suatu proses
yang cukup panjang sebelum saya mula menulis, malah.
Kisah bagaimana saya melibatkan diri dalam penulisan secara amatur dan
kemudian secara profesional telah saya terangkan di beberapa tempat sebelum
ini. Antaranya dalam prakata kumpulan cerpen Siru Kambam (1996), semasa sesi Minggu Penulis Remaja (1997), serta dalam
bengkel-bengkel penulisan yang saya kendalikan.
Gemar Membaca
Saya memang gemar membaca dan menulis karya kreatif sejak kecil.
Karya-karya saya kemudian mula tersebar dalam kalangan rakan-rakan Sekolah
Menengah Darul Ridwan, Taiping. Guru-guru saya, khasnya Encik Mokhtar, Puan
Hadebah Duseh, Puan Hasnah dan Cik Pragasam memberi galakan. Namun,
cerpen-cerpen awal saya yang berbentuk juvenilia belum saya bukukan.
Pada peringkat sekolah dan daerah, saya terlibat secara aktif dalam
pertandingan pidato, deklamasi puisi, drama, bahas, dan pantun. Begitu juga
dalam berpersatuan. Saya memegang jawatan-jawatan penting dalam Persatuan BAHASA MALAYSIA, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris. serta beberapa kelab.
Saya terlibat sama dalam penghasilan majalah persatuan dan sekolah.
Dalam persatuan, kami susun aktiviti yang ada kaitan dengan dunia penulisan
kreatif. Semua ini menjadi asas kepada minat saya dalam bidang penulisan. Saya
terus menulis dan menulis untuk diri sendiri, rakan-rakan, dan majalah sekolah.
[Baca juga — Bagaimana Uthaya Mula Menulis]
Penglibatan saya dalam bidang penulisan mula semakin terarah setelah
berpeluang menemui saudara A. Rahim Abdullah sewaktu beliau memberi ceramah
“Sastera Melayu Membuka Jendela Dunia” di Dewan Perbandaran Taiping pada 14 Jun
1991 sempena Pesta Buku. Saya pada waktu itu menjadi pengacara majlis Sayembara
Deklamasi Sajak Peringkat Menengah Rendah.
Sewaktu sesi soal-jawab selepas ceramah tersebut, saya banyak bertanya
kepada saudara A. Rahim tentang peluang yang ditawarkan oleh DBP kepada penulis
remaja. Tambahan, beliau pada waktu itu terlibat dalam Skim Penggalakan DBP.
Beliaulah yang telah meminta saya kirimkan manuskrip cerpen saya kepada beliau
untuk diteliti dan dikomen. Beliau juga sempat menasihati, “Selamat belajar dan
menjadi penulis besar!”
Lalu, dengan semangat berkobar-kobar, saya kirimkan manuskrip cerpen
“Mereka Tidak Mengerti” kepada beliau. Saya mengharapkan agar cerpen saya
dikomen dan dikembalikan. Tetapi saudara A. Rahim tidak pernah memulangkan
manuskrip itu.
Sebaliknya, pada 26 Julai 1991, saya menerima surat jemputan menyertai
MPR. Rupa-rupanya saudara A. Rahim mengemukakan manuskrip “Mereka Tidak
Mengerti” kepada urus setia Minggu Penulis Remaja (MPR) dan editor majalah Dewan Siswa.
Minggu Penulis Remaja
Lalu, saya dijemput menyertai MPR. Sewaktu saya menyertai MPR pada 19-23
Ogos 1991, saya merupakan peserta termuda. Muda bukan dari segi usia tetapi
dari segi pengkaryaan. Atau lebih tepat lagi, dari segi kuantiti karya yang
sudah tersiar dalam media massa.
Para peserta lain sudah banyak berkarya serta banyak tersiar dalam
pelbagai media serta menang banyak pertandingan menulis. Karya saya pula
sehingga itu belum pernah tersiar di mana-mana media bertaraf nasional. Salah
saya juga kerana tidak mengambil inisiatif mengirimnya ke mana-mana.
Sepanjang MPR 1991 juga saya berpeluang mendengar ceramah Pak Arena
Wati, Pak Shahnon Ahmad, Pak A. Samad Said, Pak Haji Othman Puteh, dan Pak Rahman Shaari. Tidak terkecuali juga peluang mengenali Zaen
Kasturi, Ahmad Patria Abdullah, dan Tuan Faridah Syed Abdullah; sekadar
menyenaraikan beberapa nama.
Ahmad Patria menasihati saya, “Uthaya,
versatility is an advantage. To be able to use the sword with both hands is a
great gift.” Tuan Faridah pula mengingatkan, “Sekali menulis, terus
menulis”.
