14 Jun 2010

The Ghost

Awal pagi tadi, saya selesai membaca novel The Ghost (2007) karya Robert Harris yang saya beli pada harga RM9.90 di BookXcess (AmCorp Mall, Petaling Jaya) pada 1 Jun 2010.
.

Saya belum pernah mendengar nama pengarang itu yang sebenarnya sudah menghasilkan empat novel sebelum ini (Fatherland, Enigma, Archangel dan Pompeii); malah sudah menghasilkan lima buku non-fiksyen sebelum itu.

.

Terus terang, saya tertarik melihat kulit buku berkenaan. Apa yang saya baca pada blurb buku berkenaan membuat saya terus mahu memiliki dan membaca novel itu; apatah lagi harganya amat tidak wajar – hanya RM9.90!

.

Novel berkenaan saya beli bersama beberapa buku lain untuk dibaca secara santai. Malah, saya mengambil masa beberapa hari untuk membaca The Ghost; biasanya pada tengah malam selepas pulang kerja.

.

Robert Harris ternyata bijak menulis. Perenggan pertama pada bab pertama sudah mampu memancing pembaca untuk meneruskan pembacaan hingga ke akhir novel.

.

Apabila selesai membaca novel berkenaan pagi tadi (14 Jun 2010), barulah saya sedar bahawa saya telah mengikuti kisah seorang individu (watak) yang langsung tidak dinyatakan namanya!

.

Kisahnya mengenai seorang bekas Perdana Menteri Britain yang diberi nama Adam Lang – dan ternyata mempunyai terlalu banyak persamaan dengan kisah Tony Blair yang meletak jawatan pada 2007. Malah, sebaik insiden itu berlaku, Robert Harris memulakan penulisan novel ini yang “meminjam” banyak kisah sebenar. Faksyen.

.

Novel The Ghost boleh dianggap sebagai “teks wajib” bagi pemerhati politik, penulis dan peminat thriller bermutu. Malah, sambil membaca novel ini, saya membandingkan pula dengan senario politik di 1 negara yang tidak boleh saya nyatakan namanya di sini.

.

Selesai membaca novel ini, saya mendapat kejutan yang menggembirakan apabila mendapat tahu bahawa novel The Ghost (2007) sudah dijadikan filem dengan judul The Ghost Writer (2010); lakonan Ewan McGregor (Ghost Writer), Pierce Brosnan (Adam Lang), Olivia Williams (Ruth Lang) dan Kim Cattrall (Amelia Bly).

..

Bagaimanapun, saya yakin bahawa “kehebatan” novel The Ghost tidak dapat diterjemahkan sepenuhnya ke dalam filem, walaupun lakon layar ditulis bersama oleh Robert Harris bersama pengarah hebat, Roman Polanski.

.

Kewujudan novel The Ghost dalam bentuk bercetak (buku) memberi nilai tersendiri kepada unsur kejutan yang terkandung di dalamnya. Mungkin juga dua bab terakhir novel itu masih boleh diterjemahkan ke dalam visual (filem) tetapi pasti akan “cair”.

.

Dalam hal ini, saya masih ingat bagaimana novel The Night Listener (2000) karya Armistead Maupin hilang unsur-unsur paling penting apabila dijadikan filem The Night Listener (2006) dan kehadiran Robin Williams sendiri (sebagai Gabriel Noone) gagal menyelamatkan unsur-unsur penting itu; misalnya misteri identiti watak Donna Logand dan Peter Lomax. [BACA DI SINI]

.

Berbalik pada novel The Ghost, saya masih berminat menonton versi filem; walaupun saya yakin, bahagian akhir akan diubah. Anti-klimaks, bukan?