Tuesday, 15 June 2010

Panduan Menulis Intro Cerpen: Bahagian Satu

Di sini saya mahu menceritakan apa yang benar-benar berlaku enam tahun lalu. Tahun 1995. Waktu itu saya belum bergelar sasterawan. Saya masih seorang pelajar. Seorang pelajar yang bercita-cita menjadi penulis. Maka kedatangan Datuk ke kampung kami seharusnya merupakan suatu anugerah besar.
.

Mungkin anda begitu berminat untuk mengetahui pengalaman yang bakal diceritakan. Tetapi sebenarnya, apa yang baru sahaja anda baca adalah perenggan pertama atau intro bagi cerpen “Datuk Datang Ke Kampung Kami” (Dewan Sastera, Februari 1997).

.

Bukankah anda begitu yakin dengan pengalaman yang mahu diceritakan oleh watak ‘Saya’ dalam intro tadi? Hal ini mungkin kerana memang begitulah naluri manusia. Kita mahu mendengar suatu cerita yang menggemparkan atau berciri rahsia.

.

Intro tadi terbukti berkesan dalam mengundang rasa ingin tahu pembaca. Jadi, ia berjaya memukau pembaca untuk meneruskan pembacaan. Apatah lagi apabila ia diceritakan oleh watak ‘Saya’ dengan gaya yang meyakinkan.

.

Jadi, setakat ini anda sudah tahu sekurang-kurangnya dua petua bagi menghasilkan intro yang memukau pembaca. Pertama, mengundang rasa ingin tahu. Kedua, meyakinkan pembaca.

.

Pada masa yang sama, intro tadi juga menampilkan suatu unsur percanggahan. Unsur itu melibatkan sedikit kerja matematik yang mudah. Dapatkah anda mengesannya?

.

Watak ‘Saya’ mahu menceritakan sesuatu yang terjadi enam tahun terdahulu, iaitu pada tahun 1995. Hal ini bermakna, ‘Saya’ sedang bercerita pada tahun 2001, iaitu pada masa akan datang. Anehnya, cerpen itu sudah pun ditulis dan disiarkan pada tahun 1997.

.

Jadi, intro cerpen “Datuk Datang Ke Kampung Kami” memasukkan unsur parodi. Penulis – saya – sengaja menampilkan latar masa yang tidak logik pada pemikiran realiti.

.

Corak penulisan intro yang beginilah yang membezakan antara penulis karya konvensional dengan penulis karya kontemporari. Gaya penulisan intro yang memiliki tempo bercerita yang lambat kurang memikat pembaca.

.

Pembaca mahu terus mengetahui cerita, konflik dan aksi dalam cerpen yang dibaca. Mereka tidak mahu tahu tentang pohon kelapa melambai-lambai atau angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

.

Namun begitu, masih ada penulis yang mengekalkan gaya intro konvensional. Dan masih tetap ada peminat bagi gaya seperti itu. Cuba teliti intro cerpen “Sidang Kebingungan” (Menara 6, DBP: 1995) ini:

.

Tiba-tiba sahaja hujan turun sewaktu matahari senja sedang bersinar cerah. Mendung yang tadinya tidak sedikit pun terbayang di kaki langit, kini menitiskan butir-butir hujan membasahi muka bumi. Cantuman sinar cahaya dengan rembesan hujan yang tidak sempurna itu menerbitkan garis-garis pelangi yang terbentang melintang kaki langit.

.

Pembaca mungkin mengharapkan agar suasana alam yang digambarkan ini ada kaitan dengan cerita. Mungkin sahaja alam digunakan untuk menggambarkan suasana atau mood cerita.

.

Saya pula secara peribadi tidak berminat jika penulis menggambarkan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan pohon kelapa melambai-lambai pada bahagian intro. Saya mahu terus kepada cerita. Saya mahu tahu apa konflik yang sedang dihadapi oleh watak.

.

Kalau penulis tidak berjaya memukau saya dengan intro, maka saya tidak berminat membaca keseluruhan cerpen berkenaan. - [BERSAMBUNG]

.

(Uthaya Sankar SB, “Panduan Menulis Cerpen: Bahagian Satu”, Mingguan Wawasan, 15 Mac 1998)

1 comment:

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!