1 Feb 2010

Novel ke Filem

Saya berasa amat gembira kerana sejak belakangan ini, begitu banyak novel – dan cerpen – diadaptasi ke dalam filem.
.

Misalnya, cerpen “Button! Button!” (1970) dijadikan filem The Box (2009), cerpen “The Curious Case of Benjamin Button” (1922) difilemkan dengan judul yang sama pada 2008, cerpen “Children of the Corn” (1977) difilemkan beberapa kali dengan judul yang berbeza, novel The Picture of Dorian Gray (1891) dijadikan filem Dorian Gray (2009), novel Push (1996) dijadikan filem Precious (2009) dan novel Q & A (2005) dijadikan filem Slumdog Millionaire (2008).

.

Begitu juga apabila novel-novel hebat seperti My Sister’s Keeper, The Time Traveler’s Wife, The Memory Keeper's Daughter, The Lovely Bones, Planet of the Apes, Mystic River, Misery, Fantastic Mr Fox dan Love in the Time of Cholera dijadikan filem.

.

Apabila sebuah karya versi bercetak (cerpen atau novel) diangkat untuk dipaparkan dalam bentuk media audio dan visual (filem), pasti pelbagai perubahan dilakukan dengan pelbagai alasan.

.

Reaksi yang pelbagai juga tentu diterima daripada peminat novel apabila karya yang mereka “kenali” muncul dalam versi berlainan apabila difilemkan.

.

Tidak kurang juga novelis yang kecewa selepas karya mereka difilemkan. R. K. Narayan, misalnya, begitu kecewa dengan filem The Guide (1965) yang diadaptasi daripada novel The Guide (1958) sehingga beliau menggelar versi filem itu sebagai “Misguided Guide” dalam buku A Writer’s Nightmare (1988).

.

Berbeza pula dengan Vikas Swarup yang tidak ada apa-apa halangan apabila begitu banyak perubahan dilakukan pada novel Q & A (2005) semasa dijadikan filem berjudul Slumdog Millionaire (2008).

.

Saya ada menulis mengenai novel/filem The Bone Collector di blog saya pada 29 Disember 2009. [Sila KLIK DI SINI untuk membacanya.]

.

Novel Da Vinci Code (2003) juga, bagi saya, jauh lebih menarik berbanding versi filem (2006); walaupun ramai yang mengatakan gaya penulisan Dan Brown agak meleret-leret dan kurang seni.

.

Begitu juga halnya dengan novel The Runaway Jury (1996) karya John Grisham yang mengangkat isu kesan merokok. Versi filem (2003) pula bersikap “pengecut” kerana sedikit pun tidak menyentuh isu itu!

.

Keunikan dan unsur thriller pada novel The Night Listener (2000) karya Armistead Maupin juga hilang dalam versi filem (2006).

.

Berbeza pula dengan novel-novel Harry Potter karya J. K. Rowling. Saya hanya membaca buku kedua sebelum menonton filem pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

.

Antara novel dan cerpen dalam versi filem yang saya nantikan adalah The Japanese Wife, Life of Pi dan Midnight’s Children. [Sila KLIK DI SINI untuk membaca mengenai Midnight’s Children.]