2 Feb 2010

Faksyen Fail Merah ...

Berikutan halangan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1999, saya pernah mengumumkan untuk tidak mengirim karya Bahasa Malaysia selama tiga tahun ke DBP atau mana-mana penerbit yang tidak mengakui kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”.
.

Maka, cerpen Bahasa Malaysia terakhir yang saya kirim ke media cetak pada tahun 1999 adalah cerpen “O” yang disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat pada Julai 1999. Pada waktu itu, Dewan Masyarakat dilesenkan oleh DBP kepada Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.

.

Sejak tahun 2000, saya mula menerbitkan sendiri karya-karya saya sebagai protes peribadi untuk membuktikan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” wujud dan sah digunakan.

.

Selepas genap tiga tahun, sebagai mengakhiri “protes peribadi”, Dewan Masyarakat sekali lagi menjadi pilihan saya untuk menyiarkan cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (September 2002).

.

Cerpen itu khabarnya menimbulkan pelbagai reaksi dan menyebabkan banyak pihak melenting. Malangnya, tiada seorang pun daripada mereka yang tampil menyatakan komen – atau melenting – kepada saya secara bersemuka.

.

Untuk makluman, majalah Dewan Masyarakat pada waktu itu masih dilesenkan kepada Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. Bagaimanapun, mulai Januari 2003, DBP mengambil semula tugas penerbitan majalah Dewan Masyarakat daripada Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.

.

Protes peribadi berhubung penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” pernah saya tulis di akhbar New Straits Times pada 3 November 1999 dengan tajuk “My Right to Use Bahasa Malaysia”.

.

Beberapa wartawan akhbar Bahasa Inggeris juga sering tertarik untuk memperkatakan mengenai isu ini. Antaranya, Amir Muhammad [DI SINI], Dina Zaman [DI SINI], Rachael Philip [DI SINI] dan Bissme [DI SINI].

.

Allahyarham Dr Othman Puteh turut pernah memperkatakan mengenai “protes” ini pada Ogos 2003 [DI SINI].

.

Mungkin mereka yang pernah membaca cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Cinta” (Rudra Avatara, 2008) dan artikel “My Right to Use Bahasa Malaysia” (New Straits Times, 3 November 1999) akan lebih memahami unsur faksyen yang wujud.