Saya bersetuju menyumbangkan karya bagi buku yang sedang diselenggarakannya. Selain menyokong usaha Sharon Bakar, saya juga mahu karya saya sampai kepada khalayak yang tidak tahu Bahasa Malaysia.
Selepas berfikir, saya memutuskan untuk menterjemah cerpen “Cat” yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 21 Disember 1997 – “era” orang ramai hampir pasti siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.
Cerpen “Cat” juga dimuatkan dalam Vanakam (2002) dan Rudra Avatara (2008) – “era” selepas pelbagai perkara “menarik” berlaku dalam arena politik tanah air.
Saya melakukan proses penterjemahan “Cat” pada waktu malam 31 Januari dan 1 Februari 2010 – hari terakhir saya sebagai kakitangan Jabatan Penyiaran (RTM) dan hari pertama saya sebagai anggota keluarga Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
Judul yang saya berikan adalah “The Painted Cat” dan saya amat suka dengan pilihan itu. Cerpen “The Painted Cat” dikirim melalui e-mel kepada Sharon Bakar pada 2 Februari 2010 untuk dinilai bagi buku yang sedang diselenggarakannya.
Pada 30 Ogos 2002, saya menterjemah cerpen “Sang Penulis” (Mingguan Watan, 11 Jun 1995 dan Siru Kambam, 1996) kepada “The Writer” tetapi tidak dikirim ke mana-mana.
Cerpen “Nayagi” (Menara 5, 1993 dan Nayagi, 2000) pernah diterjemah oleh orang lain sebagai “Nayagi, Mistress of Destiny” (Sea of Rainbows, 2009) dan “Yang Aneh-aneh” (Dewan Sastera, Mei 1996 dan Sasterawan Pulau Cinta, 2001) diterjemah sebagai “Strange Things” (In the Shadow of the Palm, 2009).
Saya akan berusaha menterjemah semula “Nayagi” dan “Yang Aneh-aneh” ke Bahasa Inggeris kerana kecewa dengan “Nayagi, Mistress of Destiny” dan “Strange Things”.