Selepas itu? Saya terus menulis.
Selepas itu? The rest is history.
Memanglah segalanya tidak semudah dan semendatar yang saya ceritakan di
sini. Pembinaan diri sebagai seorang sasterawan melibatkan proses yang cukup
rumit dan seringkali sukar diceritakan. Mungkin kajian terhadap teks-teks yang
dihasilkan oleh sasterawan terbabit boleh membantu.
Proses Kreativiti
Apa yang nyata, proses kreativiti saya bermula jauh sebelum saya mula
menulis. Mungkin benar bahawa ada individu yang memang ditakdirkan menjadi
pengarang tulen. Dan tentu ada tujuan mengapa Tuhan membuat keputusan ini.
Saya seorang yang pelupa; sangat pelupa. Hal ini saya terangkan dalam kumpulan
cerpen Siru Kambam. Sifat pelupa ini
masih ada hikmah tersembunyi. Sekurang-kurangnya, saya boleh membaca karya-karya
sendiri berulang kali. Ada bahagian yang saya ingat dan ada bahagian yang
ternyata sudah hilang daripada ingatan saya!
Proses penulisan saya juga agak menarik atau pelik. Apabila saya ada
idea untuk cerpen, saya tidak menceritakannya kepada sesiapa. Sebabnya ada saya
terangkan dalam tulisan bertajuk “Penulis Bukan Penglipur Lara” (Mingguan
Malaysia, 22 Oktober 1995).
Saya akan mulai dengan mengumpul segala bahan yang perlu bagi
menghasilkan karya yang masih mementingkan faction (fakta dan fiksyen). Apabila segalanya sudah terkumpul, kisah itu mula
mengalir sendiri secara lancar dalam bentuk bertulis.
Proses penulisan saya melibatkan genius
iaitu kehadiran suatu proses yang sering dinamakan auto suggestion, sixth sense,
dan seumpamanya. Namun, saya lebih selesa menggunakan istilah genius.
Genius inilah yang berperanan mengumpul segala bahan yang saya perlukan.
Apabila bahan sudah terkumpul, saya mula menulis. Apabila draf pertama siap,
saya membacanya semula sebagai seorang sasterawan (penulis karya sastera).
Kemudian, saya membacanya secara kritikal sebagai seorang pengkritik.
Saya mengubah dan membetulkan apa yang patut dan perlu. Maka, manuskrip cerpen
saya sudah siap untuk dikirim ke akhbar atau majalah.
Membaca Sebagai Editor
Pada tahap ini, saya membaca semula manuskrip cerpen itu sebagai seorang
editor; melihat sama ada manuskrip berkenaan mampu menarik minat saya (sebagai
seorang editor). Tumpuan utama pada peringkat ini biasanya pada bahagian intro; beberapa perenggan
awal.
Melalui pembacaan sebagai seorang editor, saya sudah tahu akhbar atau majalah
mana yang sesuai untuk menyiarkan cerpen tersebut. Lalu, saya kirim. Biasanya
saya dapati cerpen-cerpen saya sangat serasi dengan akhbar Mingguan Malaysia. Cik Siti Rohayah Attan cukup cekap dan cepat
dalam menangkap makna-makna tersirat dalam karya-karya saya.
Sekadar contoh terdekat, cerpen “Cat”, “Diwali” dan “SB” mungkin kelihatan entah
apa-apa bagi sekumpulan masyarakat. Namun, sebagai editor yang berilmu, Cik
Siti mampu menangkap apa yang terkandung dalam cerpen-cerpen itu.
Memanglah ada suara-suara sumbang yang mempersoalkan mengapa
cerpen-cerpen saya yang entah apa-apa
sering tersiar di Mingguan Malaysia
dan Dewan Sastera. Tetapi, itu
hanyalah suara-suara sumbang dan tidak perlu diendahkan.
Daripada penjelasan tadi, ternyata saya tidak menceritakan kisah dalam
cerpen saya sebelum ia ditulis. Manuskrip yang siap juga tidak saya berikan
kepada sesiapa untuk dibaca dan dikomen. Mungkin kerana genius dalam diri saya
mampu melaksanakan tugas pengumpul bahan, penulis, penyunting, pengkritik, dan
sebagainya!
Apabila karya tersiar, nah! Inilah masa untuk khalayak memberi reaksi.
Cukup adil, bukan? [Pada April 2020, saya mula memberi peluang kepada
rakan-rakan membaca petikan awal cerpen-cerpen saya sebelum tersiar. Rujuk “Demikian
Reaksi Pembaca Beta” untuk maklumat lanjut.]
