Perkara pertama yang saya lakukan adalah merujuk Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (DBP: 1988) untuk mencari perkataan “Pandi Kutti”. Saya tahu makna frasa/perkataan itu dalam Bahasa Tamil tetapi saya juga teruja untuk mengetahui kalau-kalau ia sudah diterima pakai dalam konteks “bahasa Melayu, budaya Melayu” dengan konotasi yang berbeza.
Hal ini penting kerana portal rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia sudah menegaskan: “Sehubungan dengan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain”. [BACA DI SINI]
Maka, tentulah saya tidak mahu masuk campur urusan “bangsa Melayu” jika “Pandi Kutti” adalah sebahagian daripada “perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka”.
Terbukti bahawa “Pandi Kutti” bukan perkataan bahasa Melayu; sekali gus tidak termasuk dalam kerangka “hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain” seperti dicadangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Saya nyatakan demikian kerana Umno Online pada 9 Mei melaporkan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Datuk Dr Muhammad Yusoff Hussein sebagai berkata bahawa “tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘pandikutti’ atau anak babi adalah tindakan orang tidak berpelajaran”.
Turut dilaporkan bahawa “Islam melarang sama sekali perbuatan menggelar seseorang dengan panggilan yang mengaibkan” dan “Anwar sepatutnya tahu Islam melarang keras menggelar seseorang itu dengan panggilan yang tidak baik kerana ianya [sic] adalah satu penghinaan dan menjatuhkan maruah”. [BACA DI SINI]
Apa yang menarik, FMT pada 9 Mei melaporkan Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor sebagai berkata, “Anwarlah Pandi Kutti, bukan Perdana Menteri saya” pada sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur. [BACA DI SINI]
Umno Online pada 9 Mei pula melaporkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, “Cercaan Anwar yang melabel Perdana Menteri sebagai ‘pandikutti’ atau anak babi, sebagaimana yang dilapor oleh Free Malaysia Today pada 8 Mei lalu, adalah suatu yang biadap dan sangat kurang ajar” serta “ia menampakkah kejelekan serta kedudukan beliau (Anwar) yang kini amat terperosok dan tertekan dengan permasalahan peribadi serta perbalahan yang meledak sesama anggota pembangkang”. [BACA DI SINI]
Di sebalik segala “kekecohan” itu, Perdana Menteri pula dengan tenang mengatakan bahawa kata-kata yang diucapkan oleh Anwar “has not caused me to lose sleep” (Bernama, 10 Mei 2011 – BACA DI SINI).
Saya tidak mahu masuk campur dalam hal-hal dalaman mana-mana parti politik kerana bagi saya, parti-parti politik umpama sarkas yang seronok disaksikan dari luar; tetapi menjijikkan kalau kita masuk menyertai dan menjadi sebahagian daripadanya.
Sebaliknya, saya mahu mengekalkan sikap apolitikal dan meneliti secara ringkas isu “Pandi Kutti” dalam kerangka “Interlok” dan “Kamus Dewan” kerana amat sesuai dan wajar dengan konteks Malaysia.
Sudah terbukti bahawa isu “Pandi Kutti” tidak boleh dilihat dalam konteks “bangsa Melayu” dan “bahasa Melayu” kerana perkataan/frasa itu tidak (belum) terkandung dalam Kamus Dewan.
Sebaliknya ia adalah perkataan/frasa Bahasa Tamil dan “hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Tamil, dan bukan dari kaca mata bangsa lain” sebagai meminjam pendirian Kementerian Pelajaran Malaysia.
Saya merujuk “Kamus Bahasa Tamil – Bahasa Melayu – Bahasa Inggeris” (Fajar Bakti: 1998) dan mendapat pengesahan bahawa “Pandi” (panri) adalah “sejenis binatang” iaitu “babi” atau “pig”. Maka, “Pandi Kutti” bermakna “anak babi” atau “piglet”.
Ternyata tidak ada apa-apa unsur penghinaan dalam frasa “Pandi Kutti”. Malah, kedengaran “manja” dan “mesra” apabila diucapkan oleh dua individu yang rapat – atau pernah rapat seperti bersaudara.
Untuk berlaku adil, saya menggunakan “Pandi Kutti” dan bukannya “pandi kutti” kerana saya masih ingat akan pelbagai hujah yang digunakan (antara lain) oleh Datuk Zainal Abidin Borhan dari Gapena, Profesor Teo Kok Seong dari UKM dan Raja Rajeswari Seetha Raman dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu. [BACA DI SINI]
Dalam mempertahankan novel Interlok Edisi Murid (DBP: 2010), mereka mengatakan bahawa penggunaan perkataan “P****” adalah tindakan memuliakan kaum India kerana menggunakan huruf besar “P”, sekali gus menjadikannya ‘kata nama khas’ dan bukannya ‘kata nama am’.
Dalam konteks ini, sedangkan perkataan “P****” boleh diterima dengan gembira – serta dipertahankan bermati-matian oleh kelompok akademik, persatuan penulis dan NGO – saya tidak nampak mengapa panggilan manja “Pandi Kutti” oleh Anwar kepada Najib dianggap menyentuh sensitif.
Jangan kita lupa (atau buat-buat lupa) bahasa Anwar tidak memanggil seluruh kaum dengan panggilan “manja dan mulia” itu tetapi khusus kepada seorang individu yang (pernah) rapat dengannya.
Bagi Khairy yang melihat penggunaan frasa “Pandi Kutti” sebagai “kejelekan” amat wajar segera bertemu Presiden Pena, Mohamed Saleeh Rahamad untuk memenangkan fikiran.
Dalam isu Interlok Edisi Murid, pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya itu berpendirian bahawa “Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting” (Berita Harian, 20 Disember 2010 – BACA DI SINI).
Berbalik kepada pandangan Datuk Dr Muhammad Yusoff (Umno Online, 9 Mei 2011) yang menegaskan bahawa “Islam melarang sama sekali perbuatan menggelar seseorang dengan panggilan yang mengaibkan” dan “sepatutnya tahu Islam melarang keras menggelar seseorang itu dengan panggilan yang tidak baik kerana ianya [sic] adalah satu penghinaan dan menjatuhkan maruah”.
Betapa baik jika beliau telah tampil mengeluarkan pandangan dan hujah yang sama sebaik kontroversi novel Interlok Edisi Murid bermula pada akhir Disember 2010 untuk menyedarkan orang ramai bahawa “Islam melarang sama sekali perbuatan menggelar seseorang dengan panggilan yang mengaibkan”.
(© Uthaya Sankar SB 2011. Pandangan ini disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 16 Mei 2011 sebelum didokumentasikan di blog ini pada 22 Mei 2011.)