Sunday, 11 May 2003

Cat2

Pada kali terakhir saya menceritakan kisah mengenai Cat, arena politik di tempat saya bergolak. Cat pula dibakar hidup-hidup oleh keluarga yang memeliharanya sejak kecil. Jadi, pada kali ini, saya perlu berwaspada apabila menyalurkan manuskrip ini kepada saudara.

“Apa yang perlu dirisaukan? Bukankah kucing itu sudah mati?” kata rakan sasterawan dari Pulau Cinta sewaktu kami bertemu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

“Oh, tidak! Cat bukan kucing biasa seperti yang disangka. Apakah kau sudah lupa bahawa ia pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan serta menjadi pemimpin yang disegani dalam masyarakat? Malah, Cat pernah bercita-cita mahu menjadi pemimpin tertinggi di negara aku,” saya mengingatkan.

“Ya, walau apa pun kelebihan dan keistimewaan kucing itu, ia sudah menjadi sejarah sekarang,” bidas rakan saya apabila merasakan kebimbangan dalam suara saya. “Bukankah kucing yang cuba menjadi pemimpin itu sudah dimusnahkan oleh keluarga yang memeliharanya?”

Laporan akhbar mengenai tragedi yang menimpa Cat masih segar dalam ingatan saya. Ia cepat belajar untuk menjadi lelaki sejati: kuat, tidak ada sifat lembut dan kewanitaan, memilih permainan yang agresif, mampu mengarahkan kaum wanita menurut segala arahannya, tidak memiliki emosi, tidak suka memeluk dan dipeluk, serta semakin bercita-cita menjadi pemimpin negara.

Namun, pada waktu Cat disebut-sebut sebagai bakal menjadi pemimpin tertinggi, pada waktu itulah tiba-tiba tragedi menimpa. Cat dilaporkan terkorban dalam kebakaran rumah. Keluarga yang memeliharanya juga dikatakan turut terkorban. Atau jika terselamat, tidak diketahui di mana mereka berada.

Tidak diketahui di mana mereka berada?

Saya tahu di mana mereka berada. Si ayah dan si emak sudah meninggal dunia. Anak-anak perempuan sudah berkeluarga. Anak-anak lelaki juga sudah memulakan hidup baru. Cuma tinggal saya yang belum memikirkan soal berumah tangga.
.
(Petikan cerpen "Cat2" yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia, 11 Mei 2003 dan dimuatkan dalam buku Rudra Avatara, 2008)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!