Filem sepanjang dua jam ini khabarnya adalah berdasarkan sebuah siri – dengan judul yang sama – sepanjang enam jam yang disiarkan menerusi BBC One di TV British pada tahun 2003.
State of Play sebuah filem thriller yang menggabungkan dunia kewartawanan dan dunia politik; pastinya versi filem menggunakan latar Amerika Syarikat berbanding versi siri televisyen yang menggunakan latar Britain.
Saya tertarik menyaksikan dunia kewartawanan digambarkan secara nyata dalam filem ini: bahan berita, sumber, etika kewartawanan, mengejar deadline dan seumpamanya (yang tentunya hanyalah khayalan di Malaysia).
Malah, khidmat editor The Washington Post digunakan untuk membimbing para pelakon yang memegang peranan wartawan.
Bercakap mengenai pelakon, filem State of Play menampilkan gandingan mantap Russell Crowe sebagai Cal McAffrey, Rachel McAdams (Della Frye), Ben Affleck (Stephen Collins) dan Helen Mirren (Cameron Lynne), manakala pengarahnya Kevin Macdonald.
Penggambaran filem ini pada mulanya dijadualkan pada November 2007 tetapi tertangguh kerana Brad Pitt yang sepatutnya memegang watak Cal McAffrey menarik diri kerana tidak bersetuju dengan perubahan pada skrip.
Selepas Russell Crowe mengambil alih peranan itu, Edward Norton yang memegang watak Stephen Collins pula menarik diri; lalu diganti dengan Ben Affleck.
Akhirnya, penggambaran dilakukan dari Januari hingga April 2008.
Perlu dinyatakan bahawa pada waktu itu, Russell Crowe sedang mempersiapkan diri bagi filem Robin Hood. Maka, rambut Russell Crowe adalah sebenarnya lebih panjang daripada apa yang penonton lihat dalam filem State of Play.
Saya tidak mahu “memecahkan” rahsia dan intipati kisah yang dipaparkan dalam filem thriller ini.
Cuma, jangan terlepas menonton filem State of Play jika saudara peminat filem berkualiti, serta pernah “seronok” menonton filem All the President’s Men (1976; berdasarkan buku yang terbit pada tahun 1974).