24 May 2011

Ibu Bapa Hairan Belum Ada Tindakan

SHAH ALAM – Lebih 700 ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini hairan mengapa Kementerian Pelajaran masih belum melakukan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pengetua sekolah itu yang terbukti melakukan pelbagai kesalahan sejak hampir empat tahun lalu.

Kumpulan itu telah mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan sekolah berkenaan pada 25 April 2011 bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengetua itu yang bersikap lepas tangan terhadap beberapa kes melibatkan pelajar.


“Kami sudah menyerahkan surat aduan rasmi dan petisyen yang ditandatangani lebih 700 orang kepada pejabat Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor dan Pegawai Pelajaran Daerah pada awal Mei tetapi belum ada sebarang tindakan diambil,” kata Kia Ooi Meng, wakil ibu bapa ketika ditemui di Taman Sri Muda, di sini.


Kumpulan ibu bapa dan penjaga itu mengadakan pertemuan di sebuah restoran pada malam 23 Mei untuk membincangkan isu membabitkan pengetua, guru, sekolah dan PIBG berikutan apa yang mereka sifatkan sebagai “kegagalan sesi dialog dan pemuafakatan anjuran PIBG” pada 21 Mei lalu.


“Hampir 50 wakil ibu bapa dan penjaga menghadiri sesi dialog anjuran PIBG walaupun surat diberi pada saat akhir, malangnya pengetua dan guru langsung tidak hadir untuk berdialog.


“Jadi, kami tidak berpeluang mengemukakan soalan dan mendapat jawapan secara langsung daripada pengetua yang menjadi punca segala masalah di sekolah ini,” kata Stephen Perumal yang juga merupakan bekas AJK PIBG sekolah itu.


Kumpulan ibu bapa itu juga mengadakan perhimpunan aman kali kedua pada 11 Mei lalu untuk meminta pengetua itu ditukar segera tetapi terpaksa bersurai dalam masa tidak sampai lima minit atas nasihat polis.


“Kalau Kementerian Pelajaran masih tidak mampu bertindak, kami mungkin terpaksa menghantar laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan boleh dilakukan dari sudut lain terhadap pengetua itu.


“Kami ada beberapa bukti tetapi kami simpan dulu dan lihat dalam masa seminggu jika kementerian mengambil apa-apa tindakan,” kata seorang lagi wakil ibu bapa, Quah Saw Choon tanpa mahu mendedahkan maklumat lanjut mengenai bukti-bukti yang dimaksudkan.