25 Dec 2010

Penarikan Interlok keputusan bersama: Murugiah

KUALA LUMPUR - Penarikan buku teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Malaysia (Komsas) Tingkatan Lima bertajuk Interlok yang didakwa mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India, dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah berkata, Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan mengenai beberapa perkataan sensitif dalam buku itu, dan selaku Pengerusi BPA, beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil.
.
“Saya sebagai Timbalan Menteri, memanggil Kementerian Pelajaran, DBP serta semua yang berkaitan hadir dan berbincang, dan kami telah membuat keputusan secara musyawarah.
.
“Saya tidak boleh memberi sebarang keputusan, cuma saya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil, dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan itu adalah Kementerian Pelajaran,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, pada 20 Disember 2010, sebagai mengulas surat pembaca yang tersiar di sebuah akhbar berhubung pengumumannya mengenai penarikan buku itu pada 15 Disember 2010.
.
Pembaca berkenaan menyifatkan tindakan Murugiah sebagai melatah dan berpendapat pengumuman tersebut sepatutnya dilakukan Kementerian Pelajaran. [BACA JUGA DI SINI]
.
Murugiah berkata, isu penarikan buku itu telah disalah tafsir dan berharap ia tidak terus diperbesarkan kerana bimbang mencetuskan masalah.
.
“Orang salah tafsir benda ini, sebab itu saya mahu jelaskan. Penulis surat itu berkata, dia menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalamannya, saya faham, tapi ini bukan buku sejarah, ini buku sastera.
.
“Apabila buku sastera, boleh tukar istilah, atas dasar itu kita cadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan terpulang kepadanya, kalau mahu kekalkan pun boleh, tapi mereka ambil cadangan BPA untuk tarik balik novel edisi pelajar itu daripada dijadikan teks Komsas,” katanya. – Bernama (Sinar Harian, 21 Disember 2010)