Dalam kejadian pada 12 April 2011, seorang guru wanita dikatakan memukul seorang pelajar lelaki sebanyak tiga kali pada bahagian paha kiri menggunakan kasut tumit tinggi.
Abang kepada pelajar itu berkata, sebaik mendapat panggilan telefon mengenai kejadian itu, dia bergegas ke sekolah menengah kebangsaan itu untuk bertemu pengetua bagi mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku.
“Hal ini berpunca daripada kelas adik saya terlalu bising dan cikgu tersebut telah mendenda adik saya berdiri atas kerusi bersama kawannya.
“Selepas adik saya berdiri atas kerusi, adik saya telah bercakap dengan kawannya. Cikgu yang terdengar perbualan adik saya bersama kawannya telah memukul adik saya menggunakan kasut,” katanya sambil merujuk kepada salinan laporan polis yang dibuat pada petang 12 April 2011.
Menurut pemuda itu, apabila dia bertemu pengetua, dia terkejut diberitahu bahawa pengetua dan guru wanita itu tidak sedar dan tidak tahu bahawa perbuatan memukul orang menggunakan kasut atau selipar adalah dianggap sensitif dan merupakan suatu penghinaan dalam kalangan kaum India.
“Sangat pelik kerana orang yang tidak berpelajaran pun tahu bahawa memukul orang dengan kasut atau selipar itu sensitif bagi semua masyarakat di Malaysia.
“Tetapi cara puan pengetua dan guru wanita itu pertahankan diri adalah seolah-olah perbuatan itu (memukul dengan kasut) hanya sensitif bagi orang India tetapi tidak menjadi masalah bagi orang Melayu, Cina dan sebagainya,” katanya ketika menghubungi blogger dan perunding media, Uthaya Sankar SB.
Menurutnya, pengetua itu sendiri menasihatkannya membuat laporan polis jika tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.
Pemuda itu juga berkata, dia sudah membawa kes itu untuk perhatian pihak berkenaan di peringkat daerah dan negeri pada April 2011.
“Saya diberitahu bahawa guru wanita itu memberi laporan mengatakan dia memukul dengan kasut biasa. Adik saya kata guru pukul dengan kasut tumit tinggi (highheels), jadi dalam laporan polis pun saya sebut kasut tumit tinggi.
“Malangnya, saya mendapat tahu bahawa siasatan kes itu tidak dapat diteruskan kerana fakta tidak sama, iaitu antara kasut tumit tinggi dan kasut biasa,” kata pemuda itu yang tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam.
Dia kini sudah membawa kes itu kepada perhatian pihak berkenaan di Putrajaya dan berharap siasatan yang telus dan segera akan dilakukan.