Bagi tujuan antologi berkenaan, saya sebenarnya telah menterjemah cerpen “Cat” ke Bahasa Inggeris dengan judul “The Painted Cat”. Bagaimanapun, penyelenggara memutuskan untuk memuatkan cerpen dalam versi asal (Bahasa Malaysia) dalam antologi Readings from Readings kerana kesannya lebih mendalam berbanding versi terjemahan (Bahasa Inggeris).
Cerpen “Cat” bukan karya baru kerana ia pertama kali disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 21 Disember 1997 serta dimuatkan juga dalam antologi Vanakam (2002) dan kumpulan Rudra Avatara (2008).
Cerpen “Cat2” yang merupakan sambungan kepada “Cat” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 11 Mei 2003 dan terkandung juga dalam Rudra Avatara. Sila KLIK DI SINI untuk sedikit catatan mengenainya.
Versi ringkas “The Painted Cat” pula disiarkan di akhbar Selangor Times (21-23 Januari 2011) selepas Amir Muhammad memperkenalkan akhbar itu kepada saya pada akhir 2010.
Berbalik pada acara “Readings from Readings from Readings” pula, saya membaca petikan cerpen “Cat” pada majlis pelancaran Readings from Readings pada 25 Februari 2011. Ternyata cerpen itu mendapat sambutan hangat walaupun hadirin terdiri daripada kelompok pelbagai kaum, etnik, bangsa, agama, bahasa dan latar belakang.
Saya juga membaca petikan cerpen “Cat” bersama-sama petikan faksyen “Wanita Farsa” pada acara di Bangsar pada 5 April 2011 dan acara di MPH MidValley pada 14 Mei 2011. Kedua-duanya mendapat sambutan dan reaksi positif daripada hadirin.
Manakala bagi acara di MPH 1Utama pada 15 Mei 2011, saya membaca petikan cerpen “The Painted Cat” (Bahasa Inggeris) dan “Cat” (Bahasa Malaysia).
Saya amat gembira kerana sebuah cerpen “lama” (1997) masih mendapat sambutan. Mungkin kerana “kisah” yang terkandung di dalamnya masih relevan dengan situasi di Malaysia.
Petikan “Cat”, “The Painted Cat” dan “Wanita Farsa” juga dijangka akan dibaca apabila saya menyertai Writers Unlimited Tour di Kuala Lumpur pada 10-12 Jun 2011.
Program berprestij itu yang membawa tema “Writing the Truth: Fact or Fiction” akan turut menampilkan Dain Said (Malaysia), Kee Thuan Chye (Malaysia), Chuah Guat Eng (Malaysia), Dipika Mukherjee (India/Malaysia/Amerika Syarikat), Abeer Soliman (Mesir), Rodaan Al Galidi (Iraq/Belanda), Gunduz Vassaf (Turki) dan Maaza Mengiste (Ethiopia/Amerika Syarikat).