21 May 2011

PIBG Percaya Matlamat Dialog Tercapai

SHAH ALAM, 21 Mei 2011 – Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini yakin bahawa matlamat “Sesi Dialog dan Pemuafakatan” antara AJK PIBG bersama ibu bapa dan penjaga sekolah itu tercapai.

Anita Atan berkata, melalui sesi itu yang berlangsung di dewan sekolah petang tadi, ibu bapa sudah mendengar apa yang PIBG akan lakukan.


“Kami mahu ibu bapa memahami dan juga memberi kerjasama supaya perkara-perkara yang terjadi sebelum ini menjadi mengajaran untuk kita membaiki lagi apa-apa sahaja dari segi disiplin pelajar, pemuafakatan dan sebagainya,” katanya selepas mempengerusikan sesi itu yang bermula pukul 2:30 petang.


Sesi dialog itu diatur oleh PIBG dan dihadiri oleh lima daripada 15 AJK PIBG dan sekitar 50 ibu bapa dan penjaga.


Susulan pertemuan ini, Anita berkata, PIBG bercadang meneruskan dengan pelbagai aktiviti yang sudah dirancang untuk pelajar dan ibu bapa.


“Kami akan mengambil kira juga pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh wakil ibu bapa dalam pertemuan hari ini.


“Mana-mana cadangan dan rungutan yang ada kaitan dengan pengurusan sekolah, kami akan sampaikan kepada pengetua,” katanya yang mengakui bahawa barisan AJK PIBG pimpinannya masih “baru” kerana hanya memegang jawatan berikutan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG pada 27 Mac lalu.


Sementara itu, salah seorang wakil ibu bapa, Quah Saw Choon meluahkan rasa tidak puas hati kerana pengetua yang juga merupakan penasihat PIBG tidak menghadiri sesi dialog ini sedangkan kebanyakan isu yang ditimbulkan amat berkait dengan kelemahan beliau (pengetua) sebagai pentadbir.


“Kami sebagai ibu bapa tidak puas hati kerana orang penting yang sepatutnya hadir langsung tidak kelihatan. Kami juga hairan mengapa tidak seorang pun guru, termasuk mereka yang ada dalam AJK, hadir petang ini.


“Semasa Mesyuarat Agung PIBG untuk lantik Anita jadi YDP, semua guru hadir tetapi tidak seorang pun hadir hari ini untuk dengar apa yang ibu bapa mahu cakap mengenai hal-hal berkaitan pelajar,” katanya selepas sesi dialog berakhir pada pukul 3:50 petang.


Mengulas perkara sama, seorang bapa, Stephen Perumal berkata, ibu bapa dan penjaga yang hadir sangat kecewa kerana AJK PIBG tidak mampu memberi penerangan kepada pelbagai isu dan persoalan yang ditimbulkan oleh mereka.


“Tak guna buat dialog kalau PIBG tak mampu beri sebarang jawapan yang memuaskan. Sepatutnya pengetua yang merupakan penasihat PIBG, serta para guru perlu hadir kerana masalah yang dikemukakan ibu bapa ada kaitan dengan sekolah, pengetua, guru dan pelajar.


“Tapi nampaknya pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini terus bersikap lepas tangan dan YDP PIBG pula menjadi mengsa kerana tidak mampu menjawab pertanyaan ibu bapa,” katanya.


Stephen juga berharap satu lagi pertemuan diatur segera oleh PIBG dengan meminta pengetua hadir sebagai penasihat PIBG dan juga sebagai pentadbir sekolah untuk menjawab begitu banyak persoalan yang dikemukakan oleh ibu bapa.


Sesi dialog itu berakhir tanpa sebarang pemuafakatan apabila seorang wakil ibu bapa mencadangkan sesi hari ini batal, lalu majoriti hadirin turut meninggalkan dewan kerana tidak puas hati dengan hasil dialog yang diadakan.