Wednesday, 22 December 2010

Walaupun Menjelekkan ...

“Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting, sekali gus mendaulatkan perpaduan kaum yang bersesuaian sebagai pemangkin perpaduan di kalangan pelajar.”

Demikian alasan logik yang boleh saya berikan, sebagai tambahan kepada alasan logik terdahulu [BACA DI SINI], sekiranya ada pihak yang mempertikaikan unsur faksyen dalam “Pulau Pendatang”, “Anak-anak Pulau Cinta” dan siri kisah “Wanita Farsa” (sekadar contoh) yang disiarkan di blog saya.


Pandangan “Biarpun ada unsur kejelekan ...” di atas adalah hujah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamed Saleeh Rahamad yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM) semasa mempertahankan novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Husain.


Pandangan itu disiarkan di akhbar Berita Harian pada 20 Disember 2010 berikutan pengumuman Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA), Datuk T Murugiah pada 15 Disember 2010 bahawa novel berkenaan ditarik balik serta-merta daripada dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri membuat pengumuman rasmi itu selepas mendapat persetujuan Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman. [BACA JUGA DI SINI]


Apa pun keputusan “rasmi” yang dibuat, saya mendapat tahu pada pagi 20 Disember 2010 bahawa buku teks Interlok (edisi pelajar) sudah mula diedarkan kepada pelajar di sekolah masing-masing. [SINOPSIS DI SINI]


Dari satu segi, bagus juga kerana kini semua orang – khususnya ibu bapa – boleh turut membaca novel berkenaan untuk melakukan penilaian sendiri terhadap karya itu. Saya juga akan cuba meminjam teks itu daripada salah seorang pelajar.


Dua "fakta" menarik mengenai kaum India di Malaysia seperti dipaparkan dalam novel Interlok (edisi murid) adalah:


1) Pendatang India yang menaiki sebuah kapal laut dan datang ke Tanah Melayu pada 1910 adalah daripada kasta yang sama, iaitu paria. Untuk makluman, "paria" merujuk kepada golongan outcaste; atau anak haram.


2) Semasa upacara perkahwinan watak kaum India beragama Hindu, mereka menyembah Dewa Kama, iaitu dewa nafsu. Saya tidak tahu kewujudan mazhab seperti itu! Mungkinkah pengaruh tempatan?


Demikian dua "fakta" yang dimaklumkan Puan Raja Rajeswari, seorang ibu dari Kepong sebaik beliau selesai membaca novel (edisi murid) milik anaknya pada 21 Disember 2010.


Dari satu segi, saya tidak terkejut apabila “arahan penarikan balik serta-merta” seperti diumumkan pada 15 Disember 2010 tidak dipatuhi dan tidak akan dipatuhi. Jangan bermimpilah sebuah karya yang sekadar “menghina kaum Melayu dan kaum India, serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India” (memetik kata-kata Puan Raja Rajeswari) benar-benar ditarik balik!


Jangan lupa: “Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting, sekali gus mendaulatkan perpaduan kaum yang bersesuaian sebagai pemangkin perpaduan di kalangan pelajar.” Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan semangat 1Malaysia.


Maka, sepatutnya, begitulah juga pelbagai karya lain yang dikatakan kononnya menyentuh sensitiviti kaum/agama tertentu yang sesungguhnya terlalu sensitif dan tidak boleh disentuh langsung. Selamat membaca dengan semangat 1Malaysia!


Catatan: Dapatkan koleksi lengkap berhubung isu ini DI SINI.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!