[Ini adalah permulaan faksyen (fakta + fiksyen) mengenai Pulau Cinta; 14 bahagian yang saling berurutan dan saling berkaitan mengenai kisah yang berlaku di pulau tersebut.]Wanita Farsa tergesa-gesa membetulkan rambutnya. Dia kurang berpuas hati dengan hasil kerja pendandan istana.
“Oh, menyakitkan mata! Lihat betapa buruk gaya rambut saya. Bagaimana saya boleh menghadiri persidangan dengan rambut buruk seperti ini?” Jerkahnya ke arah tukang dandan rambut yang menikus di penjuru bilik.
Sementara itu, Rosemari, pembantu istana keturunan Malayali, cuba menahan ketawa yang lahir secara spontan tatkala mendengar kata-kata Wanita Farsa.
“Rupa-rupanya kau sedar juga gaya rambut kau amat buruk,” fikirnya dalam diam. “Kalau memang sudah sedia buruk, macam mana mahu dicantikkan?”
Wanita Farsa sedang menyelongkar almari khas yang menempatkan puluhan rambut palsu miliknya; kesemuanya didatangkan khas dari Benua Kecil India sejak istana ini menjadi miliknya.
“Ah, bukan milik aku tetapi milik suami aku,” detik hatinya apabila teringat akan hakikat itu. “Namun, apa yang menjadi milik suamiku adalah sebenarnya milikku kerana aku yang berhak menikmati segala kemewahan ini sementara suamiku terpaksa mentadbir negara ini yang tidak menjanjikan masa depan.”
Wanita Farsa mengeluarkan salah satu rambut palsu – walaupun kesemuanya adalah sama dan serupa – lalu menghulurkannya kepada Rosemari. Si tukang dandan istana cuba mendekati tetapi segera disergah.
“Biar Rosemari uruskan! Awak boleh keluar!”
Rosemari menyambut rambut palsu yang dibaling itu sementara pendandan rambut berkenaan melangkah keluar dengan penuh rasa syukur.
“Cepat, uruskan rambut saya. Saya perlu segera berangkat menyertai Persidangan Wanita Pertama,” arahnya sambil tersenyum angkuh sambil duduk di kerusi di hadapan meja solek.
Rosemari cuba membuka mulut untuk berkata sesuatu tetapi segera menutupnya kerana tidak mahu ditampar seperti pagi tadi. Namun, Wanita Farsa ternampak bibirnya bergerak pada imej di cermin.
“Kenapa?” Tanya Wanita Farsa sambil memandang wajah Rosemari pada permukaan cermin.
Pembantu istana keturunan Malayali itu teragak-agak sementara tangannya tekun memasang rambut palsu pada kepala Wanita Farsa yang berambut jarang.
“Kenapa?!”
“Seperti yang saya katakan pagi tadi,” kata Rosemari sambil secara spontan memegang pipi kirinya yang masih merah. “Isteri Perdana Menteri Pulau Cinta tiada dalam senarai tetamu undangan.”
“Mana boleh!” Sergah Wanita Farsa sambil tangkas berdiri. “Isteri kepada begitu ramai pemimpin seluruh dunia diundang, masakan nama saya tiada dalam senarai.”
Rosemari berundur beberapa langkah bagi memastikan dia tidak menjadi mangsa amarah Wanita Farsa.
“Benar,” katanya selepas berada pada jarak selamat. “Malah, khabarnya hanya beberapa tetamu dari negara-negara Afrika yang menghadiri persidangan itu.”
“Itu bukan soalnya! Soalnya: Mengapa saya tidak diundang?”
Rosemari tangkas menahan dirinya daripada menjawab soalan yang sering dikemukakan sejak beberapa hari lalu.
“Sebab kau bukan Wanita Pertama,” bisik Rosemari tanpa suara.
Tanpa menunggu – mahu pun mengharapkan – sebarang jawapan, Wanita Farsa tergesa-gesa keluar menuju ke helikopter yang sudah menanti di luar istana sejak dua jam lalu. – Bersambung DI SINI
0 komen:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!