Sepuluh Pembaca Berotak
Saya tidak membelakangkan pembaca; sekurang-kurangnya pembaca yang
berfikiran proaktif. Memanglah timbul suara-suara sumbang (sekali lagi!)
setelah saya mengeluarkan kenyataan yang agak kasar dalam Dewan Sastera, Mei 1997:
“Terus terang, minat saya untuk menulis
cerpen timbul lantaran rasa mual sewaktu membaca karya-karya yang termuat dalam
antologi cerpen remaja yang terbit sebelum tahun 1988. Mungkin juga saya hanya terbaca karya yang
kurang bermutu. Namun, rasa mual itulah yang membuatkan saya mahu menghasilkan
karya yang lebih baik daripada karya-karya yang sudah terbit itu. Maaf jika ada
yang terasa.
“Mengapa saya menulis karya yang tidak
konvensional? Saya yakin bahawa hanya orang yang tahu menggunakan otak akan
membaca karya saya. Jadi, saya perlu menghormati minda dan intelektualiti
mereka. Saya berpegang pada ideologi bahawa penulis adalah penimbul persoalan
untuk renungan pembaca. Saya mahu sentiasa menjadi sasterawan yang berani
mengkritik bagi tujuan membina. Namun, bukan mudah untuk mengkritik pihak
tertentu. Sebab itulah saya hasilkan karya-karya parodi yang ketara berlatarkan
Siru Kambam dan Pulau Cinta.
“Mungkin benar tidak ramai yang menggemari
karya saya. Tetapi saya hanya memerlukan 10 pembaca berotak untuk membuatkan saya terus berkarya! Tidak
sukar mencari 10 manusia berotak, bukan?”
Tidak hairanlah jika dalam The Sun
(28 September 1998), saya digambarkan sebagai pengarang yang “ambitious,
confident, and even perhaps, a little arrogant”. Kesimpulan yang tidak salah.
Ramai juga yang bertanya, Apa perlunya karya anda disiarkan dalam akhbar
kalau hanya untuk dibaca oleh sepuluh orang?
Saya tidak perlu menjawab kerana orang yang bertanya ternyata tidak
berusaha memikirkan makna sebenar yang terkandung dalam kata-kata tersebut.
Ramai juga yang meluahkan rasa terkilan kerana cerpen-cerpen saya tidak
ada ending; tidak ada penyelesaian kepada persoalan. Ini tidaklah menghairankan kerana pendirian saya cukup jelas: Penulis adalah penimbul
persoalan untuk renungan pembaca.
Saya tidak mahu membaca karya-karya di mana penulis cuba mengajar
pembaca bagaikan pembaca adalah golongan manusia yang tidak tahu berfikir;
yakni tidak tahu menggunakan otak.
Sejak kecil, saya suka membaca. Malangnya tidak banyak bahan bacaan yang
memenuhi selera (selera intelek) saya pada waktu itu. Keadaan sebegitu juga
menjadi antara pencetus kepada keinginan menulis sastera yang tidak klise. Saya
tidak mahu memperbodohkan pembaca. Saya menghormati tahap mentaliti khalayak.
Saya tidak mahu masyarakat terus disogokkan dengan bahan bacaan yang tidak
mencabar minda.
Saya mahu melakukan maru malarchi
kerana sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat, saya tidak sanggup
melihat masyarakat terus diperbodohkan oleh beberapa individu yang bodoh.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa masih ada kumpulan yang terus selesa
berada dalam kedudukan kevala yang
tidak mengharapkan hijrah. Biarkan. Saya tetap menghormati tahap mentaliti dan
intelektualiti mereka. Dalam Dewan
Sastera (Mei 1997), telah saya huraikan ciri beberapa kelompok penulis dan
beberapa kelompok pembaca.
Karya Bijak VS Karya Bodoh
Cukup jelas bahawa saya tergolong dalam kumpulan penulis yang suka
bercakap tentang karya sendiri. Tetapi bukan pula dalam erti kata mengangkat
bakul sendiri. Sebaliknya, saya bangga dengan karya-karya saya. Saya yakini
mutu karya saya. Untuk membolehkan saya mampu memperkatakan karya sendiri,
tentulah saya perlu pastikan mutunya. Ini merupakan salah satu cara bagi
golongan penulis karya sastera memastikan karya mereka layak diperkatakan; sama
ada oleh orang lain atau oleh diri sendiri.
