24 May 2011

Ibu Bapa Mahu Dialog Dengan Pengetua

SHAH ALAM – Ibu bapa dan penjaga mahu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini mengadakan satu lagi sesi dialog dan pemuafakatan berikutan kegagalan sesi dialog yang diadakan pada 21 Mei lalu.

Wakil ibu bapa, Tamil Chelvi berkata, lima AJK PIBG yang menghadiri sesi dialog itu tidak mampu menjawab pelbagai persoalan dan pertanyaan yang dibangkitkan oleh ibu bapa berikutan kekecewaan mereka terhadap pengetua selaku pentadbir sekolah.


“Tentu tidak adil untuk AJK PIBG memikul tanggungjawab dan terpaksa menjawab soalan-soalan yang tidak ada kaitan dengan mereka, tetapi malangnya puan pengetua yang juga penasihat PIBG tidak hadir.


“Sepatutnya, berikutan pelbagai insiden yang berlaku sejak 12 April lalu, pengetua sedar bahawa kebanyakan ibu bapa dan penjaga mahu mendapatkan penjelasan daripada beliau (pengetua),” katanya selepas pertemuan sekumpulan ibu bapa di sebuah restoran di Taman Sri Muda, di sini, pada 23 Mei 2011.


Menurutnya, Yang Dipertua (YDP) PIBG sendiri mengakui bahawa barisan jawatankuasa baru yang dipilih pada 27 Mac lalu “masih baru dan sedang belajar” memikul tugas.


“Rata-rata ibu bapa yang hadir dan tidak dapat hadir pada sesi dialog lalu mahu supaya satu lagi sesi diadakan di mana pengetua dan para guru turut diminta hadir; itu baru sesi dialog dan pemuafakatan yang sebenar bagi menyelesaikan masalah.


“Kami juga meminta PIBG menyerahkan surat undangan lebih awal supaya ibu bapa dan penjaga boleh mengambil cuti atau menguruskan masa untuk hadir beramai-ramai,” kata seorang bapa, S. Gopalan.


Sesi dialog dan pemuafakatan yang diadakan pada 21 Mei lalu hanya dihadiri sekitar 50 ibu bapa kerana surat undangan hanya diserahkan melalui anak-anak (pelajar) pada 19 Mei. Hanya lima daripada 15 AJK PIBG hadir, manakala pengetua dan guru-guru tidak hadir.


Dalam perkembangan berkaitan, saya selaku perunding media menghubungi YDP PIBG berkenaan untuk bertanya adakah PIBG akan mengadakan dialog susulan dengan kehadiran pengetua seperti diharapkan ibu bapa.


Sambil meminta pandangan saya dalam soal itu, YDP juga tertanya-tanya adakah dengan kehadiran pengetua pada sesi dialog itu nanti “dapat menyelesaikan masalah dan memuaskan hati ibu bapa”.


Bagi ibu bapa dan penjaga pula, selagi pengetua tidak hadir pada sesi dialog, selagi itulah jawapan bagi pertanyaan itu tidak akan diketahui.


“Sebagai seorang pengetua yang bertanggungjawab dan berwibawa, kami harap beliau akan hadir semasa sesi dialog itu nanti,” kata Tamil Chelvi dengan penuh harapan.