Tarikh 13 Mei 2011 mungkin tidak bermula dengan terlalu baik bagi saya (dan ramai blogger) kerana Blogger sedang diselenggara dan saya tidak dapat memblog sejak awal pagi.
Bagaimanapun, jangan risau, apa yang berlaku tiada sebarang kaitan dengan apa-apa bentuk rusuhan kaum – sama ada ulangan daripada apa yang berlaku pada tahun 1969, atau disebabkan benih-benih perkauman yang ditanam dan dibajai secara berterusan oleh pihak tertentu demi manipulasi politik murahan.
Suatu lagi kelainan adalah bahawa sebuah akhbar arus perdana “lari” daripada kebiasaan kerana tidak menyiarkan iklan berbayar Zubedy (M) Sdn Berhad yang bertemakan perpaduan. Sayang seribu kali sayang kerana iklan itu membawa mesej perpaduan, persefahaman dan tolak-ansur antara kaum/agama.
Pada pagi tarikh keramat itu – atau tarikh yang dianggap “titik hitam” – saya membaca buku Can We Use Allah in the Bible? A Quranic Perspective tulisan Anas Zubedy. Charis Ding mengirim senaskhah buku itu melalui Firdaus ke pejabat Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 12 Mei dan saya sengaja memilih untuk membuka sampul pada tarikh keramat ini. [Topik berkaitan: Allah]
Apabila saya ke Pejabat Pos Taman Sri Muda untuk membaharui cukai jalan kereta, saya sempat bertemu beberapa penduduk pelbagai kaum yang turut datang berurusan di sana. Malah, kakitangan pejabat pos juga tersenyum mesra dan mengucapkan “terima kasih” sekurang-kurangnya dua kali! Ringkasnya, tiada apa-apa bibit perkauman dalam kalangan masyarakat.
Dari pukul 12:00 tengah hari hingga 1:30 petang, saya duduk di sebuah restoran India Muslim di Taman Sri Muda, Shah Alam sambil makan-minum dan menyemak draf tesis seorang calon ijazah sarjana sastera sebuah universiti tempatan.
Sekali lagi, saya disapa beberapa penduduk pelbagai kaum yang mula mengenali saya sejak saya menjadi “perunding media” kepada sekumpulan ibu bapa yang meminta nasihat berikutan pelbagai kes melibatkan pengetua sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam. Tiada bibit-bibit perkauman.
Selepas menghantar anak ke sekolah, saya ke The Summit USJ untuk minum teh tarik dan limau ais di sebuah kedai mamak di sana sempena pengisian program “May 13: Malaysian Interracial Hook-up Day” yang dicetuskan oleh Nadia Ali, Ksatriya Words dan U-Jean Ch’ng menerusi laman rangkaian sosial Facebook.
Saya dikunjungi Firdaus dari Zubedy (M) Sdn Bhd yang datang khusus untuk menyerahkan senaskhah buku Allah dalam Bible, Boleh atau Tidak? Satu Sudut al-Quran (terjemahan oleh Bhuvanes Krishnasamy) yang baru siap pada pagi berkenaan.
Saya juga bertemu Adam Farhan, seorang pemuda dari Taman Sri Muda yang pertama kali saya temui semasa kami sama-sama hadir mengambil foto perhimpunan aman di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam pada 11 Mei.
Kami berbual-bual tentang beberapa perkara; termasuk api perkauman yang secara terang-terangan disemarakkan pihak tertentu pada pelbagai peringkat dan sekolah juga tidak terkecuali.
Seterusnya saya meneruskan pembacaan buku Anas dalam dua bahasa. Apa yang menarik adalah bahawa beliau mementingkan aspek empati (bukan simpati) dalam menangani pelbagai isu. Saya amat bersetuju kerana itulah juga yang selalu saya tekankan.
Anas juga mengingatkan, “Jangan sampai kita asyik berbalah mengenai penggunaan istilah ‘Allah’ tetapi kita lupakan Allah”. Ini, bagi saya, suatu peringatan dan amaran yang amat penting dan perlu sebelum isu penggunaan kalimah “Allah” terus terbabas dari landasan sebenar.
Benar kata Anas! Kita sering mendengar hujah, cadangan, komen dan pandangan berdasarkan sudut ‘Melayu’ dan ‘Islam’ sehingga kita terlupa (atau buat-buat lupa?) bahawa asas bagi Islam adalah al-Quran.
Pembacaan Bab 2 dalam buku setebal 120 halaman (atau 104 halaman bagi versi Bahasa Inggeris) amat menarik kerana setiap hujah, pandangan, komen dan idea yang dikemukakan adalah berpandukan al-Quran.
Walaupun buku ini secara khusus membicarakan topik penggunaan kalimah “Allah” dalam Bible (Alkitab), namun kerangka yang digunakan oleh Anas untuk membicarakan topik sensitif ini secara separa ilmiah serta menggabungkan unsur empati, perpaduan, kemanusiaan, persefahaman dan persaudaraan amat wajar dijadikan panduan bagi membuka laluan ke arah meleraikan pelbagai isu yang terus “menghalang” pembinaan Bangsa Malaysia yang diimpikan.
Selepas meluangkan masa di The Summit USJ bertemu beberapa lagi individu pelbagai kaum untuk berbual secara terbuka tanpa sebarang insiden “perkauman” atau “rusuhan”, saya menuju ke Restoran Sri Pandi berdekatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Di sana, saya ada temu janji bersama Devaraj P Thangaraju untuk berbincang secara terbuka tentang pelbagai topik “di bawah bulan dan matahari”. Kupasan yang dilakukan – khususnya mengenai Peristiwa 13 Mei dan isu-isu semasa yang cuba membinasakan perpaduan – memang menarik dan penting.
Perbincangan kami selama hampir dua jam mengenai topik “isu agama yang dimanipulasi pihak tertentu untuk kepentingan politik perkauman” turut disertai pengunjung restoran berkenaan. Sekali lagi, perbincangan berlangsung dalam suasana muhibah dan semangat positif ke arah pembinaan Bangsa Malaysia yang diimpikan.
Pada pukul 8:00 malam, saya berada di sebuah restoran Cina di Taman Sri Muda, Shah Alam untuk bertemu beberapa ibu bapa dan pelajar yang mahu mendapatkan nasihat mengenai anak (pelajar itu) yang menjadi mangsa buli dan dibelasah dalam suatu insiden di sekolah.
Berkali-kali si ibu berkata bahawa beliau boleh sahaja menukar anaknya ke sekolah lain tetapi beliau risau memikirkan nasib para pelajar pelbagai kaum di sekolah itu berikutan sikap lepas tangan pengetua terbabit dalam beberapa kes sejak empat tahun lalu.
Kesemua perbincangan dan pertemuan saya sepanjang 13 Mei 2011 ada hubung kait dengan topik perpaduan serta menyentuh pelbagai isu sensitif yang berjaya dibincangkan secara terbuka sebagai manusia pelbagai kaum/agama yang matang dan rasional. Tanpa campur tangan orang politik yang sentiasa mahu mengawal pemikiran rakyat.
Dalam pada itu, Blogger hanya pulih sepenuhnya menjelang pukul 1:00 pagi (14 Mei) dan saya kembali memblog. Ringkasnya, tarikh 13 Mei yang sering “digunakan” untuk menakut-nakutkan orang, kini sudah berubah menjadi tarikh yang “membantu” mengukuhkan perpaduan.
(© Uthaya Sankar SB 2011. Pandangan ini disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 16 Mei 2011 sebelum didokumentasikan di blog ini pada 23 Mei 2011.)