Saya juga sering menulis di akhbar dan majalah dalam usaha membimbing
bakat baru, sekadar yang termampu. Biasanya artikel saya bertolak daripada
pengalaman saya sendiri dalam bidang penulisan. [Lihat juga — Bimbingan Penulisan Cerpen Menerusi E-mel]
Antara artikel yang mungkin anda pernah (atau wajar) baca adalah
“Mendekati Khalayak Remaja” (Dewan
Sastera, Julai 1995 — juga dijadikan “Prakata” bagi Kathakali), “Penulis Tidak Kering Idea” (Mingguan
Malaysia, 30 Julai 1995), dan “Antara Nama Pena dan Nama Samaran” (Mingguan
Malaysia, 21 Januari 1996).
Begitu juga dengan siri artikel “Bertemu Sasterawan Dalam Diri”
sepanjang 1996, serta siri artikel “Proses Kreativiti” yang disiarkan pada
April—Disember 1997 dalam majalah Dakwah.
Tidak terkecuali juga teks ucapan dalam Dewan
Sastera, Mei 1997.
Teks saya selalunya berciri intertekstual; sama ada teks fiksyen atau non-fiksyen. Semuanya saling melengkapi;
walaupun tetap mampu berdiri sendiri. Bagaikan jaring (web) yang tidak berkesudahan. Mungkin inilah antara faktor yang
membuatkan sekelompok masyarakat malas
membaca karya-karya saya. Mungkin sahaja.
Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa saya tidak boleh memenuhi selera
semua pihak. Saya perlu melakukan pemilihan yang bijak. Saya perlu tetapkan
kelompok mana yang menjadi target
audience (khalayak sasaran) saya. Apabila pemilihan sudah dibuat, senanglah
untuk saya berkarya kerana saya tahu pembaca sasaran saya.
Perkara ini saya jelaskan dalam kertas kerja bertajuk “Genius dan Maru
Malarchi” pada Seminar Kebangsaan
Kesusasteraan di Malaysia anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,
Universiti Sains Malaysia (USM) pada 8 November 1998.
Saya tidak perlu risau memikirkan apakah kelompok di luar daripada pembaca
sasaran ini mampu mencerna karya-karya saya. Saya tidak harus mengabaikan
kelompok bermentaliti @ tahu menggunakan
otak semata-mata kerana terlalu mengasihani kelompok yang malas menggunakan
otak.
Kalau saya menghasilkan karya bodoh, memang jumlah pembaca bermentaliti
rendah boleh bertambah. Pada masa sama, kelompok bermentaliti tinggi akan
kecewa kerana karya bodoh saya memang memperbodohkan mereka. Selayaknyalah
mereka beralih membaca karya bijak.
Kelompok bermentaliti tinggi ini tidak akan kerugian; kerana mereka
cukup bijak untuk tetap setia pada karya bijak yang dihasilkan oleh penulis
lain. Kelompok bermentaliti rendah juga tidak rugi apa-apa. Sebaliknya mereka
beruntung kerana karya bodoh semakin bertambah. Kelompok penulis yang sudah
sedia menghasilkan karya bodoh juga tidak menanggung apa-apa kerugian kerana
walaupun jumlah penulis karya bodoh semakin bertambah, permintaan juga
bertambah. Malah permintaan bagi karya bodoh jauh melebihi penawaran.
Lalu siapa yang rugi?
Saya.
Tetapi ini tidak bermakna saya menulis karya bijak kerana terpaksa.
Sebaliknya adalah atas pilihan; pilihan bijak. Walaupun saya penulis, saya juga
seorang pembaca. Saya tidak mahu membaca karya bodoh yang memperbodohkan
pembaca. Saya memahami perasaan kelompok pembaca intelek. [Baca pula dua reaksi tentang
kenyataan saya — “Elak Hipokrasi Sastera Alaf Baru” dan “Wujudkah Karya Bodoh dalam Sastera Bahasa Malaysia?”]
Karya bodoh tidak akan berkurangan dalam pasaran. Biarkan. Peminat karya
bodoh ternyata menghadapi kesukaran memahami karya bijak. Biarkan. Apa gunanya
saya bercerita kepada mereka? Mereka hanyalah sebahagian daripada kelompok
manusia yang sekadar mahukan hiburan; memilih untuk membaca kisah remeh-temeh
dan separa porno dalam
majalah-majalah murahan yang langsung tidak mengharapkan penglibatan khalayak
yang mampu menggunakan otak.
Lebih baik saya bercerita kepada anda. Anda tentu tergolong dalam
kelompok yang sukakan karya bijak. Jika tidak, masakan anda sedang membaca
semua ini! [Lihat juga — Sebab Anda Perlu Membaca Karya Uthaya]
Terima kasih. Anda termasuk dalam target
audience bagi karya-karya saya.
[Prakata kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta (2001) dan juga kertas kerja Seminar
Kebangsaan Kesusasteraan di Malaysia anjuran Pusat Pengajian Ilmu
Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia pada 8 November 1998.]