Sunday, 17 January 2010

Midnight's Children

Khabarnya novel Midnight’s Children (1981) karya Salman Rushdie sedang dalam proses difilemkan berdasarkan skrip yang ditulis bersama oleh Salman Rushdie dan Deepa Mehta pada tahun 2009.
.

Filem Midnight’s Children arahan Deepa Mehta dijadualkan memulakan penggambaran pada tahun ini. Apa yang menarik, selain daripada Shabana Azmi, Nandita Das dan Seema Biswas, Salman Rushdie sendiri akan tampil memegang watak Ramram Seth.

.

Pada tahun 1997, terdapat berita bahawa British Broadcasting Corporation (BBC) merancang sebuah siri televisyen dalam lima bahagian berdasarkan novel Midnight’s Children.

.

Bagaimanapun, siri berkenaan yang menampilkan Rahul Bose memegang watak Saleem Sinai terpaksa dibatalkan kerana kerajaan India dan Sri Lanka tidak memberi permit penggambaran.

.

[Tidak mengapa. Selepas menonton bakat lakonan Rahul Bose dalam filem Before the Rains (2008), saya akan nantikan penampilannya dalam filem The Japanese Wife (2010) yang diangkat daripada sebuah cerpen karya Kunal Basu.]

.

Filem Mr and Mrs Iyer (2002) lakonan Rahul Bose tidak sampai ke Malaysia. Saya percaya bahawa filem Midnight’s Children juga tidak akan ditayangkan di Malaysia.

.

Suatu fakta menarik mengenai Midnight’s Children adalah bahawa pada tahun 1984, Perdana Menteri India, Indira Gandhi (1917 - 1984) membawa kes ke mahkamah Britain kerana terdapat satu ayat di perenggan kedua terakhir di Bab 28 yang dikatakan menghina beliau.

.

Novel Midnight’s Children menerima Booker Prize (1981) serta beberapa anugerah antarabangsa, manakala novel keempat Salman Rushdie, The Satanic Verses (1988) menimbulkan kemarahan penduduk Islam di beberapa negara.

.

[Saya berani katakan bahawa rata-rata anggota masyarakat yang turut menyokong fatwa Ayatollah Ruhollah Khomeini (1902 – 1989) bertarikh 14 Februari 1989 tidak tahu punca sebenar fatwa itu dikeluarkan. Malah, tentu tidak ramai yang berpeluang membaca karya-karya bermutu Salman Rushdie; tetapi itu kisah lain.]

.

Sejak tahun 1981, novel Midnight’s Children diterbitkan dalam pelbagai versi kulit depan. Saya akan mendapatkan novel yang menampilkan versi kulit depan ini (lihat foto) untuk dibaca; sementara menantikan filem Midnight’s Children.

1 comment:

  1. Salman Rushdie mengumumkan menerusi Twitter pada 23 November 2011 bahawa Siddharth (Boys; 180) akan memegang watak Shiva dalam filem “Midnight’s Children”. Siddharth turut mengesahkan perkara itu menerusi Twitter.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!