Thursday, 19 May 2011

Cat

Kami tidak tahu mengapa kami menamakannya Cat. Mungkin kerana tidak pernah ada seekor pun kucing – setahu kami – dinamakan “Kucing” maka kami pun secara spontan menamakannya “Cat”.

Orang lain tidak boleh mempertikaikan mengapa kucing itu kami namakan Cat. Kalau seekor kucing kami namakan Dog atau Snake, orang dibolehkan mempersoalkan rasional di sebalik pemilihan nama seumpama itu. Tetapi, bukankah ada orang menamakan anjingnya Tiger? Lalu, apa salahnya seekor kucing dinamakan Cat?

Cat pandai. Dulu ada sebuah jabatan kerajaan membuat iklan kerja kosong bagi ketua jabatan. Khabarnya ketua-ketua terdahulu tua-tua belaka dan bersara tak sampai seminggu selepas memegang jawatan.

Jadi, kerajaan memutuskan untuk mencari ketua yang muda dan tahan lama bagi mengetuai jabatan berkenaan.

Lalu Cat membuat permohonan. Dia dipanggil temuduga. Penemuduga tidak ada alasan untuk menidakkan hak Cat memohon jawatan yang diiklankan.

Cat memenuhi setiap syarat dan kelayakan yang diperlukan oleh seorang ketua jabatan kerajaan. Malah kelayakan itulah, kata Cat, yang membuatkan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam memanggilnya untuk ditemuduga.

“Kami memerlukan calon yang menguasai lebih daripada dua bahasa asing,” kata penemuduga sambil membulatkan syarat yang sah terdapat pada iklan di akhbar.

Lalu Cat pun berpidato dalam bahasa Itali, Jerman, Perancis, Jepun dan Hindi. Cat bercakap tentang konsep Kinder, Kuche, Kirche – anak, dapur, gereja – yang dipraktikkan di Jerman semasa pemerintahan Adolf Hitler.

Anehnya keputusan temuduga – yang diterima tiga bulan kemudian – menunjukkan Cat gagal. Kononnya semasa Cat bercakap bahasa Itali, Jerman, Perancis, Jepun dan Hindi, bunyinya sama sahaja: miew-miew-miew.

Bodoh betul penemuduga itu. Bukankah kucing Itali berbunyi miew-miew-miew, kucing Jerman berbunyi miew-miew-miew, kucing Perancis berbunyi miew-miew-miew, kucing Jepun berbunyi miew-miew-miew dan kucing Hindi juga berbunyi miew-miew-miew?

* * * * *

Suatu hari, kami sama-sama menangkap Cat dan memasukkannya ke dalam sebuah balang kaca. Kemudian kami membeli setin cat. Kami tidak pasti cat warna apa. Jenamanya pun kami tidak ingat.

Tapi khabarnya cat yang kami beli itu dijamin tahan selama lima tahun. Kalau digunakan sejurus selepas pilihan raya, cat itu dijamin akan tahan sehingga pilihan raya seterusnya lima tahun kemudian.

Lalu, kami tuangkan cat itu ke dalam balang kaca berisi Cat. Kami biarkan Cat berendam dalam cat selama hampir sejam. Kemudian kami keluarkan. Tentulah Cat sudah berubah warna mengikut warna cat yang digunakan.

Cat memberitahu kami bahawa dia sebenarnya sudah mati. Tetapi dia masih hidup kerana, katanya, kucing ada sembilan nyawa.

Miew-miew-miew,” kata Cat.

Maksudnya: Bawa saya ke jabatan kerajaan - yang menolak permohonan saya - untuk menjadi ketua jabatan.

“Untuk apa?” Tanya salah seorang daripada kami.

Miew-miew-miew,” kata Cat.

Maksudnya: Jangan tanya!

Kami pun membawa Cat yang sudah berubah warna kerana direndam dalam cat, menuju ke jabatan kerajaan yang pernah menolak permohonannya untuk memegang jawatan ketua jabatan.

Cat minta ditemuduga sekali lagi. Wakil tertinggi dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dipanggil untuk datang menemuduga Cat.

Sepanjang temuduga, Cat tidak berkata apa-apa. Bermiew-miew-miew pun tidak. Sepuluh ditanya, kosong dijawab. Seratus disoal, kosong dijawab.

“Bagus! Ketua jabatan beginilah yang kami mahukan. Encik Cat masih punya lapan nyawa, bukan? Jadi, kerajaan melantik Encik Cat sebagai ketua jabatan sehingga Encik Cat mati – atau meninggal dunia – bagi kali kelapan,” penemuduga memutuskan.

Petikan di atas adalah daripada cerpen “Cat” yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (21 Disember 1997), antologi Vanakam (2002), kumpulan Rudra Avatara (2008) dan antologi Readings from Readings (2011).

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai cerpen ini. Saya menterjemah cerpen “Cat” ke Bahasa Inggeris dengan judul “The Painted Cat” bagi tujuan antologi Readings from Readings, tetapi penyelenggara memutuskan untuk menyiarkan versi asal dalam Bahasa Malaysia kerana “kesan”nya lebih menarik. Versi ringkas “The Painted Cat” saya kirim dan disiarkan di akhbar Selangor Times (21-23 Januari 2011).

Petikan cerpen “Cat” dibacakan pada majlis pelancaran Readings from Readings (25 Februari 2011), acara di Bangsar (5 April 2011), acara di MPH Midvalley (14 Mei 2011),  acara di MPH 1Utama (15 Mei 2011), acara di Konokuniya KLCC (17 Jun 2011) dan acara di Pavilion KL (19 Jun 2011). Petikan “The Painted Cat” pula dibacakan pada acara di MPH 1Utama (15 Mei 2011). Petikan cerpen ini turut dipersembahkan pada acara sempena Writers Unlimited Tour (11 dan 12 Jun 2011), Northern Writers, Ipoh (2 Julai 2011), Ubud Writers and Readers Festival (Oktober 2011) dan Makassar International Writers Festival (Jun 2012). Cerpen ini juga sering dipersembahan dalam pelbagai acara dan mendapat sambutan khalayak.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!